PETALING JAYA: Pengarah drama Vektor 58, Roshfaizal Ariffin mengakui drama aksi sains fiksyen itu akan mengubah persepsi masyarakat yang sering memandang rendah terhadap kebolehan anak tempatan.
Roshfaizal berkata, drama berkonsepkan makhluk asing dan robot ini digarap dengan penuh ketelitian disamping menitik-beratkan penghasilan terbaik daripada aspek teknik pengimejan berkomputer (CGI).
"Masyarakat negara ini masih lagi tidak yakin tentang drama berkonsep sains fiksyen jika ia dibuat oleh anak tempatan, namun jika orang luar mereka boleh terima.
"Pada saya ia mungkin kerana negara ini masih kurang lagi menghasilkan drama atau filem seperti itu. Saya percaya lama kelamaan masyarakat akan boleh terima genre seperti ini," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri terbaharu Vertor 58, di Hotel Royale Bintang, di sini, Selasa.
Drama 13 episod ini akan disiarkan pada setiap Sabtu, pukul 5.30 petang bermula 7 Disember ini di TV9.
Tambah Roshfaizal, drama ini turut mengambil masa yang agak panjang dalam proses pembikinannya bagi memberikan hasil terbaik.
"Kami mengambil masa agak lama iaitu sejak 2009 lagi. Ini kerana proses CGI memerlukan ketelitian bukan sesuatu kerja yang mudah.
"Boleh dikatakan 40 peratus drama ini menggunakan teknik CGI dan cabaran utama pada pelakon ialah untuk membayangkan berlakon bersama robot di hadapan mereka," katanya.
Drama ini turut membariskan pelakon seperti Norman Hakim, Fazlina Ahmad Daud, Kamarulzaman Taib, Ain Satar, Ku Mohd Amirul dan Nor Intan Baizura.
Vertor 58 mengisahkan seorang remaja bernama Lia lakonan Ain Satar yang bertemu dengan makhluk asing yang telah hilang ingatan akibat kemalangan semasa mendarat di bumi.
Lia mengambil keputusan untuk membantu mengembalikan semula ingatan makhluk asing tersebut. Makhluk asing yang diberi nama Arif itu turut menjadi buruan beberapa makhluk asing lain yang ingin bertarung dengannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: