Sunday, February 16, 2014

Satu penantian berbaloi - Almy Nadia

ALMY gembira keluarga Fizz dapat menerima kehadiran dia dan anaknya.


PLOT cerita kisah percintaan pasangan pelakon Almy Nadia dan Fizz Fairuz penuh dengan drama sehingga boleh dijadikan cerita bersiri.
Dalam tempoh lapan tahun, mereka sudah melalui pelbagai liku dalam mengenali hati budi masing-masing sehingga ada yang mendakwa itu merupakan kursus praperkahwinan paling lama membabitkan artis.
Biarpun pelbagai badai pernah melanda Almy saat dia menyulam cinta dengan kekasih hatinya itu, namun jodoh mereka ternyata masih kuat.
Bagi pemilik nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, dia menganggap pengumuman tarikh perkahwinan yang dibuat Fizz, 35, merupakan hadiah terbesar yang diterimanya sempena sambutan Hari Kekasih.
"Syukur, Alhamdulillah. Berasa lega sebab apa yang ditunggu dan tertanya-tanya selama ini sudah terjawab.
"Mungkin hatinya sudah terbuka untuk dia akhiri zaman bujang bersama saya," ujar pelakon filem Dunia Baru The Movie itu.
Pasangan tersebut memilih untuk bernikah pada 30 Mei nanti dengan majlis resepsi diadakan sehari selepas majlis akad nikah di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang.
Menurut Almy, mereka bercadang untuk mengumumkan majlis perkahwinan itu dalam satu majlis Anugerah Bintang Popular pada April nanti.
Namun, Fizz telah membuat kejutan lebih awal apabila memaklumkannya kepada media pada Khamis lalu.
"Saya terkejut juga dia beritahu awal. Tapi selepas itu dia telefon saya maklumkan yang dia dah beritahu wartawan. Dia kata kalau wartawan tanya, jawab sahaja.
"Apa yang penting pengumuman yang dibuat itu keluar daripada mulut Fizz sendiri," ujar Almy.
Bagi Almy, biarpun pada mulanya dia pernah meletakkan sasaran pada umur 23 tahun untuk mendirikan rumah tangga, namun jodoh ketentuan suatu yang di luar jangkauannya.
"Dulu pernah letakkan matlamat untuk kahwin pada umur 23 tahun, tapi orang kata jodoh tak sampai lagi.
"Sudah tertulis mungkin saya kahwin pada usia 28 tahun. Kita hanya merancang sahaja tetapi tuhan yang menentukan," katanya

ALMY dan Fizz akhirnya mengumumkan akan berkahwin pada penghujung Mei ini selepas lapan tahun bercinta.


Dia mengakui tempoh lapan tahun perkenalan bersama Fizz merupakan satu jangka masa yang agak lama.
Namun, sepanjang itu jugalah, Almy menganggap ia sebagai satu fasa untuk mengenali hati budi antara satu sama lain biarpun hubungan mereka pernah dirobek suatu ketika dulu.
"Mungkin ia satu penantian, tetapi berbaloi bagi saya. Hubungan kami bermula daripada sekadar berkawan hinggalah ke jinjang pelamin," luahnya.
Sama ada cepat atau lambat, apa yang diharapkan Almy hanyalah sebuah kehidupan berkeluarga yang bahagia bersama Fizz.
Tambah Almy lagi, dalam setiap perhubungan, apa yang perlu dititikberatkan ialah perasaan sabar.
"Kalau kita sentiasa bersabar, besar ganjarannya dan kita juga perlu ikhlas dalam sesebuah perhubungan," katanya.
Apa yang pasti, kehadiran lelaki berumur 35 tahun itu akan melengkapkan lagi hidup Almy Nadia bersama anak angkatnya yang dibela sejak kecil iaitu Nur Afrina Darwisya, lima tahun.
"Fizz dan anak saya (Afrina) memang sudah mengenali antara satu sama lain.
"Jadi, saya rasa tiada apa halangan, lagipun dia (Afrina) masih kecil lagi, mungkin dia belum faham (mengenai ikatan perhubungan)," luah Almy.
Menurut Almy, keluarga Fizz juga tiada masalah untuk menerima kehadiran Afrina.
"Keluarga dia juga semua sudah maklum yang Almy ada seorang anak.
"Insya-Allah mereka dapat menerima kehadiran kami," ujarnya yang mengikat tali pertunangan bersama Fizz pada 22 Oktober lalu.
Kisah percintaan Almy bersama lelaki kelahiran Raub, Pahang itu pernah dirundung pelbagai masalah.
Kemuncaknya apabila Fizz membuat keputusan untuk bertunang pada Februari tahun lalu dengan seorang wanita yang baru dikenalinya.
Namun, Fizz kemudian memutuskan ikatan pertunangan tersebut selepas mengetahui wanita itu berstatus isteri orang sebelum kembali semula bersama Almy.
"Saya harapkan peminat-peminat di luar sana mendoakan yang terbaik buat kami berdua.
"Semoga ikatan yang ingin dibina ini nanti akan kekal hingga ke akhir hayat," pinta Almy yang bakal menerima wang hantaran sebanyak RM20,000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: