|
RANCANGAN Fear Factor yang menghidangkan cabaran getir dari aspek ketinggian, psikologi mental dan perlu meratah makanan yang menggelikan berjaya meraih jumlah penonton yang bukan sedikit.
Kembali memasuki musim kedua, para peserta Fear Factor Malaysia akan berhadapan dengan pelbagai tugasan dan cabaran yang semestinya mencabar mental dan fizikal.
Pada musim terdahulu menyaksikan pasangan Dazrin Kamarudin dan Hairul Azreen menjuarai pertandingan realiti televisyen itu selepas mengalahkan pasangan Hefny Sahad dan Hafizul Kamal.
Kini, dalam episod baharu, program yang masih mengekalkan pelakon Aaron Aziz sebagai hos menampilkan 16 selebriti tanah air bersama 16 peminat masing-masing bertanding untuk merebut hadiah lumayan.
Pada musim ini, peserta dipecahkan kepada dua kumpulan A dan B yang mana setiap pasangan terdiri daripada seorang selebriti dan seorang peminat.
Kumpulan A menampilkan pasangan Ungku Ismail dan Fify; Syed Ali dan Tatt; Norman Hakim dan Zarina, Nas-T dan Kairul; Ryzal Jaafar dan Sam; Sari Yanti dan Anbia; Dira Abu Zahar dan Azura serta Erin Malek dan Redha.
Sementara itu, Kumpulan B pula terdiri daripada pasangan Izzue Islam dan Emri; Shuib Sepahtu dan Zakaria; Zain Saidin dan Akmal; Bambang Soteto dan Faisal; Shah Iskandar dan Kartini; Yana Samsudin dan Janice; Azura Zainal dan Rechel serta Thanuja dan Joy.
Berbicara pada majlis pelancarannya yang berlangsung di Talent Lounge, Damansara, Nas-T yang ditempatkan dalam kumpulan A berkata, misi utama penglibatannya dalam pertandingan tersebut adalah untuk merebut hadiah utama.
Justeru hampir setiap hari dia melakukan aktiviti lasak untuk menguji kemampuan mental dan fizikal sebelum beraksi dalam pertandingan.
"Saya nekad untuk bertanding dan melakukan cabaran yang diberi sehabis baik," katanya.
Namun, di sebalik ketampanan pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kami itu, dia turut meluahkan rasa takut terutamanya cabaran yang memerlukannya menelan makanan yang pelik.
Ujarnya, meskipun sudah melakukan persiapan yang rapi sebelum sesi penggambaran namun cabaran makanan antara yang ditakuti.
"Sejujurnya saya tidak boleh makan kambing. Tidak tahu mengapa tetapi sewaktu cabaran itu saya tidak boleh melakukannya. Baunya sahaja boleh buat saya mahu muntah.
"Walaupun setiap cabaran yang disaksikan kelihatan mudah tetapi untuk menewaskan kumpulan lain amat sukar. Saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan sesiapa kecuali dengan diri saya sendiri," ujar Nas-T yang kini berumur 31 tahun.
Menurutnya, salah satu momen yang tidak dapat dilupakan ialah ketika diserang penyakit gatal-gatal selepas mengharungi cabaran bersama serangga.
"Saya diserang gatal-gatal seluruh badan. Selepas mengharungi cabaran serangga lipas madagascar, badan saya terus gatal sehingga bengkak-bengkak," jelasnya.
Selain itu, menurut salah seorang selebriti yang menyertai program tersebut, Erin Malek atau nama sebenarnya Nur'Arina Abdul Malek, dia hampir lemas ketika beraksi pada cabaran di dalam air.
Dia yang berpasangan dengan salah seorang peminatnya, Redha, berkata, cabaran tersebut merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Meskipun pelakon yang popular menerusi drama Misiku Kuza itu dilihat seperti wanita yang sopan-santun, namun dia berjaya membuktikan kehebatannya.
"Ketika kejadian itu, saya seperti nyawa-nyawa ikan. Badan saya lemah dan tidak bermaya tetapi bernasib baik kerana tidak berlaku sebarang kecelakaan.
"Selain itu, saya memang takut dengan ular, tetapi selepas menyertai Fear Factor Malaysia saya kurang takut pada reptilia itu malah saya menjadi semakin berani," jelas Erin.
Menurut pelakon Sari Yanti pula, menyertai Fear Factor Malaysia dapat mencabar dirinya.
Memiliki fizikal yang kecil dan comel, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui dia menolak untuk menyertai Fear Factor Malaysia pada mulanya namun setelah dipujuk serta mendapat sokongan suami, dia menerima tawaran tersebut.
"Ketika dihubungi pihak Astro untuk menyertai program itu, saya menolak kerana faktor fizikal. Malah apabila melihatkan pesaing saya seperti Dira dan Erin yang lebih besar membuatkan saya lebih takut.
"Tetapi atas pelawaan kali kedua saya menerimanya kerana mahu mencabar kemampuan dan keberanian saya," ujar Sari Yanti.
Dalam pada itu, Aaron memberitahu, pembabitannya sebagai hos pada musim ini tidak dapat melakukan sebarang bentuk cabaran kerana dia disahkan menghidap penyakit sendi di bahagian tengkuk atau Cervical Facet Arthritis.
"Atas nasihat doktor saya dinasihatkan untuk tidak menyertai sebarang aktiviti berat selama enam bulan kerana ia akan memudaratkan kesihatan saya.
|
"Namun, sebagai persediaan, dia (doktor) telah memberikan suntikan steroid yang boleh bertahan selama sebulan kerana saya perlu memulakan penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan.
"Mengenai cabaran kali ini, apa yang dapat disimpulkan adalah tugasan makanan antara yang paling sukar bagi para peserta, ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk serta angin kencang menyukarkan mereka untuk beraksi," jelas Aaron.
Pemenang utama Fear Factor Malaysia musim ini menerima wang tunai sebanyak RM200,000 manakala bagi cabaran mingguan pula bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Dalam pasa itu, menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, program Fear Factor masih mengekalkan konsep pertandingan asal namun terdapat pertukaran format seperti yang disiarkan sebelum ini.
"Untuk musim ini, kami telah membuka penyertaan kepada peminat untuk digandingkan dengan selebriti kegemaran mereka yang mana setiap peserta akan disenarai pendek setelah melalui sesi saringan pemilihan yang ketat.
"Setiap daripada mereka mempunyai kekuatan dan personaliti unik dan kami melihat mereka mampu memberikan warna-warna menarik bagi merancakkan musim kali ini," ujarnya.
Mengimbau kembali sejarah awal Fear Factor yang sebenarnya berasal dari Belanda yang dihasilkan oleh Endemol USA iaitu pengeluar program televisyen dan syarikat pengedaran antarabangsa yang berpangkalan di negara tersebut. Di Belanda, ia dikenali sebagai program Now or Neverland.
Namun, bagi pasaran Amerika Syarikat, nama program tersebut berubah menjadi Fear Factor yang sehingga hari ini menjadi fenomena di serata dunia apabila hampir 36 buah negara termasuk Indonesia dan Malaysia mengambil bahagian untuk menyertai program itu.
Fear Factor Malaysia bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam selama satu jam mulai semalam.
Sebanyak 26 episod akan ditayangkan secara eksklusif pada setiap hari Sabtu dan Ahad di saluran Astro Ria (104) serta siaran serentak di Maya HD (135).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: