SELAMA lapan tahun menjadi halwa telinga rakyat Malaysia, radio swasta, Hot FM kembali berusaha mengukuhkan kedudukannya.
Walaupun tidak berharap magis daripada barisan penyampai popular seperti pada awal penubuhannya, Hot FM yang bernaung di bawah bumbung Media Prima Bhd. itu dilihat boleh kembali berada di puncak jika strategi kali ini berkesan.
Bagi meraikan ulang tahun kelapan Hot FM, satu majlis doa selamat diadakan di banglo eksklusif Jeumpa, D'Ramo di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis membabitkan kesemua warga Hot FM itu berlangsung dalam suasana santai bagi menghargai kakitangan stesen radio tersebut yang bekerja keras untuk memenangi hati para pendengar.
Bersiaran 24 jam tanpa henti selain turut menyajikan lagu-lagu lama serta baharu barangkali menjadi rahsia stesen radio yang terkenal dengan tagline 'Muzik Paling Hangat' terus menjadi antara stesen yang popular di negara ini.
Untuk memastikan Hot FM terus menjadi pilihan, pelbagai segmen baharu dengan pengisian menarik diperkenalkan bagi menepati cita rasa serta gaya hidup pendengar yang dinamik.
Menjadi prinsip mereka apabila setiap komen serta kritikan daripada pendengar diambil kira dan diberikan suntikan baharu.
Justeru, antara program yang dijangka mendapat sambutan ialah segmen Doktor R yang disampaikan oleh pelakon terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor.
Program sejam setiap Rabu bermula pukul 7.30 pagi itu memberi peluang kepada pendengar untuk bertanyakan apa jua soalan yang mereka hadapi kepada Rosyam.
Pengurus Besar Kumpulan, Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd. Tahrim berkata, pemilihan Rosyam dibuat berdasarkan karakter dan populariti beliau.
"Kita pilih dia (Rosyam) secara tidak sengaja. Waktu itu, dia hadir ke studio untuk mempromosi filem Balistik. Walaupun tegas tetapi dia kelakar," katanya.
Sementara itu, turut diselitkan juga segmen Diva @ AM Krew yang menampilkan dua pelakon baharu iaitu Zulin Aziz dan Sherry Alhadad.
Kehadiran mereka bakal melengkapkan waktu pagi apabila pendengar akan dihiburkan dengan lawak spontan ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.
Selain itu, penyampai Kieran dan Ikhwan melalui segmen petang Hot FM ialah juara musim pertama Projek Metro, Khairu Norliza Khairudin yang diberi tanggungjawab untuk mewarnai program itu bermula daripada pukul 4 petang hingga 8 malam.
Dalam pada itu, Hot FM kali ini membuka ruang kepada penyanyi dan komposer muda yang memiliki aspirasi untuk berjaya dalam industri muzik tempatan melalui sebuah kempen yang dinamakan Projek EP.
Anida memberitahu, kempen yang menggunakan khidmat AG Coco sebagai produser dan panel pemilihan bertujuan mencari komposer serta penyanyi yang berminat untuk menerbitkan lagu baharu.
"Projek EP telah bermula kira-kira dua minggu yang lalu dan ia masih berterusan. Karya ciptaan yang terpilih akan disusun oleh AG Coco.
"Projek ini merupakan inisiatif pihak Hot FM untuk membantu karya seni baharu sebagai platform untuk mereka berada dalam industri seni tanah air.
"Pemenang bakal mendapat tajaan daripada Hot FM untuk menerbitkan muzik video lagu baharu tersebut," jelasnya.
Selain itu, penyampai baharu Hot FM, Mohamad Hafizie Roslan atau lebih mesra disapa sebagai Fizie diganding bersama Fara Fauzana dan AG menerusi slot Hot FM AM Krew pada pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
Dia yang menggantikan Faizal Ismail atau FBI dipilih berdasarkan keserasian sewaktu bertugas bersama dua penyampai senior tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Seelan Paul berkata, gandingan tersebut dilihat bakal memberikan satu kelainan untuk segmen pagi nanti.
"Bukan mudah mencipta satu keserasian tetapi dengan kepetahan serta aksi spontan Fizie, dia dilihat calon terbaik untuk menjayakan trio Hot FM AM Krew," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: