Saturday, February 15, 2014

Zara Zya tak lupa diri

ZARA ZYA akui dirinya masih mentah dalam industri lakonan.


TIDAK terfikir dalam benak fikirannya untuk meletakkan sebarang hak eksklusif terhadap dirinya dalam industri hiburan tanah air. Itu pendirian anak seni yang sedang menempa nama dalam industri hiburan, Zara Zya.
Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu secara tiba-tiba meraih populariti menggunung.
Ia tercetus selepas kemunculannya pada tahun lepas menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant yang berjaya meraih jumlah penonton mencecah 4.6 juta orang.
Biarpun dia kini sudah meniti tali populariti, Zara, 29, bagaimanapun merasakan dirinya masih belum layak untuk bergelar pelakon popular.
Malah, dia mengakui, dirinya boleh dikatakan masih terlalu mentah dalam dunia lakonan jika hendak dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang sudah lama berkecimpung dalam industri lakonan tanah air.
Biarpun merendah diri, namun keupayaan Zara menggondol trofi Anugerah Meletop Era 2014 baru-baru ini menerusi kategori Top Top Meletop Era, akhirnya membuktikan dirinya kini sudah mula mendapat tempat dan dikenali ramai.
Namun, kejayaan tersebut tidak dapat memadamkan perasaan takut daripada muncul dalam hati pelakon berkulit sawo matang itu,
Malah, Zara bimbang impak daripada kenaikan mendadak popularitinya dalam masa terdekat ini akan menyebabkan dirinya dipandang sebagai seorang artis yang sombong.
"Saya tidak pernah meletakkan bayaran yang tinggi ataupun demand jika saya dirisik oleh mana-mana syarikat produksi.
"Bagi saya, cukuplah sekadar bayaran yang diterima setimpal dengan usaha yang ditaburkan, itu pun sudah sangat memadai bagi saya.
"Walaupun kini saya diterima oleh peminat, saya menganggap ia satu penghargaan kepada saya untuk terus berusaha keras dan memberi yang terbaik kepada peminat," ujarnya yang sudah menapak lima tahun dalam bidang lakonan.
Pada majlis anugerah yang julung-julung kalinya dianjurkan itu berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Zara turut berjaya memenangi kategori Artis Baru Meletop menewaskan Azhael AF 2013, Faizul AF 2013, Syafiq Kyle dan Risteena Munim.
Dua kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Zara membawa pulang wang keseluruhan berjumlah RM15,000 berserta trofi sumbangan Astro.
Mencari Datin
Zara mengakui, lakonannya sebagai watak Zaara dalam Love You Mr. Arrogant merupakan antara sebab namanya kini menjadi bualan ramai.
"Saya rasa teruja dan sangat gembira dengan kemenangan meraih dua Anugerah Meletop ini. Tidak sangka kali pertama dicalonkan, saya sudah dinobatkan sebagai pemenang.
"Saya percaya faktor kemenangan ini adalah kerana sokongan daripada peminat drama yang disiarkan dalam slot Akasia TV3 itu.
"Alhamdulillah, saya berasa amat bertuah apabila drama tersebut memberi impak kepada masyarakat sekali gus melonjakkan nama saya.
"Terselit perasaan gembira dan dihargai kerana penonton dapat merasai apa yang saya cuba sampaikan melalui lakonan saya," ujarnya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaharu dan perancangan masa hadapannya, ujar Zara, dia kini sibuk menjalani penggambaran untuk telemovie, Mencari Datin yang bakal disiarkan menerusi TV9.
"Bersyukur rezeki saya setakat dalam bidang lakonan amat memberangsangkan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan mutu lakonan.
"Saya tidak mahu penonton mengenali saya sebagai artis yang bermusim dan popular melalui satu drama sahaja.
"Insya-Allah, pada masa akan datang saya cuba untuk muncul menerusi produk baharu yang menjadi pencetus fenomena seperti drama sebelum ini," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: