Friday, February 21, 2014

Buta bukan penghalang kejayaan



“TUHAN tarik deria penglihatan dan berikan saya gerak hati yang sangat kuat”. Itulah kata-kata pengasas syarikat Pengurusan Rekaan PSA Sdn. Bhd. (PSA), Azan Hassan, 56, apabila ditanya tentang kejayaan yang dicapai meskipun cacat penglihatan.
Sejak kecil Azan didiagnosis menghadapi penyakit Retinitis pigmentosa, iaitu sejenis penyakit mata yang disebabkan oleh kerosakan di bahagian retina. Retina merupakan lapisan tisu di bahagian belakang dalam mata yang mengubah imej cahaya ke bentuk isyarat saraf yang dihantar ke otak.
Bagi lelaki ini, penyakit itu merupakan satu penyakit warisan daripada ibu bapa dan telah menyebabkannya buta.
Sebelum ini, Azan memberitahu, dia masih mampu melihat tetapi dalam jarak yang sangat terhad dan hanya diisytiharkan buta sepenuhnya oleh pakar perubatan pada tahun 2000.
Begitupun, anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini tidak pernah berputus asa dan melupakan tanggungjawab kepada isteri dan empat orang anak mereka. Sebaliknya, dia yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai perkhidmatan awam di syarikat penerbangan, Malaysia Airlines (MAS) sejak tahun 1977 bertindak dengan “menyediakan payung sebelum hujan”.
Peletakan jawatan
Menurut lelaki yang kini hanya boleh melihat bayang-bayang pada jarak satu meter, penglibatannya dalam dunia perniagaan percetakan bermula pada tahun 2001, susulan peletakan jawatan di MAS atas faktor keselamatan.
“Saya membuka kedai percetakan di Jalan Zirkon, Shah Alam, Selangor dengan bermodalkan wang pampasan perubatan kesihatan MAS dan insurans diri iaitu kira-kira RM120,000.
AZAN merakam gambar di hadapan sebuah cawangan PSA di Bandung, Indonesia.


“Lokasi strategik berdekatan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Selangor dan Universiti Teknologi Mara membantu memajukan syarikat percetakan berkenaan dan membawa kepada pembukaan cawangan kedua di Universiti Kuala Lumpur, Sepang pada tahun 2002,” katanya sambil memaklumkan perniagaannya terus mengukuh dengan pembukaan dua lagi cawangan di Universiti Malaya dan Jalan Plumbum, Shah Alam.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah pencetakan asas, pencetakan bunting, kain rentang dan rekaan grafik.
Azan memberitahu, perjalanan perniagaannya banyak dibantu oleh isteri, Sahrizan Aminuddin, 53, selain tiga anak lelakinya, Amirul Haikal, 28, Aezhan Haikal, 26 dan Aiman Haikal, 22.
Sokongan
“Isteri sememangnya tahu tentang penyakit ini sebelum kami berkahwin. Dia mempunyai kesabaran yang sangat tinggi dan sentiasa memberi sokongan tanpa belah bagi.
“Begitu juga dengan anak-anak. Mereka banyak memberi dorongan dan turut terlibat dalam pembukaan cawangan-cawangan lain walaupun dua daripada mereka terpaksa mengorbankan cita-cita menjadi jurutera kapal terbang,” katanya.
Mengulas lebih lanjut tentang perancangan hidupnya, Azan berkata, sebelum menceburi bidang percetakan, dia telah menjalankan perniagaan kargo dan logistik sejak tahun 1993.
“Sebelum berhenti kerja, saya menyediakan perkhidmatan penghantaran barang di Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Ia adalah langkah persiapan saya yang pertama dalam menghadapi saat-saat sukar pada masa hadapan dan pada 2008, saya telah mengembangkan perniagaan tersebut sehingga ke United Kingdom,” katanya sambil memaklumkan perniagaan itu masih lagi diteruskan dengan bantuan rakan niaga di sana.

PERNIAGAAN PSA terus mengukuh dengan penyediaan kepelbagaian perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan.


Tulang belakang
Dalam pada itu, anak sulungnya, Amirul, memberitahu perniagaan percetakan ayahnya kini dioperasikan sepenuhnya oleh dirinya.
“Sebelum ini, saya menuntut di Universiti Manchester Metropolitan, United Kingdom (UK) di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Aeroangkasa pada tahun 2007. Saya pulang ke Malaysia pada 2011.
Sebelum itu, perniagaan ini dijaga sepenuhnya oleh ayah dan dua adik lelaki saya.
“Kini, saya memantau empat kedai milik PSA selain dua lagi cawangan di Bandung, Indonesia,” jelasnya yang menjadi tulang belakang keluarga berkenaan.
Amirul berkata, semasa ayahnya berulang-alik ke UK atas urusan perniagaan kargo, dia banyak memberi tunjuk ajar kepadanya. Di UK, Amirul menjadi ‘mata’ perniagaan ayahnya denga memantau segala operasi penghantaran barang.
Menurut beliau, pengukuhan perniagaan PSA bukan sekadar penyediaan perkhidmatan terbaik, malah pembukaan cawangan lain di lokasi strategik turut memberi sumbangan besar. Selain itu, pertukaran cawangan di Jalan Zirkon, Shah Alam sebagai kedai yang beroperasi selama 24 jam turut memberi impak besar.
“Cawangan ini telah dijadikan ibu pejabat PSA atas permintaan para pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan di luar waktu operasi biasa. Premis perniagaan ini juga terkenal dengan nama kedai cetakan orang kelainan upaya (OKU),” jelasnya.
Menjawab pertanyaan tentang pemilihan nama kedai tersebut, Azan berkata, dia pernah menggaji tiga orang OKU di kedai tersebut, namun dua daripada mereka mendapat tawaran bekerja sebagai kakitangan kerajaan, manakala seorang lagi yang cacat pendengaran berhenti ekoran mengalami kesukaran memahami pesanan pelanggan.

AMIRUL kini menjadi tulang belakang Azan dalam menguruskan perniagaan PSA.


Berbicara tentang ayahnya, Amirul memberitahu, ayahnya itu mempunyai penderiaan yang sangat tinggi, mampu menyediakan rekaan grafik sendiri dan membantu kerja-kerja di kedai.
“Walaupun tidak dapat melihat, ayah boleh membayangkan imej-imej yang dibentuknya semasa membuat rekaan grafik, cuma kadangkala muka surat kertas yang diikat terbalik,” katanya.
Pelanggan setia
Seorang pelanggan setia kedai percetakan OKU, Mohd. Khaililullah Osman, 32, berkata, dia datang dari Klang semata-mata ingin mendapatkan perkhidmatan mencetak kain rentang.
“Kedai ini menyediakan perkhidmatan 24 jam, jadi saya tidak mengalami kekangan masa untuk membuat tempahan sekali gus tempahan dapat disiapkan lebih cepat.
“Harga yang ditawarkan juga lebih murah berbanding kedai lain. Kedai ini menawarkan setiap 0.3 meter kain rentang pada kadar bayaran RM1 berbanding kedai lain RM2 dengan kualiti yang standard,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: