Saturday, February 1, 2014

Kia Optima K5 lebih mengancam


HARGA yang ditawarkan cukup berbaloi kerana ia sarat dengan pelbagai teknologi dan aksesori baharu.


PENGEDAR rasmi kenderaan Kia Motors di Malaysia, Naza Kia Malaysia (Kia Malaysia) baru-baru ini melancarkan model naik taraf Optima K5 yang disifatkan sebagai pengubah landskap segmen D.
Biarpun kenderaan generasi ketiga itu sekadar satu lagi model naik taraf, perubahan yang diberikan oleh jurutera Kia Motors agak signifikan sehinggakan 25 bahagian pada kenderaan sedan itu ditukar ganti.
Sejarah Kia Optima bermula pada tahun 2000 menerusi pengenalan model rebadged Hyundai Sonata. Model itu turut dikenali sebagai Kia Magentis di beberapa buah negara.
Sejak diperkenalkan sehingga tahun 2005, Kia Optima dipasang di kilang Hyundai. Bermula tahun 2005, Kia Motors mengambil alih sepenuhnya proses penghasilan kereta itu dan memperkenalkan Kia Optima generasi kedua.
Nasib Kia bertambah baik tiga tahun kemudian apabila bekas Ketua Pereka Audi dan Volkswagen Peter Schreyer mula menyertai Kia Motors.
Sentuhan pertama Peter Schreyer pada Kia Optima melibatkan model naik taraf pada tahun 2010. Bagaimanapun, model itu tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia dan Amerika Syarikat.
Tahun 2011 menyaksikan ketibaan generasi ketiga yang dikenali sebagai Kia Optima K5. Model ini mula memaparkan aplikasi gril tiger nose yang menjadi trademark Kia Motors selepas penyertaan Schreyer.

RUANG kabin dan papan pemuka Kia Optima K5 tampak lebih selesa selepas direka semula oleh pasukan jurutera Kia.


Model global segmen D itu mencetuskan saingan sengit kepada para pengeluar lain ekoran ledakan pelbagai ciri-ciri menarik.
Nilai tambah yang ditawarkan oleh Kia Motors itu membuatkan Kia Optima K5 tidak berdepan sebarang kesukaran untuk memikat hati pelanggan yang berusia 40 tahun ke bawah.
Awal tahun ini, Kia Malaysia telah melancarkan Kia Optima K5 yang dipertingkatkan dengan mengutamakan keselesaan keluarga pada harga yang berpatutan.
Menurut Pengurus Besar Operasi Kia Malaysia, Roshdy Hassan, Kia Optima K5 menjadi salah satu model yang dinanti-nantikan dan bakal menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan Naza Kia tahun ini.
“Ciri-ciri premium yang ditawarkan pada Kia Optima K5 ini menjadikannya salah satu model segmen D yang mengagumkan dan berdaya saing di negara ini,” katanya sambil menambah model sedan itu pernah memenangi pelbagai anugerah sebelum ini.
Antaranya termasuklah Best of the Best pada 2011 ,Red Dot Design Awards dan People’s Choice Car of the Year di New Straits Times (NST) Maybank Car of the Year 2012.
Pengiktirafan itu mencerminkan Kia Optima K5 bukan sebuah model biasa tetapi satu pesaing yang perlu digeruni oleh pemain dalam pasaran Malaysia.
Kia Optima K5 naik taraf menerima pelbagai pembaharuan termasuk bampar hadapan dan belakang baharu serta rekaan lampu utama yang lebih menyerlah.
Citarasa Eropah
Rekaan set lampu utama dan belakang dengan paparan lampu LED dicipta dengan mengambil inspirasi citarasa produk Eropah. Pelengkap kepada wajah hadapannya ialah lampu kabus.
Ruang kabin Kia Optima K5 nyata lebih selesa dengan susun atur tempat duduk yang direka semula bagi meningkatkan aspek keselesaan kepada pemandu dan para penumpang.
Barisan kerusi bahagian hadapan didatangkan dengan sistem alih udara manakala sistem penghawa dingin pada papan pemuka cukup kuat untuk menyalurkan angin sejuk ke penumpang di belakang agar tetap selesa biarpun perjalanan jarak jauh.
Model itu turut dilengkapi beberapa aksesori menarik termasuk sebuah skrin 4.3 inci TFT LCD dengan kamera undur dan sistem audio lapan speaker jenama Infinity, sambungan Bluetooth serta fungsi bebas tangan, pemain cakera padat, AUX, USB dan sambungan iPod.

BUMBUNG panorama pada kereta ini memberikan pemandangan yang luas kepada pemandu dan penumpang di dalamnya.


Tiga mod pemanduan
Bagi meningkatkan pengalaman pemanduan, Kia Optima K5 didatangkan dengan ciri Select Drive Mode yang menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Selain itu, ciri-ciri premium lain disertakan sekali ialah Brek Parkir Elektronik, lapan tetapan cara tempat duduk pemandu kuasa dengan kerusi memori, penyelarasan empat cara untuk kerusi penumpang, pengelap cermin automatik dengan sensor hujan, cermin hidrofobik dan bumbung panorama.
Sarat ciri keselamatan
Kia Optima K5 memperoleh tenaga daripada enjin 2.0 CVVL dan kelancaran pemanduan dibantu oleh transmisi automatik enam kelajuan.
Seperti biasa, Kia Motors juga sarat dengan pelbagai ciri keselamatan iaitu enam unit beg udara , Electronic Stability Control, EBD, ABS, TCS, Brake Assist System, sensor hadapan dan belakang dan VSM.
Untuk makluman, Kia Optima K5 berjaya mencatat lima bintang skor keselamatan untuk ujian keselamatan NHTSA di Amerika Syarikat.
Kia Optima K5 ditawarkan dalam empat warna baru seperti putih, hitam, biru dan kelabu. Harga di atas jalan bagi model naik taraf itu ialah RM149,888 seunit. Sebagai kelegaan buat para pemilik, Kia Malaysia memberi tempoh jaminan selama lima tahun tanpa pengiraan had perbatuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: