|
MELIHAT terlalu banyak cebisan kain daripada baju pelanggan yang dijahit telah memberikan idea kepada pasangan adik-beradik Nur Mariani Md. Isa, 27, dan Nur Malissa, 23, untuk menghasilkan kerongsang daripada cebisan fabrik berkenaan.
Pada mulanya usaha mereka bertujuan untuk pemakaian sendiri, namun ia berubah kepada sebuah perniagaan dalam talian selepas setiap rekaan menerima pujian daripada rakan dan saudara-mara.
Justeru, Nur Malissa memasarkan produk-produk yang dihasilkan menerusi laman sosial Facebook dan mendapat sambutan memberangsangkan terutamanya dalam kalangan pembeli berusia 16 tahun ke atas.
Nur Malissa yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak berkata, pelanggan pertama produk Flower Pin Lovely Brooch adalah dalam kalangan rakan mahasiswa di universiti berkenaan.
“Tarikan utama kerongsang ini ialah ia boleh digayakan mengikut kreativiti pembeli seperti pada tudung, diletakkan pada cekak rambut atau menyisipkannya pada ikatan rambut,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, penghasilan kerongsang bergantung kepada kreativiti dan kesesuaian pemakaiannya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga pelanggan yang lebih gemar memberikan lakaran kerongsang mengikut cita rasa masing-masing.
“Ketika memulakan perniagaan ini dua tahun lalu, saya dan kakak hanya menggunakan cebisan kain. Namun seiring peningkatan permintaan pelanggan hari ini, kami membeli kain yang lebih berkualiti.
“Antara material yang sering menjadi pilihan ialah sutera. Selain itu, kami turut menggunakan fabrik sifon dan satin dengan keperincian rekaan menggunakan labuci dan manik berwarna-warni,” jelasnya.
Harga jualan adalah mengikut saiz kerongsang iaitu dari RM1.50 hingga RM4.50 sepasang.
Nur Malissa menambah, terdapat juga dalam kalangan pelanggannya yang membeli secara borong bagi tujuan menjualnya semula.
Perkembangan perniagaan
Pasangan adik-beradik itu mampu menghasilkan kira-kira 300 hingga 400 pasang kerongsang sebulan dengan melibatkan kos kira-kira RM200 hingga RM300.
Walaupun masih belajar, Nur Malissa bijak menggunakan masa terluang untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Memasang impian untuk membuka sebuah butik, mereka kini meningkatkan kemahiran dengan menceburi jahitan manik bagi pakaian bertunang dan perkahwinan.
Nur Mariani yang terlebih dulu berkecimpung dalam arena perniagaan mengakui bahawa dia tidak pernah terfikir untuk memasarkan kerongsang yang dihasilkan melalui internet.
“Selama ini sasaran saya hanya pelanggan dalam kalangan penduduk sekitar. Namun dengan bantuan Lisa (Nur Malissa), pelanggan makin ramai dan perniagaan semakin baik,” katanya yang menetap di Selarong, Pengkalan Hulu, Perak.
Dia berkata, walaupun sering berkongsi idea, Nur Mariani menganggap adiknya lebih kepada usaha pemasaran manakala dirinya dalam penghasilan produk.
“Tempoh paling genting adalah ketika musim perayaan dan perkahwinan kerana tempahan akan meningkat. Waktu itu Lisa akan sibuk membuat rekaan di universiti dan saya di sini.
“Tetapi jika ia melibatkan pengurusan pelanggan, saya akan serahkan sepenuhnya kepada adik saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: