• LTAT bayar bonus tertinggiLTAT membayar bonus 16 peratus kepada ahlinya, iaitu tertinggi sejak 41 tahun lalu.

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merekodkan bayaran dividen dan bonus tertinggi sebanyak 16 peratus kepada ahli-ahli yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

LTAT juga mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi sejak 41 tahun lalu, dengan pendapatan belum diaudit RM966.5 juta, meningkat 19.1 peratus berbanding RM811.6 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut LTAT, berasaskan pencapaian menggalakkan itu, ahli yang layak akan menerima dividen dan bonus pada kadar 16 peratus berjumlah RM818.2 juta, meningkat 7.8 peratus berbanding RM759.3 juta yang dibayar pada 2012.

Dividen dan bonus sebanyak 16 peratus itu meliputi dividen tujuh peratus, bonus satu peratus dan bonus khas lapan peratus dalam bentuk unit amanah saham untuk ahli yang aktif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pertumbuhan konsisten LTAT dari segi pencapaian kewangannya setakat ini mencerminkan komitmen kepada pelanggan utamanya, iaitu anggota tentera yang sedang berkhidmat.

"Berdasarkan rekod pencapaian dan prestasi luar biasanya dalam tempoh 41 tahun lalu, LTAT mengatasi jangkaan dengan menjana pulangan kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2013, LTAT membayar RM827.4 juta kepada 6,169 ahli yang menamatkan perkhidmatan dengan angkatan tentera dan RM14.2 juta kepada 2,073 ahli  layak untuk membeli rumah kediaman atau tanah di bawah Skim Pengeluaran Perumahan.

Di samping itu, RM6 juta dibayar kepada 237 ahli di bawah Skim Manfaat Kematian dan Kehilangan Upaya.

Sementara itu, di bawah program perumahan mampu milik, LTAT menerusi anak syarikat milik penuhnya Perbadanan Perwira Harta Malaysia membina dan menjual 828 rumah mampu milik di Taman LTAT Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk anggota tentera yang masih berkhidmat dan sudah bersara.

Menurut LTAT, RM41.1 juta dibelanjakan sebagai subsidi untuk menampung kos pembinaan rumah tersebut.

Setakat ini, 1,650 rumah telah dibina dan dijual kepada tentera yang layak di Mutiara Rini (Johor), Mutiara Damansara (Selangor) dan Taman LTAT, Bukit Jalil.

"Di samping itu, perbadanan milik penuh LTAT akan meneruskan pelbagai program tanggungjawab korporat sosial untuk anggota tentera.

"Sebagai contoh, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia menawarkan barangan makanan seperti tepung, susu, kicap, sos, minyak masak, biskut, teh dan milo pada harga lebih rendah daripada pasaran untuk bantu anggota tentera tangani peningkatan harga barangan ini," menurut LTAT.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) milik LTAT pula berjaya melatih 8,013 anggota ATM yang akan dan telah bersara dalam pelbagai program kemahiran dan keusahawanan bagi membolehkan mereka menceburi kerjaya kedua selepas bersara.

Sehingga kini, Perhebat telah melatih 175,714 tentera dalam program itu.