Sunday, February 2, 2014

Pemandu pelancong Tahun Baharu Cina



JELITAWAN berketurunan Tionghua, Debbie Goh sedang dalam perjalanan untuk menikmati makan malam bersama teman-temannya semasa dipelawa untuk berkongsi kebahagiaan serta percaturan karier yang sedang dijalaninya di Kuala Lumpur.
Bekas Miss Malaysia Chinese International 1998 itu ternyata menyimpang daripada telahan penulis. Sebelum ini, ada kerisauan dan bimbang bersembunyi di hati.
Manalah tahu kalau-kalau permintaan untuk mencuri masa disebalik kesibukannya membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina membuatkan Debbie terganggu.
Telahan penulis meleset. Tanpa pernah mengenali dirinya secara dekat mahupun bertemu mata, kami berbual bagaikan sudah kenal lama.
Perbualan dari hujung talian itu tambah mengujakan apabila Debbie langsung tidak kekok berbahasa Melayu. Tuturnya lancar penuh keramahan.
Tahun Kuda - rindukan kakak
"Ya, apa yang boleh saya bantu untuk memudahkan temu bual ini. Bagaimana dengan gambar-gambar? Saya boleh kongsikan dengan anda beberapa keping gambar saya yang belum pernah disiarkan," katanya selepas penulis memperkenalkan diri dan menyatakan, hasrat untuk menjadikan kisahnya sebagai penghias muka depan Sensasi Bintang sempena minggu perayaan ini.
Melangsungkan perbualan, Debbie mengakui suasana sambutan Tahun Baru Cina tahun ini terlalu berbeza. Jika sebelum ini dia akan mencuri waktu untuk pulang ke Johor Bahru (JB) bagi meraikannya bersama-sama keluarga, tahun ini pula sebaliknya.

DEBBIE GOH atau nama sebenarnya, Goh Seok Sim pernah membina nama sebagai pelakon yang mengikat kontrak bersama stesen TVB di Hong Kong.


"Saya pulang ke JB seminggu sebelum Tahun Baru Cina kerana urusan kerja. Jadi pulang sahaja dari JB, ibu menelefon saya agar tidak perlu susah-susah balik beraya.
"Mereka sebaliknya mahu sambut tahun baharu di Kuala Lumpur sahaja. Banyak rancangan kami sepanjang cuti ini. Ia lebih seronok kerana saya boleh bawa keluarga makan angin di sini.
"Ramai orang Kuala Lumpur pulang bercuti, jadi saya mahu suasana jalan raya yang lengang ini dapat dinikmati dengan tenang," ujar Debbie yang menjadikan stimbot sebagai menu wajib Tahun Baru Cina.
Setiap kali tahun baharu juga, Debbie pasti merindui kakak dan abangnya yang sudah bertahun-tahun menetap di luar negara.
"Sudah enam tahun saya tidak bertemu dengan kakak yang tinggal di Kanada. Tahun ini, dia ada sedikit masalah kesihatan dan perlu dibedah. Lagipun tarikh cuti di sana tidak sama dengan Malaysia. Lebih-lebih lagi, tahun ini Tahun Kuda iaitu tahun kelahiran kakak saya.
"Jadi bila cakap pasal Tahun Kuda, saya hanya akan ingat kakak saya itu," akui Debbie yang kurang arif untuk menterjemahkan kepercayaan dan metafora mengenai tahun-tahun kelahiran dalam kalendar Cina.
"Saya cuma mengharapkan kebahagiaan, diberikan kesihatan yang baik, keseimbangan dalam apa juga yang dilakukan serta lebih sukses dalam kerjaya. Setiap tahun itulah yang saya harapkan," tambah Debbie.
Tengok wayang agenda wajib
Melenturkan lagi bicaranya, pelakon berusia 36 itu menjelaskan: "Lebih seronok lagi, kawan saya yang juga pelakon di Hong Kong datang bercuti ke Kuala Lumpur kali ini.
"Pendek kata, saya jadi pemandu pelancong yang paling seronok sepanjang cuti ini. Bawa mereka jalan-jalan dan tengok wayang, kebetulan saya ada filem baharu yang akan ditayangkan.
"Jadi, saya akan beli tiket untuk tengok wayang dengan keluarga dan kawan-kawan."
Bercakap tentang Hong Kong, sebelum pulang ke Malaysia beberapa tahun lalu, Debbie pernah menetap sekitar enam tahun di sana.
PADA usia 36 tahun, Debbie tidak merasakan dia harus segera menamatkan zaman solo.


Karier seni lakonannya bermula sebagai pengacara sebelum mendapat tawaran lakonan daripada sebuah stesen televisyen Hong Kong.
"Selepas menang ratu cantik, mula-mula saya jadi pengacara program hiburan di sana. Dari situlah karier lakonan saya bermula.
"Ketika itu saya langsung tiada pendidikan formal dalam lakonan," katanya yang sudah dua kali meraih anugerah Pelakon Wanita Paling Popular Golden Awards terbitan ntv7 iaitu pada tahun 2010 dan 2012.
Masih berlegar dalam likat emosi Tahun Baru Cina, Debbie menyambung cerita. Katanya, suasana Tahun Baru Cina tahun ini bukan sekadar sebuah perayaan untuk diraikan bersama keluarga bahkan bersama semua pihak yang telah banyak berkongsi idea dan kreativiti sepanjang dia terlibat dalam industri hiburan.
"Sebagai ahli keluarga yang belum berkahwin, saya memang boleh kutip angpau daripada orang lain, tetapi sebagai anak saya tetap kena sediakan duit angpau untuk ibu bapa. Saya juga berikan angpau kepada sesiapa sahaja yang pernah bekerja dengan saya termasuk jurusolek atau jurukamera saya.
"Itu satu penghargaan daripada saya buat mereka yang banyak membantu pencapaian saya selama ini," ujar Debbie yang bakal muncul dengan filem Bullet Over Petaling Street minggu depan.
Menyifatkan filem sebagai fokus utama kariernya, Debbie mampu mengukir janji.
Katanya, biarpun industri perfileman, baik Melayu ataupun Cina, penonton mahukan sebuah filem yang bukan sahaja untuk berhibur tetapi kemas penceritaannya.
Sebagai pelakon yang terbabit dalam bisnes filem Cina, sengaja soal penerimaan masyarakat Cina terhadap filem tempatan penulis ajukan.
"Jualan tiket filem sama ada filem Melayu atau Cina semakin tidak menentu, ada yang merudum. Filem berbahasa Cina juga begitu. Bagi saya penonton tidak salah.
"Dalam lima tahun kebelakangan ini, banyak orang buat filem untuk duit semata-mata.

TAYANGAN filem terbaharu lakonannya, Bullet Over Petaling Street semasa Tahun Baru Cina kali ini memberikan kebahagiaan berganda buat Debbie Goh.


"Bagi saya, memang penonton mahukan sebuah filem yang macam filem Hollywood, tapi untuk filem tempatan, tak kiralah bahasa apa, penceritaan harus ada kualiti. Saya cari kualiti itu dalam setiap filem yang saya lakonkan.
"Sebab itu saya terima tawaran untuk filem Claypot Curry Killers, sayangnya filem itu diharamkan tayangan ke pawagam.
"Saya tahu skripnya cukup kejam, bagi saya itu cabaran," jelas Debbie yang akan terbang ke Bali, Indonesia pada 6 Februari ini untuk satu penggambaran kulit majalah di sana.
Membawakan watak bintang filem yang kemudiannya dipilih sebagai ketua kongsi gelap dalam Bullet Over Petaling Street, filem yang bakal ditayangkan pada 13 Februari itu juga satu kegembiraan berganda buatnya.
"Cuti raya Tahun Baru Cina kali ini semuanya mengenai kerja. Tahun ini banyak kebetulan yang menarik. Filem saya ditayangkan bermula 13 Februari iaitu sehari sebelum hari ke-15 iaitu hari terakhir sambutan Tahun Baru Cina.
"Sehari selepas itu ada sambutan Hari Kekasih. Ia semacam sambutan dan kebahagiaan yang berganda buat saya. Walaupun saya kena bekerja semasa perayaan, tapi saya tidak penat.
"Selagi ada banyak kerja yang hendak saya buat, itu bermakna karier saya sedang meningkat," ujar Debbie yang mengharapkan kelak kredibiliti lakonannya berkembang dan memasuki arus perfileman Melayu pula.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: