DIILHAMKAN menerusi kisah benar kejadian penghuni di sebuah pangsapuri yang sering diganggu langsuir, filem Kami Histeria turut menyelitkan elemen komedi dan juga rencah lain mengikut cita rasa penonton remaja perempuan khususnya.
Rencah yang dimaksudkan apabila Kami Histeria mengangkat kisah lima orang remaja perempuan yang menubuhkan band bernama Histeria.
Lima remaja tersebut iaitu Laila (Diana Danielle), Bad (Sara Ali), Peanut (Nad Zainal), Airin (Mila Jirin) dan Jojo (Umie Omar), menyewa di sebuah pangsapuri lama.
Sewaktu merakamkan lagu, mereka tidak menyedari ada suara lain yang turut serta dan lagu tersebut kemudiannya menjadi popular.
Bagaimanapun, lima remaja tersebut tidak sedar lagu mereka popular disebabkan suara langsuir yang turut mengikuti alunan lagu tersebut.
Mereka obses merakamkan lagu baharu, namun lagu tersebut tidak begitu popular dan diminati ramai pendengar.
Mencari punca kenapa lagu pertama yang dirakam mereka menjadi popular, akhirnya mereka menyedari ia disebabkan oleh suara langsuir.
Mengulas sedikit mengenai watak lima remaja tersebut, Laila digambarkan sebagai penyanyi dan ketua bagi band Histeria. Sementara Bad pula digambarkan seorang yang degil dan berani.
Sebaliknya, watak Peanut pula seorang yang pendiam. Namun, watak tersebut agak pelik kerana Peanut tidak bersuara langsung kecuali menjerit nama Laila ketika dicederakan langsuir.
Bagi penulis watak Peanut yang tidak bercakap itu tidak perlu diwujudkan sebab ia kelihatan tidak logik.
Sementara watak Airin pula digambarkan sebagai seorang gadis cantik dan manja serta diminati oleh Jojo, seorang tomboy.
|
Lebih manis sekiranya watak seumpama ini tidak terlalu diperbesarkan kerana penerimaan setiap penonton berbeza. Barangkali apa yang ingin disampaikan pengarah, Shamyl Othman lain, tetapi diterima lain oleh segelintir penonton.
Menyambung kembali jalan cerita Kami Histeria, lima remaja tersebut mengambil keputusan untuk masuk ke dalam hutan berdekatan pangsapuri itu untuk berjumpa dengan langsuir yang menyebabkan lagu mereka popular.
Mereka ingin meminta langsuir itu menyumbangkan suaranya dalam lagu mereka.
Sewaktu mereka mencari dalam ketakutan, langsuir tersebut muncul. Lima remaja tersebut gembira berjumpa dengan langsuir bernama Cik Lang.
Berbeza dengan kebanyakan filem seram lain, Kami Histeria lari daripada tipikal subjek hantu yang dipertontonkan.
Produksi ini memilih menampilkan langsuir yang dipanggil Cik Lang dengan cukup anggun.
Cantik, manis dan sentiasa tersenyum, ironi isi hati Cik Lang tidak seindah fizikal yang dipertontonkan.
Dilakonkan oleh Fazura, Cik Lang mempunyai hati yang busuk dan penuh helah dalam mendapatkan apa yang diingini.
Iyalah, hantu, mana ada hati dan perasaan yang molek, kecuali fizikalnya sahaja.
Namun, lima remaja itu sudah menandatangani perjanjian dengan langsuir itu agar membawa pelakon Afdlin Shauki berjumpa dengannya jika lagu mereka popular.
Bagaimanapun, janji itu tidak dikotakan lima remaja tersebut dan akhirnya Cik Lang marah dan cuba mencederakan dan membunuh mereka.
Kami Histeria juga dilakonkan oleh Izzue Islam. Dia membawa watak remaja lelaki kacak yang menjadi kegilaan gadis-gadis remaja itu.
Kemunculan Afdlin Shauki sebagai dirinya sendiri merupakan tarikan humor dalam filem tersebut.
Filem yang telah ditayangkan di pawagam sejak 6 Februari lalu merupakan filem terbitan Astro Shaw, Marna Film dan Red Films.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: