|
DEWAN utama Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur padat dengan jemputan yang kemas berpakaian tradisional Melayu. Tambah unik apabila hadirin yang hadir dari Indonesia tampil dalam persalinan klasik Jawa. Lelaki lengkap berkemeja (beskap) dan songkok (blangkon) manakala perempuan bergaya elegan bersama busana berteras batik.
Tetamu acara itu sahaja sudah menjemput pesona, belum lagi melihat dua individu yang diraikan, pasti memukau. Sambil menanti ketibaan raja sehari, seisi dewan melirik tajam gugusan dekorasi yang digubah istimewa sempena resepsi persandingan pereka fesyen terkemuka tempatan, Jovian Mandagie bersama Nina Sabrina Ismail Sabri, anak sulung kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Meskipun ia adalah persandingan kedua (resepsi pertama diadakan pada malam 14 Disember 2013), perincian majlis tetap dirapi sempurna, bermula daripada hiasan dalaman, susun atur meja, pelamin dan pentas hiburan.
Tumpuan teralih ke pusat dewan saat pengacara, Adibah Noor mengumumkan ketibaan mempelai perempuan, Nina Sabrina. Gemalai gerak penari-penari Gadung Melati mengiringi setiap langkah Nina Sabrina. Pengantin wanita berusia 26 tahun itu kemudiannya duduk penuh sopan di atas pelamin, wajahnya ditutup kipas tangan berwarna putih.
Cantuman budaya
Lantas, pahlawan hati Nina Sabrina tampil di tengah-tengah keramaian. Jovian, 27, yang dipimpin ibu bapanya mengorak teruja menuju ke pelamin. Namun tidak sah jika perkahwinan Melayu tanpa ‘tol’, hentian singkat yang perlu dilepasi pengantin lelaki. Pantun dijawab, usikan diterima, teka-teki diselesaikan lantas halangan terakhir Jovian iaitu tol ketujuh menyaksikan interaksi simbolik antara pengantin lelaki itu bersama bapa mertuanya, Ismail Sabri.
Ismail Sabri mengeluarkan keris yang disisip pada sampingnya lalu diserahkan kepada menantunya. Upacara itu menjadi perlambangan kepada penyerahan anak perempuan kepada suami selepas halal bergelar pasangan hidup.
Istiadat persandingan Jovian dan Nina Sabrina secara telusnya adalah rangkuman budaya dua negara. Adat Melayu dan Jawa yang mewakili Malaysia dan Indonesia dicantum bijak dari sudut pakaian, dekorasi, hidangan dan hiburan. Malah, penari-penari tradisional pada upacara itu turut diterbangkan khas dari Bali.
Adat penyerahan keris itu misalnya, diambil daripada kebudayaan orang Terengganu. Paparan tarian Johor dan Melaka turut diselitkan bagi mewakili nilai Malaysia.
Begitu juga aturan hiburan, penyanyi dari dua negara itu dipertemukan di atas satu pentas. Ning Baizura yang dipilih menjadi wajah identiti negara, lunak mengalun lagu tradisional dan moden buat santapan telinga hadirin.
Iringan muzik asli Indonesia pula membawa tetamu ke tengah lantai dewan untuk menari dan berhibur beramai-ramai atas nama serumpun. Betapa indah garapan sebuah majlis perkahwinan yang bertulangkan budaya ketimuran.
Seperti persandingan di Indonesia, begitu jua adat yang dipinjam Jovian dan Nina Sabrina. Tidak ada upacara merenjis seperti resepsi orang Melayu di sini. Pengantin bersama ahli keluarga hanya berdiri di atas pelamin menyambut salam dan ucapan selamat daripada hadirin yang beratur panjang menanti giliran.
Busana
Paling istimewa apabila Jovian dan Nina Sabrina membuat keputusan untuk menggabungkan senarai jemputan daripada kedua-dua belah pihak. Perhimpunan keluarga besar dua mempelai itu berjaya membentuk suasana persaudaraan yang erat.
|
“Majlis perkahwinan adalah hari bagi menyatukan setiap ahli keluarga. Ia adalah detik istimewa meraikan cinta,” lembut tutur Nina Sabrina menyusun bicara.
Mengimbas majlis pernikahan pasangan itu pada 11 Disember lalu di Muzium Diraja Istana Negara Lama, Kuala Lumpur ramai yang memuji persalinan serba sederhana dua mempelai tersebut. Menurut Jovian, busana semua resepsi diilhamkan oleh pasukan perekanya.
Mengaku sedikit tertekan dengan jangkaan orang sekeliling, Jovian yang bertindak sebagai perancang utama rekaan persalinan bagi majlis perkahwinannya hanya mahukan yang terbaik untuk isteri dan dirinya.
“Selalu saya reka baju kahwin orang, sekarang bila saya kahwin, sudah tentu saya ingin hasilkan rekaan paling sempurna,” seri pengantin terlihat jelas pada wajah Jovian ketika ditemui Stailo usai majlis persandingan.
Untuk majlis akad nikah, Jovian cuba menghidupkan karakter ringkas Nina Sabrina dengan menekankan idealisme romantik dan manis pada persalinan mereka. Kesamaan Nina Sabrina seperti seorang puteri juga mendorong Jovian memilih konsep kayangan sempena acara memateri cinta itu.
Lazim dikenali sebagai pereka gaya avant garde, Jovian bagaimanapun menolak konsep tersebut pada setiap resepsi perkahwinannya. Tiada dres sarat atau baju Melayu bersongket penuh.
Bak kata Nina Sabrina: “Kami berdua inginkan busana yang tidak akan lapuk ditelan zaman. Maksudnya, bila kami tua dan tengok kembali foto-foto perkahwinan, pakaian ini masih relevan dan ada nilai merentas zaman.”
Sehari sebelum persandingan 15 Disember lalu, telah berlangsung resepsi serupa di lokasi yang sama. Namun konsep dekorasi termasuk pelamin bagi dua hari itu adalah berbeza 100 peratus.
Begitu juga pakaian, persandingan pertama menyaksikan Jovian dan Nina Sabrina memilih songket Brunei sebagai latar utama persalinan. Suntikan elemen fusion pula diimbangi sempurna menjadikan ia antara busana yang masyhur dijadikan rujukan. Jovian juga banyak bermain dengan teknik liptan (draping) bagi menghasilkan busana Nina Sabrina.
Bersiram
Persandingan kedua pula memaparkan dua set persalinan. Pada awal acara, Nina Sabrina menyarungkan kebaya Jawa yang dihasilkan dengan cantuman fabrik eksklusif iaitu satin duchess dan renda Perancis.
Bagi acara memotong kek dan tarian pertama, Jovian muncul tampan dalam tuksedo putih yang dipadankan bersama celana dan tali leher kupu-kupu hitam. Nina Sabrina pula memukau pandangan apabila memilih untuk mengenakan gaun kembang rona perak dengan perincian bunga dan dedaunan berwarna emas.
Bagi memenuhi saranan si ibu, Any Silvana Salim yang berasal dari Indonesia, Jovian mengadakan acara bersiram, berinai dan khatam al-Quran secara serentak. Ketiga-tiga acara itu dilaksanakan dua hari sebelum majlis pernikahan.
Nina Sabrina memberitahu, acara bersiram sebelum berkahwin juga dilakukan di beberapa tempat di Malaysia dengan tujuan menaikkan seri pengantin. Antaranya ialah di Perak yang juga kampung halamannya.
“Kalau dalam adat Melayu, perempuan perlu berkemban ketika bersiram tetapi kerana saya tidak mahu kelihatan seksi, saya memilih pakaian orang Jawa,” kongsi Nina Sabrina yang memakai pelapik dada berasaskan bunga melur pada acara bersiram.
Pada sebelah malamnya pula, Jovian dan Nina diraikan dalam upacara berinai berkonsep Arab dan disudahi dengan majlis khatam al-Quran.
Sementara itu, masih ada satu lagi resepsi persandingan antara Jovian dan Nina Sabrina di Bera, Pahang. Mengikut perancangan awal, ia sepatutnya diadakan pada minggu depan tetapi mungkin ditunda ke bulan Januari depan ekoran bencana banjir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: