Sunday, February 2, 2014

'Anak pembakar semangat saya'


  • 'Anak pembakar semangat saya'Selain dibantu tiga pekerjanya, Ramlah turut dibantu anak-anaknya yang masih tinggal bersama di rumah. 

SETIU - Berkat kegigihan seorang ibu tunggal lima anak di Kampung Langkap, dekat sini, menjalankan perusahaan memproses sos membolehkan dia menjana pendapatan kasar mencecah RM13,000 sebulan.

Ramlah Ali, 55, kini pastinya tersenyum puas apabila perniagaan secara kecil-kecilan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu bersebelahan rumahnya telah berjaya mengeluarkan tujuh jenis produk termasuk sos pencicah, kicap dan gula.

Menurutnya, sebelum ini dia menyertai perkumpulan wanita pekebun kecil di bawah Risda selama 10 tahun dalam melaksanakan perusahaan berkenaan melibatkan seramai lapan orang dengan hanya mengeluarkan modal sebanyak RM100 sebagai peserta.

“Sejak kematian suami 13 tahun lalu, anak menjadi kekuatan serta pembakar semangat saya untuk terus berusaha demi menyara mereka yang ketika itu sedang membesar. Bersama perkumpulan berkenaan saya menimpa pelbagai ilmu dan pengalaman.

“Pada 2011, saya ambil keputusan mengusahakannya sendiri dengan modal permulaan RM20,000 melalui pinjaman Amanah Ikhtiar. Pihak Risda juga banyak membantu saya termasuk dari segi peralatan serta khidmat nasihat,” katanya.

Hasil 500 botol kicap sehari

Kata Ramlah, memandangkan ketika itu dia baru memulakan perniagaan, pasarannya hanya di sekitar daerah ini.

“Saya sendiri akan edarkannya ke kedai-kedai. Kini, saya telah dapat luaskannya ke seluruh negeri sehingga ke Pahang.

“Jika dulu saya hanya keluarkan 100 botol kicap sehari, sekarang ini Alhamdulillah ia mencecah 500 botol dan berjaya diedarkan dalam masa dua hari. Kerja-kerja mengedar masih lagi dilakukan sendiri,” katanya.

Keluar tujuh produk

Kata nenek kepada 10 orang cucu ini, dia bersyukur kerana perusahaan dijalankannya itu mampu bertahan dan memberikan pulangan yang memuaskan sekali gus membolehkannya membayar kos untuk tiga pekerjanya.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun ini saya keluarkan tujuh produk iaitu sos pencicah (cili kering), sos pencicah (cili segar), sos cili, sos tomato, sos rojak, kicap pekat manis dan cuka. Produk ini biasanya dijual secara dozen bermula dari RM5 hingga RM30 sedozen mengikut jenis.

“Jualan secara sedozen iaitu 12 botol itu biasanya dijual di kedai-kedai atau peruncit, jika individu yang datang secara terus ke bengkel untuk kegunaan di rumah kita turut jualnya berdasarkan jumlah botol bukannya hanya secara dozen sahaja,” katanya.

Sasar pasar ke negeri lain

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya, Ramlah menyasarkan untuk memperluaskan pasaran produknya ke negeri lain pada tahun ini sekali gus mampu menjana pendapatan kasar antara RM20,000 sebulan.

“Setiap hari, hampir 1,000 botol produk pelbagai jenis telah dikeluarkan. Sasaran bulanan pada tahun ini diharapkan dapat jadi kenyataan berdasarkan permintaan semakin meningkat dan fokus pasaran kini ialah di sekitar Melaka serta Perak pula.

“Sebenarnya, saya juga tidak menjangka dapat sampai ke peringkat ini walaupun perusahaan ini dilakukan hanya secara kecil-kecilan. Syukurlah, produk dikeluarkan dapat sambutan serta memikat selera pengguna.

“Berdasarkan perancangan juga, saya bercadang untuk keluarkan dua produk baharu iaitu sos tiram dan kicap masin. Alhamdulillah, perusahaan saya jalankan ini turut memberi peluang kerja kepada penduduk di sini walaupun tidak ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: