Saturday, February 1, 2014

Corolla Altis baharu lebih mengancam



TOYOTA Corolla mula diperkenalkan pada tahun 1966 di Jepun dalam kategori subkompak melalui model E10. Pada tahun 1974 generasi kedua model itu mula mendapat kepercayaan selepas diiktiraf sebagai model terlaris dunia.
Sebanyak 40 juta model ini telah dijual di lebih 150 buah negara sejak diperkenalkan. Di Malaysia, jenama Toyota diperkenalkan oleh UMW Toyota pada tahun 1968.
Sejak diperkenalkan, model Corolla mendapat sambutan yang menggalakkan malah model E20 masih digunakan sehingga kini.
Beberapa tahun kebelakangan, model E70 iaitu generasi keempat yang diperkenalkan pada tahun 1979 kembali popular dalam kalangan pelumba drift.
Model Corolla DX atau GL itu dicari untuk dijadikan sebagai kereta drift kerana model ini menggunakan pacuan roda belakang sebagai penggerak.
Baru-baru ini UMW Toyota telah melancarkan generasi ke-11 Corolla Altis di One World Hotel dengan menawarkan tiga varian kepada pembeli.
Tiga varian itu ialah 2.0V sebagai varian tertinggi, 2.0G (sederhana) dan 1.8 E (standard). Antara ciri-ciri yang diutamakan oleh Toyota seperti kuasa, kebolehpercayaan, kualiti, keselamatan dan nilai yang sangat baik.

RUANG dalaman mengaplikasi tona warna gelap sebagai satu langkah menyerlahkan ciri-ciri sporty jentera sedan Corolla Altis.


Toyota Corolla Altis terbaharu ini merupakan model yang direka semula dengan standard kecemerlangan automatif dalam kelas kereta itu.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki, Toyota Corolla Altis mula diperkenalkan di pasaran negara ini sejak tahun 2001 dan sehingga hujung tahun lalu pihaknya berjaya menjual sebanyak 63,798 unit model berkenaan.
“Jumlah jualan itu juga boleh menjadi bukti tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama Toyota. Pelancaran model ini menunjukkan evolusi terbaharu yang telah diberikan penambahbaikan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Sebelum dilancarkan, model ini telah menerima 1,000 unit tempahan sejak dipromosikan pada tahun lalu. Kami juga menyasarkan jualan Toyota Corolla Altis sebanyak 9,000 unit untuk tahun ini.
Pandu Uji
Pihak UMW Toyota telah mempelawa wakil-wakil media untuk memandu uji varian tertinggi Corolla Altis 2.0V lima hari sebelum dilancarkan.
Pandu uji yang dilakukan dari Shah Alam ke Mantin dan pulang semula ke Shah Alam memberi peluang kepada penulis untuk merasai pengalaman memandu model global yang ditunggu-tunggu oleh peminat setia Corolla.
Penulis berkongsi kereta dengan dua wakil media permotoran lain. Sebagai pemandu pertama, penulis memulakan perjalanan lebih kurang 60 kilometer itu. Model ini menggunakan sistem penghidup tanpa kunci. Tempat duduk pemandu juga boleh dilaras menggunakan elektrik.
Ketika perjalanan di lebuh raya, enjin 2.0 liter dengan Dual VVT-i itu rasa begitu lancar tanpa rasa kehilangan kuasa walaupun ketika melakukan pecutan dalam keadaan mengejut.

KETIGA-tiga varian baharu Corolla Altis menggunakan sistem transmisi automatik tujuh kelajuan dengan CVT.


Kotak gear CVT dengan tujuh kelajuan juga memberikan satu kesinambungan yang baik kepada enjinnya kerana transmisi ini tidak memberikan kesan sengguk yang menjengkelkan.
Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) memberikan Toyota Corolla Altis kelebihan melalui laluan berselekoh dengan yakin. Antara ciri-ciri keselamatan lain yang ada pada kereta ini seperti TC, ABS, EBD dan BA.
Selain itu, Corolla Altis ini juga menggunakan Auto Electro Chromic Mirror untuk mengurangkan silau ketika memandu pada waktu malam.
Varian 2.0V ini menggunakan rim bersaiz 17 dengan tayar 215/45 jenama Michelin Pilot Sports 3. Toyota Corolla Altis ini ditawarkan dengan lima pilihan warna - kelabu, perak, putih, hitam dan coklat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: