- Noraini Najihah,15, kini hanya mampu bergerak dengan bantuan kedua ibu bapanya selepas kedua kakinya dipotong Mac tahun lalu.
Doktor mengesahkan kedua-dua kaki Noraini Najihah, 15, terpaksa dipotong pada Mac tahun lalu selepas doktor mengesahkan ia dijangkiti kuman dan boleh membahayakan nyawanya jika dibiarkan.
Pergerakan anak kedua daripada empat beradik itu terbatas membuatkan dia gagal meneruskan sesi persekolahan setelah kehilangan kedua-dua kakinya berikutan kelasnya berada di tingkat tiga dan tidak mempunyai kenderaan yang sesuai untuk ke sekolah.
Ibunya, Norasiah Abdul Rahim, 38, berkata, anaknya itu mengalami kemurungan bukan hanya kehilangan kedua kaki namun disebabkan tidak dapat ke sekolah seperti remaja lain yang seusianya dan masa depannya kini bagaikan sudah gelap.
Beliau yang bekerja sebagai penjual nasi lemak dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan berkata, suaminya, Mohd Nazri Abdul Rahman, 47 , hanya mempunyai motosikal sekali gus menyukarkannya untuk menghantar Noraini ke sekolah.
“Noraini kehilangan kaki pada Mac tahun lalu apabila doktor menasihatkan supaya ianya dipotong demi nyawanya. Sejak daripada itu beliau selalu memencilkan diri kerana kekurangan terbabit malah keadaannya bertambah tertekan apabila tidak dapat hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran.
“Walaupun Noraini tidak merungut namun jauh di sudut hatinya begitu sedih dan pilu setiap kali melihat rakan sebayanya pergi ke sekolah sedangkan beliau hanya mampu duduk di rumah saja.
“Pendapatan saya dan suami hanya dalam lingkungan RM700 di tambah pula untuk membeli keperluan untuk beliau seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan kos rawatan di hospital kira-kira RM600 sebulan membuatkan kami bingung memikirkan jalan penyelesaiannya.
“Sebagai ibu, saya cuba yang terbaik untuk beliau dengan menyediakan segala keperluannya mencukupi namun ada beberapa perkara tidak dapat dilaksanakan kerana bebanan kewangan,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap individu atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung anaknya dengan menyediakan kaki palsu atau motosikal untuk golongan kurang upaya (OKU) bagi memudahkannya ke sekolah sekali gus tidak tercicir daripada pembelajaran.
Sebarang sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Agro Bank Mohd Nazri Abdul Rahman - 2-00-6331-00005685-2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: