• Joe FlizzowJoe Flizzow

NAMA Joe Flizzow sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Mula memperjuangkan muzik hip hop menerusi kumpulan Too Phat bersama Malique pada 1999, Joe terus kekal bertahan, biarpun ramai penyanyi baharu yang memperjuangkan muzik sama muncul dalam industri.

Biarpun sering mendapat kritikan kerana lebih terarah pada lagu hip hop berbahasa Inggeris, Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 35, membuktikan dia masih mampu menyanyikan lagu berbahasa Melayu dengan baik.

Namun perjuangan sebagai anak seni tidak terhenti dek kerana kritikan yang sering diterima. Joe mengorak langkah melancarkan album terbaru dalam bahasa Melayu buat pertama kalinya seperti yang dikatakan sebelum ini.

Mengakui sering dikritik, apatah lagi ada sesetengah pihak menganggapnya merosakkan bahasa Melayu, Joe berkata, ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

“Saya dituduh merosakkan bahasa Melayu kerana mencampuradukkan berbagai bahasa dalam lagu saya. Namun jika diteliti dengan baik lagu-lagu bergenre hip hop dan rap menggunakan bahasa sedemikian kerana ia adalah identiti sebenar hip hop.

“Havoc menggunakan bahasa jalanan dan pasar yang cuba saya ketengahkan kerana bahasa ini merupakan bahasa perbualan seharian masyarakat kita.

“Kejayaan Havoc membuktikan saya mampu mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu sekali gus menolak tanggapan mereka terhadap saya.

“Saya mengambil risiko ini kerana cuba membuktikan kepada semua yang saya mampu lakukan. Bahasa Melayu memudahkan orang ramai tidak kira tua atau muda memahami apa yang saya ingin sampaikan,” katanya pada majlis pelancaran album berjudul Havoc, di Lust KL, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapa dia memilih untuk menggunakan bahasa Melayu dalam album kali ini, Joe berkata, album ini sudah dirancang semenjak empat tahun lepas lagi.

“Saya bangga menggunakan bahasa ibunda saya sendiri dan saya tidak rasa malu berkarya, jadi kita sudah lihat hasilnya. Saya cuma membawa sesuatu yang baru untuk genre ini,” ujarnya.

Album Havoc turut menampilkan kolaborasi dengan raja rock, Amy Search menerusi lagu Takbir Cinta, penyanyi Indonesia, Datuk Rossa menerusi lagu Katakan, dan beberapa artis tempatan seperti Altimet, DJ SoonaOne dan ramai lagi.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu mempertaruhkan antaranya lagu Ucapan Terakhir Presiden, Iller-Iller, Untukmu, Baek, Satu Kali, Lu Lari, Kongsi, Aku Tak Kenalmu, Apa Khabar, Air Mata dan Apa Benar.

Joe turut melahirkan hasrat mengadakan jelajah bersama rakan-rakan di bawah label Kartel Records bagi  mempromosikan albumnya dan bertemu peminat.