Friday, February 21, 2014

Beri atau ambil apa sahaja



KESEMPITAN hidup Salbiah Manap, 43, semakin bertambah apabila suaminya lari meninggalkan keluarga sejak tiga tahun lalu. Ibu kepada lima orang cahaya mata itu kini bekerja sebagai pembantu gerai menjual hidangan nasi kukus di pasar raya Giant, Batu Caves, Selangor.
Pendapatan sebanyak RM30 sehari digunakan sebaiknya oleh Salbiah untuk mengatur perbelanjaan kehidupan sehariannya bersama tiga orang anak yang masih bersekolah.
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Salbiah bersyukur kerana dia tidak putus-putus menerima bantuan daripada orang ramai. Selain itu, dia yang tinggal di Kampung Padang Balang, Gombak, Selangor juga merupakan golongan miskin yang berhak menerima zakat atau asnaf.
Kunjungan Salbiah dan tiga orang anaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Kasih Tauhid dan golongan asnaf dari Gombark ke pasar percuma FreeMarketTTDI baru-baru ini ternyata mampu membuatkan senyuman terukir pada bibirnya.
"Saya tidak pernah membeli pakaian untuk anak-anak. Pakaian harian kami sekeluarga semuanya pemberian orang ramai. Di pasar ini, kami diberi peluang untuk mengambil barangan yang diletakkan secara percuma. Saya dan anak-anak mengambil pakaian yang kebanyakannya kelihatan seperti masih belum digunakan," ujarnya sambil menunjukkan dua helai baju dan seluar sukan yang diambil untuk anaknya.
Bersyukur
Bagi golongan asnaf seperti Salbiah, dia amat bersyukur kerana diberi peluang berkunjung ke pasar percuma FreeMarketTTDI. Pengalaman pertama kali itu memberi peluang kepadanya untuk mengambil barangan keperluan untuk kegunaan keluarganya.

PENGUNJUNG mula memenuhi setiap gerai pameran FreeMarketTTDI seawal pukul 9 pagi untuk melihat dan mengambil barangan yang menarik perhatian mereka.


Pasar percuma FreeMarketTTDI dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh lima orang belia di Cafe Al-Ghufran, Masjid Al-Ghufran, Taman Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada hari ahad lalu.
Konsep pasar percuma FreeMarketTTDI berbeza dengan kebanyakan pasar lambak lain yang dianjurkan di negara ini. Sesuai dengan konsepnya, pengunjung FreeMarketTTDI digalakkan mengambil dan membawa pulang barang-barang yang dipamerkan oleh kira-kira 100 penyumbang secara percuma.
Pihak penganjur yang terdiri daripada belia dari Taman Tun Dr. Ismail hanya membenarkan barangan yang masih elok dan boleh digunakan dipamerkan sepanjang acara selama dua jam itu.
Antara barangan yang diberi percuma kepada pengunjung ialah pakaian, perabot, buku, permainan kanak-kanak, televisyen dan barangan keperluan bayi. Selain itu, terdapat juga individu yang memberikan makanan dan minuman percuma kepada pengunjung yang hadir.
Menurut penganjur dan ketua projek FreeMarketTTDI, Ahamad Emran Anwarrudin, 33, acara tersebut merupakan sebuah projek sukarela tanpa melibatkan wang ringgit.
Menurutnya, pihak masjid Al-Ghufran memberi kerjasama dengan tidak mengenakan sebarang bayaran kepadanya untuk menggunakan Cafe Al-Ghufran sebagai lokasi acara itu.
"Ramai yang memberi cadangan agar barangan yang dikumpulkan diagihkan kepada rumah anak-anak yatim atau rumah jagaan warga emas. Bagi saya, hanya barangan tertentu yang bersesuaian untuk diagihkan kepada kedua-dua rumah itu. Selain itu, ramai yang ingin mendermakan barangan keperluan mereka kepada masyarakat. Cuma, mereka tidak tahu medium untuk menyalurkan barangan itu.
"Di pasar percuma FreeMarketTTDI, mereka yang terlibat atau penyumbang boleh meletakkan pelbagai barangan. Sekiranya pengunjung merasakan barangan itu bersesuaian dan memberi manfaat, mereka boleh mengambilnya," ujar perancang strategik di salah sebuah agensi pengiklanan di Shah Alam, Selangor itu.
VARIASI genre buku lama dan baharu yang dipamerkan menjadi pilihan pengunjung untuk dibawa pulang.


Idea
Tambahnya, dia mendapat idea untuk menganjurkan FreeMarketTTDI selepas menyertai sebuah pasar percuma di Shah Alam pada bulan Ramadan tahun lalu.
Selain barangan asas, terdapat khidmat pemeriksaan tulang belakang, kesihatan, nasihat perundangan dan kewangan secara percuma kepada pengunjung.
Sepanjang acara yang menarik kira-kira 1,000 pengunjung itu, pihak penganjur menyarankan kepada mereka untuk mempraktikkan nilai-nilai murni terutama ketika meminta barangan yang dipamerkan oleh penyumbang.
"Sepanjang acara ini, kami membuat pengumuman menerusi pembesar suara agar pengunjung memberi salam dan meminta kebenaran daripada penyumbang sebelum mengambil barangan yang dipamerkan. Ia merupakan kaedah sopan untuk meminta kebenaran dan dalam masa yang sama merapatkan silaturrahim sesama insan," tambah Ahamad Emran.
Selain Ahamad Emran, FreeMarketTTDI juga berkolaborasi bersama komuniti #tamakpahala yang dikendalikan oleh Syed Azmi Alhabshi, 37 yang mempromosikan aktiviti berkonsepkan nilai-nilai murni di sekitar kawasan Taman Tun Dr. Ismail.
Tidak hanya tertumpu kepada masyarakat yang beragama Islam, pasar percuma FreeMarketTTDI juga berjaya menarik minat pengunjung berlainan kaum dan agama ke pekarangan Masjid Al-Ghufran.
Manfaat
Seorang pengunjung FreeMarketTTDI, Reza Akashah, 21, dari Taman Saujana Impian, Kajang memberitahu, acara tersebut memberi manfaat kepada orang ramai dengan mendermakan barangan yang masih boleh digunakan kepada masyarakat.
"Bagi saya, acara ini memberi peluang kepada seluruh masyarakat tidak kira kaya atau miskin. Bagi penyumbang yang mempunyai barangan berlebihan, mereka boleh memberi sumbangan melalui cara ini. Selain menderma secara ikhlas, pasar ini merupakan salah satu penyelesaian untuk mengelakkan pembaziran," ujarnya yang turut membantu ibu bapanya di salah sebuah gerai di pasar itu.
Dengan slogan Beri Atau Ambil Apa Sahaja, FreeMarketTTDI tidak menjalankan aktiviti menggunakan sistem barter atau pertukaran barangan. Setiap barangan yang dipamerkan boleh diambil oleh para pengunjung dengan syarat perlu meminta secara baik daripada pemiliknya.

USAI mengambil barangan, pengunjung diberi peluang menjalankan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh agensi swasta.


Sementara itu, seorang penyumbang yang terlibat di salah sebuah gerai dalam acara itu, Norbasheerah Amir Hamzah, 44, memberitahu, dia dan rakan-rakannya telah menyediakan pelbagai barangan untuk didermakan di pasar percuma itu.
Menurut Penolong Pengurus Universiti Asia E itu, FreeMarketTTDI merupakan acara amal terbesar yang pernah disertainya.
"Kami menyediakan barangan seperti pakaian sekolah, barangan bayi, pinggan mangkuk dan televisyen. Barangan peribadi milik kami sebanyak 10 kotak besar habis diambil oleh para pengunjung dalam sekelip mata. Selain itu, lokasi di kafe di kawasan pekarangan Masjid Al-Ghufran juga mampu menarik segenap masyarakat untuk menyertai acara ini.
"Saya dan rakan-rakan memberi sumbangan khas berupa barangan kelengkapan peribadi kepada golongan asnaf yang memakai riben berwarna biru. Bagi saya, ia merupakan peluang terbuka untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: