• Jana wang dari paya terbiarAntara spesies ikan yang terdapat di kolam milik Anudin.

KETENGAH JAYA – Tindakan seorang anak peneroka menjadikan kawasan paya terbiar sebagai kolam ternakan ikan tidak sia-sia apabila lokasi tersebut kini bertukar menjadi pusat komersial untuk aktiviti pertandingan memancing.

Usaha tersebut mula dicetuskan Anudin Ghami, 37, tiga tahun lalu selepas melihat peluang perniagaan dalam aktiviti tersebut lalu memberanikan diri mengeluarkan wang simpanan hampir RM200,000 untuk membina sebuah kolam ternakan air tawar.

Berkongsi pengalaman, Anudin berkata, selain menternak ikan air tawar, kolam yang digali semula di kawasan hutan terbiar seluas hampir 500 meter itu turut dijadikan pusat aktiviti memancing yang menjadi tumpuan warga komuniti.

Katanya, untuk tujuan itu, dia melepaskan tiga tan anak ikan pelbagai spesies seperti keli dan patin ke dalam kolam yang terletak di laluan Paka-Al Muktafi Billah Shah itu.

“Hampir setiap bulan, saya akan anjurkan pertandingan memancing yang menawarkan hadiah mencecah RM50,000.

“Setakat ini, sambutan yang diberi amat menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di sini, malah dari luar,” kata bapa kepada empat anak ini.

Anudin berkata, pada 15 Februari ini akan diadakan pertandingan memancing di kolam miliknya itu yang menawarkan hadiah keseluruhan mencecah RM100,000.

Menyentuh tentang rahsia kejayaannya, menurut Anudin, dia tidak pernah menyesal menceburi bidang tersebut, biarpun sesetengah orang berpendapat ia berisiko tinggi.

Katanya, jika ingin berjaya, seseorang itu haruslah bijak serta berani merebut peluang yang ada selain memberikan komitmen yang tinggi terhadap perniagaan yang dijalankan.

“Pendidikan bukanlah satu ukuran kejayaan seseorang itu kerana apa yang lebih penting ialah usaha bersungguh-sungguh mencapai apa yang diinginkan untuk mengubah kehidupan,” katanya yang mempunyai pendidikan setakat tingkatan lima.