Friday, February 14, 2014

IKIM berkampung di Masjid Usamah bin Zaid


PROGRAM dari konti ke pentas membawakan pendakwah terkenal, Habib Ali Zainal Abidin yang ke udara dalam rancangan Fiqhus Sirah di IKIMfm.


LIMPAHAN kenderaan memenuhi kawasan sekitar Masjid Usamah bin Zaid yang terletak di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ia berikutan kehadiran anggota masyarakat untuk sama-sama memeriahkan program Karnival Mahabbah IKIMfm yang menutup kalendar aktiviti 2013 stesen radio berkonsepkan Islamik tersebut.
Rata-rata pengunjung yang hadir mengakui, banyak manfaat yang diperoleh sepanjang dua hari karnival itu berlangsung melalui pelbagai aktiviti yang diadakan pihak penganjur.
Antaranya ialah senaman tai chi Islamik, pertandingan mewarna kanak-kanak, sesi menghias kek cawan, pertandingan memasak, futsal persahabatan dan segmen dari konti ke pentas yang menampilkan beberapa figura dalam bidang dakwah di Malaysia seperti Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, Ustazah Norhafizah Musa dan Ustaz Zulramli Mohamed Razali.
Tidak ketinggalan, turut diadakan program Qiyamullail dan Maulid@IKIMfm yang biasanya ke udara pada setiap hari Jumaat pada pukul 9 malam.
Bagi Masitah Ismail, 35, penyertaannya dalam karnival tersebut adalah sebagai peniaga yang menawarkan koleksi jubah kanak-kanak menerusi jenama Nurhaya Global.
Namun, selain menumpukan pada soal jualan, ibu kepada lima cahaya mata ini turut berpeluang melibatkan diri melalui aktiviti yang dianjurkan.
“Alhamdulillah, selain menjadikan karnival ini sebagai platform memperkenalkan jenama Nurhaya Global, saya juga gembira kerana dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu daripada para penceramah yang diundang.
“Malah, anak-anak saya tidak ketinggalan menyertai pertandingan mewarna dan menghias kek cawan bersama para pengunjung cilik yang lain,” ujar Masitah yang mula melibatkan diri dalam dunia perniagaan pada Mac 2013.
Sambutan
Dalam pada itu, pelajar Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Islam, Nur Hasyimah Che Ariffin, 20, berkata, sambutan yang diterima terhadap jualan tudungnya sangat memberangsangkan.
“Ini penyertaan pertama saya dalam program karnival anjuran IKIMfm ini. Banyak pengalaman yang diperoleh apabila dapat bersua muka dengan pengunjung yang hadir.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur di atas inisiatif mengadakan program yang penuh bermanfaat ini,” kata Nur Hasyimah.
Karnival Mahabbah IKIMfm ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan Rabbani Production selaku pengurus acara.
Penyelaras acara karnival tersebut, Fairuz Noordin, 38, memberitahu, program berkenaan merupakan salah satu promosi turun padang IKIMfm untuk bertemu masyarakat.
Selain itu, ia juga program alternatif bagi pengisian anak muda di Kuala Lumpur meraikan sambutan malam tahun baru.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, IKIMfm pernah menganjurkan program di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta dan Masjid As-Syakirin KLCC.
“Justeru, bagi menarik golongan muda untuk mengisi malam tahun baharu Masihi dengan pengisian yang mengikut syariat agama, IKIMfm dan rakan kerjasama menawarkan program ini sebagai satu usaha dakwah kepada masyarakat setempat,” kata Fairuz yang merupakan juruhebah merangkap penerbit segmen Nukilan di IKIMfm.
Sepanjang tahun 2013, sebanyak 13 program Karnival Mahabbah IKIMfm telah dilaksanakan dan Fairuz mengatakan bahawa ia akan diteruskan dalam kalendar aktiviti 2014.
Sementara itu, wakil Rabbani Production, Mohd. Asri Ubaidallah, 42, berkata, sambutan yang diterima daripada pengunjung sangat menggalakkan.
Lancar
Sepanjang dua hari program ini berlangsung, pekarangan Masjid Usamah bin Zaid sentiasa dipenuhi pengunjung yang datang bersama keluarga masing-masing.
“Alhamdulillah, selaku pengurus acara, kami bersyukur kerana program dapat berjalan lancar dengan izin-Nya. Malah, terdapat lebih 60 peniaga yang membuka gerai jualan sempena karnival ini.
“Antaranya gerai jualan makanan dan minuman, aktiviti memanah, jualan pakaian Muslimah dan produk makanan sunah,” tutur Mohd. Asri.
Karnival Mahabbah IKIMfm di Masjid Usamah bin Zaid dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: