INISIATIF dua buah stesen televisyen untuk merapatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura telah terhasil menerusi penganjuran Konsert Muzika Ekstravaganza yang menggabungkan semua artis muda dari kedua-dua negara berjiran tersebut.
Konsert yang memasuki kali kelapan penganjurannya itu disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
RTM yang memegang amanah sebagai tuan rumah kepada konsert itu telah mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan bintang-bintang besar yang pernah mencipta fenomena tersendiri dalam industri seni serantau.
Konsert itu dihoskan oleh gandingan pelakon dan pelawak dari kedua buah negara iaitu deejay Nasional FM, Muaz Mohammed (Malaysia), Huda Ali (Singapura) dan pelawak terkenal, Saiful Apek serta bekas peserta program realiti Raja Lawak, Azrul Zaidi.
Gandingan empat nama yang berbeza generasi ini sememangnya menjadi apabila lawak jenaka yang disampaikan walaupun bersahaja, namun sukses dalam mengundang tawa hadirin yang memenuhi auditorium tersebut.
Persembahan yang memakan masa selama dua jam itu dimulakan dengan persembahan instrumental cello daripada kumpulan Paladin sebagai pembuka tirai, sebelum diikuti oleh persembahan nyanyian daripada barisan artis terkenal kedua buah negara.
Antara artis dari Malaysia yang membuat persembahan pada malam penuh gemilang termasuklah Mawi, Black, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Soo Wincci dan kumpulan Paladin.
Artis Singapura yang membuat persembahan pada malam tersebut pula terdiri daripada Awi Rafael, Aliff Aziz, Sleeq, Maiya Rahman dan Daly Filsuf.
Persembahan yang dapat disaksikan pada malam tersebut penuh bertenaga kerana setiap penyanyi yang membuat persembahan diiringi dengan muzik hasil gabungan bersama pemuzik Orkestra RTM dan Singapura.
Keunikan yang dapat disaksikan pada malam tersebut bukan sahaja kerana barisan artis yang ditampilkan tetapi juga persembahan kolaborasi antara artis daripada dua negara.
Antara persembahan yang memukau hadirin adalah medley lagu-lagu popular yang pernah didendangkan oleh ikon Singapura, Anita Sarawak termasuklah Antara Yang Manis, Cintamu Muzik Di Hati dan Akhirnya Kini Pasti yang disampaikan dengan mantap menerusi kolaborasi Awi Rafael dan Misha Omar.
Selain itu, paduan suara antara Dayang Nurfaizah dan Maya Rahman, dua penyanyi yang berbakat besar dan yang mempunyai lontaran vokal yang tinggi ini juga turut menghiburkan hadirin.
Mereka mengalunkan barisan lagu hit daripada penyanyi lagenda Malaysia, Datuk Sheila Majid yang terdiri daripada Sinaran, Aku Cinta Padamu dan Lagenda.
Persembahan penuh gilang- gemilang yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan Suria yang menandakan kerjasama antara dua buah negara ini diakhiri dengan kesemua penyanyi menyanyikan lagu Sahabat nyanyian asal Najwa latif, Sleeq dan Syam Kamarul.
Antara yang hadir menyaksikan konsert pada malam tersebut ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Sementara antara orang kenamaan dari negara jiran yang hadir termasuklah Menteri Komunikasi dan Penerangan Republik Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Ong Keng Yong serta Setiausaha tetap Kementerian Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Republik Singapura, AuBeck Kam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: