|
MEMBAWA gelaran penagih dadah bukanlah satu impian manusia yang waras fikirannya. Malah, penagih itu sendiri pasti menyesal kerana terlalu mengikut hawa nafsu hingga terjebak dalam kancah penagihan.
Lebih teruk, golongan ini dipandang hina oleh masyarakat dan tidak kurang dibuang keluarga.
Bagi Mohd. Shahbani Mat Din yang mula berjinak-jinak menghisap dadah seawal usia 17 tahun, penyesalan memang sentiasa ada dalam hatinya. Andainya waktu boleh diputar, lelaki berusia 35 tahun itu tidak akan sesekali menyentuh benda haram tersebut.
Namun, telah tertulis dalam lipatan takdirnya bahawa dia akan memegang gelaran tersebut hingga ke akhir hayat. Bagaimanapun, Mohd. Shahbani tetap optimis untuk mengubah nasib diri.
"Saya tidak mahu selama-lamanya digelar penagih dadah. Sekurang-kurangnya, biarlah saya dipanggil bekas penagih," jujur harapan yang diluahkan pemuda kelahiran Changlun, Kedah itu.
Walaupun sudah hampir 18 tahun menagih, Mohd. Shahbani bernasib baik kerana tidak dijangkiti Virus Kurang Daya Tahan Penyakit Manusia (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) yang selalu menyerang golongan berkenaan.
Kini, dia nekad berubah dengan mengikuti program Spiritual Enhancement on Drug Addiction (Sedar) anjuran Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS).
Melalui program itu, Mohd. Shahbani yang pernah bertugas sebagai anggota tentera selama empat tahun sebelum diberhentikan atas masalah disiplin, menerima rawatan terapi gantian metadon bagi mengurangkan kecenderungan untuk menagih dadah jenis heroin.
Solat
Selain itu, dia turut diberi kaunseling, psikologi dan bimbingan agama termasuk diajar bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Selepas hampir lima bulan mengikuti program Sedar tersebut, Mohd. Shahbani mengakui, rutin hidupnya semakin teratur.
"Sebelum mengikuti rawatan ini, saya pernah membeli metadon di klinik luar untuk menghilangkan ketagihan dadah. Namun, disebabkan masalah kewangan, saya tidak mampu meneruskannya sehinggalah saya diberitahu oleh rakan-rakan tentang program ini.
|
"Selepas mendaftar Oktober tahun lalu, saya mampu menjalani kehidupan seperti manusia normal lain. Buat masa ini, saya diberi dos metadon sebanyak 120 mililiter (ml) yang perlu diambil setiap hari.
"Di bawah program Sedar, saya akan dibekalkan dos metadon untuk tempoh seminggu selain mengikuti sesi kaunseling dan kelas agama," ujar Mohd. Shahbani yang mengakui kehidupnya semakin tenang.
Tambah anak kelima daripada enam beradik itu, walaupun sudah terlambat untuk menyesali nasib diri, tetapi dia berharap Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya yang lalu.
Mohd. Shahbani merupakan salah seorang daripada 50 pesakit rawatan terapi metadon yang berusia antara 18 hingga 60 tahun di bawah program Sedar.
Dikendalikan oleh Pakar Psikiatri Komuniti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Rusdi Abd. Rashid, program itu turut mendapat tajaan Bank Rakyat selain tabung geran yang diperuntukkan.
Menurut Rusdi, Sedar mula dilaksanakan di Masjid Ar-Rahman, UM pada tahun 2010. Ketika itu, terdapat kira-kira 100 pesakit. Bagaimanapun, ia terpaksa dihentikan kerana kekurangan dana sebelum dihidupkan semula pada September 2013. Namun, lokasinya dipindahkan ke Surau Ad-Deeniah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Uniknya, konsep rawatan yang diguna pakai ialah gabungan perubatan integrasi melalui metadon dan penambahan elemen spiritual psiko berbanding hanya memberi terapi metadon di klinik-klinik kerajaan.
Berganding bahu
"Program ini melibatkan komuniti masjid dan surau untuk sama-sama berganding bahu bagi membantu golongan penagih. Ini merupakan projek perintis dan kami menyasarkan penglibatan satu pertiga daripada kira-kira 6,000 buah masjid di Malaysia," terang Rusdi ketika ditemui Kosmo! di Surau Ad-Deeniah, PPUM, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Melalui program ini, penagih yang dirawat berupaya menjalani rutin harian dan bergaul dengan masyarakat serta kariah masjid.
Rawatan terapi gantian metadon mula diperkenalkan pada tahun 2005 oleh Kementerian Kesihatan. Metadon merupakan dadah sintetik yang berfungsi menghilangkan ketagihan heroin yang dialami penagih.
Berbanding heroin yang diambil dengan cara suntikan, metadon pula hanya perlu diminum oleh penagih. Bagi 100ml hingga 130ml dos metadon yang diambil, ia mampu bertahan sehingga 36 jam.
"Penagihan merupakan satu penyakit kronik dan ia perlu dirawat. Fenomena relapse atau pengambilan semula sukar untuk dielakkan dalam kalangan penagih.
"Jika dahulu, penagih akan mengambil heroin lima hingga enam kali sehari, tetapi menerusi rawatan terapi gantian metadon, mereka sekurang-kurangnya mengambil heroin sekali sebulan.
"Justeru, metadon berfungsi sebagai ubat untuk mencegah komplikasi bukan menyembuh. Ia mampu mengurangkan kemudaratan dan membolehkan penagih berfungsi kepada masyarakat," ujar Rusdi sambil menegaskan program Sedar bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan klinik gantian metadon di negara ini.
Sementara itu, kaunselor program tersebut, Ustaz Mohd. Amirul Hanif Mohd. Nawawi, 28, memberitahu, bagi sesi kaunseling terdapat tiga sesi rawatan yang akan dijalani setiap pesakit atau penagih.
Ia merangkumi sesi perkenalan dan mengenali latar belakang pesakit, mendapatkan respons selepas menjalani program Sedar dan membuat susulan.
"Biasanya, kita akan berbual santai bersama mereka untuk mengetahui sejarah pembabitan dengan dadah.
"Selepas mengikuti rawatan terapi metadon di bawah program Sedar, kita akan dapatkan maklum balas pesakit mengenai perbezaan yang dirasai di samping menerapkan elemen agama contohnya, mengajar mereka bersolat dan sebagainya.
"Akhir sekali, kita akan buat susulan dengan mereka dan selalunya pesakit sendiri akan menghubungi kita untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah yang dihadapi," terang Mohd. Amirul yang merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Sains Islam Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Peningkatan Institusi UM di talian 03-7967 6261.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: