LAGU ciptaan komposer prolifik LY dan lirik oleh Baiduri, Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz Suip sudah dipaterikan sebagai Juara Lagu untuk edisi ke-28 penganjuran Anugerah Juara (AJL). Malam kemuncak AJL yang berlangsung penuh warna dan gimik acara secara Game On pada Ahad lalu, rasanya masih segar di mata ramai.
Komposer dan penyanyi lain yang turut dijulang pada acara muzik tahunan itu ialah kumpulan Hyper Act dan Frozen dengan lagu nyanyian Hyper Act iaitu Hanya Aku sebagai naib juara manakala komposer Omar K, Audi Mok dan Altimet dengan Kalau Aku Kaya yang dinyanyikan sendiri oleh Altimet dan Awi Rafael di tempat ketiga.
Persembahan vokal terbaik pula ternyata berpihak kepada pemilik vokal lantang, Jaclyn Victor dengan lagu Ikut Rentakku ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim.
Sejujurnya, keputusan juara milik LY, Baiduri dan Hafiz sudah awal-awal lagi ditebak sebilangan besar pemerhati arus muzik tanah air. Lunak dan kejelasan vokal Hafiz diyakini sebagai pelantun yang paling layak untuk menterjemah Bahagiamu Deritaku sebagai lagu terbaik pernah dihasilkan pada tahun 2013.
Vokal Hafiz yang pernah tiga tahun berturut-turut menguasai AJL dengan kategori Vokal Terbaik juga berada di bibir ramai, namun rezeki Vokal Terbaik AJL28 menyebelahi Jaclyn. Mungkin 'tentera vokal' yang dibarisi oleh Adibah Noor, Dina Nazir, Salamiah Hassan, Atilia dan Elvira Arul menjadi salah satu penyumbang memantapkan aura kehebatan vokal Jaclyn Victor.
Hafiz bagaimanapun sempat menambat hati juri dan peminat dengan persembahan penuh emosi lantas mengizinkan dirinya merampas anugerah Persembahan Terbaik yang tahun lepas menyebelahi penyanyi Alyah menerusi lagu Kisah Hati.
Setiap lagu dan penyanyi yang berjaya bolos ke malam kemuncak AJL sudah pasti memiliki kekuatan tersendiri. Sudah tentu juga 12 buah lagu yang terpilih itu mempunyai keistimewaan di hati juri dan seluruh pemerhati muzik tanah air.
|
Komposer
Lagu-lagu seperti In Love with You nyanyian Aizat dan Noh Salleh, Hazama dan The Penglipurlara dengan lagu Penglipurlara, Black (Takkan Terpisah), Alyah (Kau Yang Terindah), Najwa Latif feat. Sleeq & Shamkamarul (Sahabat), Azlan & The Typewriter (Tanda Tanya), Salam Musik (Aku Pelat) dan Stacy (Bosan) merupakan lagu-lagu yang berada di carta teratas sepanjang 2013.
Keputusan AJL tidak perlu dipertikaikan lagi. Tidak perlu ditanya kenapa Bahagiamu Deritaku dipilih sebagai juara, begitu juga dengan Hanya Aku dan Kalau Aku Kaya.
Tidak terdengar keluhan tentang kalah menang lagu-lagu pada AJL28 kecuali dalam satu perkara iaitu tentang pemilihan lagu Kalau Aku Kaya menjadi menimbulkan tanya tanya.
Apa kelebihan lagu Kalau Aku Kaya berbanding Aku Pelat (Salam Musik) sedangkan jika dilihat dari segi lirik, Aku Pelat lebih mendalam maksudnya.
Secara mudah, saya melihat pemilihan lagu dan lirik Kalau Aku Kaya sangat dekat situasi ekonomi dan keluh-resah khalayak ketika ini. Secara mudahnya, lagu Kalau Aku Kaya sangat marhaen, jelas dan ringkas.
Ia tidak seperti Aku Pelat yang mempunyai makna tersirat. Secara mudahnya lagi, orang Malaysia tidak suka mencari sesuatu yang tersirat kerana apa yang tersurat lebih mudah difahami.
Selesai tentang penjurian, penulis tertarik dengan kaedah penyampaian dan kaedah AJL itu sendiri. Sudah namanya 'anugerah juara lagu', secara tersuratnya majlis gilang-gemilang itu bertujuan untuk mengangkat sesebuah karya muzik.
Malangnya, sudah bertahun-tahun, pengumuman juara, naib juara atau tempat ketiga mendahulukan penyanyi berbanding pencipta lagu.
Persembahan
Perkara itu boleh lagi dimaafkan jika dikira dari segi populariti dan kemasyhuran lagu berkenaan. Tanpa penyanyi yang tepat, sebaik mana pun sesebuah karya itu, ia tidak akan berjaya jika ia berada di tangan penyanyi yang salah.
Namun, secara berhemah dan seelok-eloknya, berilah sedikit ruang acara sekali setahun begitu dilihat ikhlas mahu memberikan pengiktirafan kepada lagu, bukan kepada penyanyi.
Penghujung AJL minggu lalu, hos AJL iaitu AG Hot FM dan Scha Al Yahya diberikan skrip untuk menjeritkan nama Hafiz Suip dan Bahagiamu Deritaku sebagai juara kemudian barulah menjemput LY dan Baiduri naik ke pentas.
|
Ketika sang juara diberikan peluang untuk memberikan ucapan kemenangan, saya pasti, ramai yang tertunggu-tunggu Hafiz mengucapkan terima kasih buat LY dan Baiduri yang telah mendedikasikan melodi dan lirik terindah berjudul Bahagiamu Deritaku buat dirinya.
Malangnya, satu patah pun ucapan untuk pencipta lagu itu tidak disebut. Hafiz cuma mengingati peminat dan pihak pengurusannya berbanding pencipta yang telah membekalkannya sebuah naskhah terhebat 2013.
Sewajarnya, produksi yang telah puluhan tahun mengendalikan AJL sedia maklum dan peka tentang jiwa penganugerahan sesebuah acara yang mencari lagu terbaik.
Setidak-tidaknya, berilah secarit ruang untuk komposer dan penulis lirik lagu terbaik memberikan ucapan terima kasih kepada pendengar muzik yang mengangkat kehebatan karya mereka. Cukup sekadar ucapan terima kasih, itu sangat berbaloi untuk kemunculan setahun sekali di atas pentas seperti AJL.
Tutup cerita soal penghargaan kepada komposer di pentas AJL, percaturan pemilihan artis yang mengisi persembahan interlud yang menampilkan Ziana Zain, Amy Search, Datuk M. Daud Kilau, Waris, Zaidi One Nation Emcee serta Filsuf tirai akhir edisi ke-28 itu dilabuhkan cukup menarik perhatian.
Lagu-lagu medley yang diberikan sentuhan baharu serta gandingan lama dan baharu sering menjadi idea gempak kepada penutup sesebuah acara besar seperti AJL.
Secara kasarnya, ia menarik namun kemunculan Ziana Zain barangkali sudah bukan eksklusif untuk AJL28 sahaja. Pada AJL tahun lepas, Ziana menjadi penyanyi untuk persembahan penutup bersama Azlan & The Typewriter. Ziana juga pernah muncul mengisi persembahan pada AJL25.
Mencari kelainan, mujurlah ada M. Daud Kilau yang mencetus gemuruh sorak penonton dengan gelek Cek Mek Molek. Saya kira, itulah pengubat kepada tema Game On yang memabukkan mata sepanjang AJL28 minggu lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: