![]() |
MALU adalah perasaan yang menyelubungi seorang penjawat awam apabila menyedari dia mengalami ejakulasi pramatang (PE).
Dia hanya berjumpa doktor selepas dipujuk oleh isterinya beberapa kali kerana khuatir masalah itu akan menjadi serius apabila usianya meningkat.
Menurut Razif Abu Bakar, 35, masalah itu berlaku selepas dia jarang ‘bersama’ isterinya kerana mereka tinggal berjauhan.
“Saya sudah berkahwin selama lapan tahun dan tidak pernah menghadapi masalah ketika bersama isteri. Namun, sejak bertugas di luar daerah lima bulan lalu saya tinggal berasingan dengannya.
“Dalam tempoh sebulan saya akan pulang ke rumah antara dua hingga tiga kali untuk berjumpa dengannya. Kualiti masa yang ada kami gunakan sebaik mungkin dan pada ketika itulah saya mula menyedari masalah ini,” jelasnya.
Razif akhirnya mengambil keputusan berjumpa doktor kerana enggan masalah itu menjadi semakin serius pada masa akan datang.
Razif berkata, dia turut bimbang jika perkara itu menjadi semakin rumit sehingga menjurus kepada keretakan rumah tangganya.
“Sebelum berjumpa doktor, saya mencari maklumat dalam internet dan membaca beberapa artikel berkenaan PE.
“Dari situ saya tahu bahawa PE boleh mengganggu gugat keharmonian keluarga sehingga menyebabkan penceraian. Saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku pada kami,” jelasnya.
Atas saranan doktor, Razif menjalani terapi fizikal untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.

PIL penenang turut digunakan sebagai rawatan melambatkan proses ejakulasi.
Lebih berkesan
“Saya memilih rawatan tersebut kerana ia lebih berkesan dan tidak perlu bergantung kepada ubat-ubatan.
“Isteri juga memberi sokongan dengan mengikut saya berjumpa doktor kerana terapi fizikal memerlukan bantuan daripada pasangan,” jelasnya.
Mengulas mengenai PE, Pakar Perunding Kanan Urologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin berkata, seseorang itu boleh dikategorikan menghidap PE jika tempoh ejakulasi kurang seminit.
“Tempoh purata normal bagi seseorang itu mencapai ejakulasi ialah 5.4 minit. Jika proses ejakulasi berlaku terlampau awal atau kurang seminit, seseorang itu dikatakan menghidap PE dan dia gagal mengawal pancutan air mani,” katanya.
PE berbeza dengan mati pucuk atau erectile dysfunction (ED). PE terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama ialah lelaki yang mengalami masalah ini sejak pertama kali melakukan hubungan seks, dikenali sebagai PE primer.
Sementara lelaki yang tiba-tiba mengalami masalah ini selepas beberapa lama melakukan hubungan seks dikategorikan sebagai PE sekunder.
Bagaimanapun, menurut Zulkifli, PE boleh dirawat dengan beberapa kaedah.
“Pesakit boleh diberi rawatan topikal iaitu krim sapu seperti SS krim atau gel lignocaine yang membantu mengebaskan alat sulit.
“Bagaimanapun, kaedah yang terbaik ialah terapi fizikal. Ini dapat membantu meningkatkan pengawalan ejakulasi, namun kaedah ini memerlukan kerjasama pasangan,” katanya.
Masalah di ranjang
Antara rawatan lain yang pernah diberikan kepada pesakit termasuklah pengambilan pil.
“Dahulu doktor akan memberi pil penenang atau selective serotonin re-uptake inhibitors (SSRI) bagi membantu melambatkan proses penghantaran neuro serotonin, lalu menjadikan seseorang itu berasa seronok. 
PE adalah masalah ejakulasi lelaki yang berlaku selepas seminit bersama pasangan.
Jadi, seseorang itu tidak akan mencapai klimaks dalam tempoh masa yang singkat.
“Namun, pil tersebut mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk dan kerosakan buah pinggang. Hari ini, terdapat pil baharu yang diperkenalkan seperti pil priligy. Ia hampir tidak mempunyai kesan sampingan,” katanya.
Menurut Zulkifli, tidak ramai yang mengetahui masalah di ranjang berpunca daripada PE. Menurut kajian sebuah syarikat farmasi, Menarini Asia Pasifik (Menarini), 95 peratus lelaki Malaysia pernah mendengar mengenai PE, manakala sebanyak 51 peratus menyedari mereka menghidap PE tetapi malu berjumpa doktor.
Sementara itu, seorang suri rumah, Royaha Ismail, 27, memberitahu suaminya yang mengalami masalah PE agak malu untuk mendapatkan rawatan.
“Saya telah memujuknya beberapa kali untuk berjumpa pakar sakit tuan, namun dia (suami) tetap berdegil dengan alasan malu berkongsi masalah itu.
“Saya akur dan mengambil inisiatif berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat mengatasi masalah tersebut,” katanya.
Hasil kajian terbaharu Menarini menunjukkan hanya 16 peratus pesakit yang berjumpa doktor, manakala sebanyak 49 peratus memilih untuk berkongsi dengan teman-teman.
Sementara itu, kira-kira 49 peratus lelaki Malaysia tidak mengetahui tentang adanya rawatan untuk PE.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: