PEMBABITAN Rahim dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 bersama kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai juara serta membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000.
Di sebalik kejayaan yang diraih itu, pemilik nama sebenar Rahim Mat Ali itu mendedahkan pada peringkat awal bukan mudah buat dirinya untuk bergandingan dengan Jep dan Shuib sepanjang bersaing dalam MLM 2013 dengan peserta lain selama 13 minggu.
Selain mengakui agak sukar untuk mencari keserasian bersama pada peringkat awal, Rahim juga menyatakan dirinya pernah berasa kecewa apabila ada yang menganggap dirinya sebagai 'penumpang' kepada kumpulan tersebut.
Bercerita kepada Kosmo! ketika ditemui selepas berakhir MLM 2013 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor minggu lalu, Rahim menyatakan segala tanggapan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus berjuang.
Kosmo!: Apakah perasaan Rahim sendiri setelah Sepahtu dinobatkan sebagai juara MLM 2013?
RAHIM: Pastinya saya sangat gembira dengan kejayaan ini setelah melalui saingan yang sangat getir sepanjang 13 minggu pertandingan berlangsung. Bukan mudah untuk bersaing dengan peserta lain yang tampil dengan persembahan terbaik, malah kami pernah hampir tersingkir semasa saingan separuh akhir. Saya anggap kemenangan ini merupakan satu rezeki yang tidak dijangka sama sekali.
Bagaimanakah anda melihat gandingan bersama Sepahtu untuk bertanding dalam program ini?
Sebenarnya ia bukanlah gandingan yang mudah dan saya perlu mengambil masa agak lama untuk mendapatkan keserasian dengan Jep dan Shuib, tetapi dengan usaha keras yang dilakukan setiap minggu telah membuahkan hasil.
Ada sesetengah pihak yang berpendapat pembabitan anda sekadar menjadi 'penumpang' memandangkan nama Sepahtu sendiri sudah kuat. Apakah pandangan anda terhadap perkara tersebut?
Sejak dari awal lagi saya sudah dapat jangka akan ada pihak yang memandang sinis serta membuat perbandingan apabila saya menyertai Sepahtu dan tidak dinafikan saya pernah berasa kecewa dengan tanggapan sedemikian. Bagaimanapun, saya anggap itu semua sebagai pembakar semangat buat diri saya untuk berusaha lebih keras dan bersungguh-sungguh kerana ingin membuktikan kepada peminat yang pembabitan saya bukanlah sekadar 'penumpang' semata-mata.
Selepas berakhirnya MLM 2013, adakah anda akan terus bersama Sepahtu?
Pastinya ramai yang tahu, gabungan saya bersama Sepahtu merupakan sebuah projek khas dan pada mulanya kami dikenali sebagai kumpulan Sepahtu & Rahim R2, tetapi disebabkan terlalu panjang akhirnya kami sepakat untuk menggunakan nama Sepahtu sahaja. Selepas MLM 2013, kami kembali bergerak seperti biasa semula dan saya akan meneruskan karier secara solo. Sekiranya ada tawaran persembahan membabitkan gabungan saya dan Sepahtu, saya sedia terima sekiranya mempunyai masa yang terluang.
Apakah perancangan anda dengan wang kemenangan yang diraih itu?
Memandangkan saya sudah berkeluarga serta mempunyai isteri dan anak, sudah tentu keutamaan diberikan kepada mereka. Selain itu, saya akan lebih berhati-hati menguruskan kewangan dengan wang yang diperoleh ini.
Adakah anda akan menyertai pertandingan yang sama pada masa akan datang?
Buat masa ini saya masih belum terfikir lagi mengenainya dan ia bergantung kepada rezeki. Tidak mustahil juga kalau saya akan kembali bertanding dan bergabung dengan pelawak lain pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: