Sunday, February 2, 2014

Bank jadi 'port'


  • Bank jadi 'port'Kamal dibawa ke Pejabat JKM Daerah Kuala Terengganu setelah ditemui meminta sedekah di kawasan bank di Bandaraya Kuala Terengganu.

MULA menjadikan kawasan bank di Bandaraya Kuala Terengganu sebagai ‘port’ lebih setahun lalu, lelaki yang menetap di Bachok, Kelantan ini mendakwa mampu memperoleh pendapatan melebihi RM100 sehari dengan hanya berbekalkan satu bekas plastik.

Malah, hasil lumayan diterima dengan mudah menyebabkan lelaki dikenali sebagai Kamal (bukan nama sebenar) ,50-an yang lumpuh tangan kanan ini sanggup menaiki bas antara dua hingga tiga kali seminggu dari Bachok ke Kuala Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, Kamal yang masih bujang ini bukan sahaja memiliki telefon bimbit tetapi, berkemampuan menyimpan barang di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan kadar RM5 setiap barangan sementara dia meneruskan kegiatan meminta sedekah.

Menurut Kamal yang berasal dari Thailand, biasanya dia akan menaiki bas kira-kira jam 8 pagi dari Bachok dan memberitahu, waktu pulangnya tidak menentu, sebaliknya bergantung kepada hasil pendapatan diperolehnya.

“Kalau dapat banyak, pakcik pulang awal, tapi kalau dapat sikit pakcik akan duduk lebih lama lagi. Tangan kanan pakcik lumpuh sejak lahir dan kerana itulah tak boleh bekerja. Setiap hari juga pakcik kena makan ubat.

“Apa lagi yang boleh pakcik buat? Hendak buat kerja tak boleh kerana hanya tangan kiri pakcik saja boleh guna dan hanya cara ini sajalah dapat beri pakcik duit untuk belanja. Pakcik tahu cara ini salah tetapi ini sahaja mampu dibuat,” katanya

Menurutnya, dia datang ke Kuala Terengganu antara dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada keadaan.

“Waktu tengah harilah biasanya ramai orang menderma kepada pakcik dan jumlahnya tak menentu.

“Ada kalanya sikit tetapi ada juga lebih RM100. Tak semua orang yang lalu lalang akan bagi duit pada pakcik, namun jika bulan puasa pasti lebih ramai akan menderma,” katanya yang telah pun mempunyai kad pengenalan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: