• Empat jirat Cina digaliJirat berlubang dan dibiarkan terdedah oleh penjenayah.

HULU SELANGOR - Sekumpulan lelaki berusia lingkungan awal 20-an dipercayai terlibat dalam kegiatan menggali jirat Cina dan mencuri barangan yang tersimpan di dalamnya di tanah perkuburan Cina Rasa, di sini.
Pegawai Perhubungan Awam Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Kubu Bharu, Chng Boon Lai berkata, kumpulan terbabit dikesan mula melakukan kegiatan tersebut sejak dua minggu lalu dan sudah empat jirat digali berdasarkan kesan tanah manakala dua jirat dibiarkan terbuka.            

“Kejadian pertama berlaku dua minggu lalu di mana tiga kubur digali sekali gus dan laporan polis juga sudah dibuat.

“Hari ini (semalam) satu lagi kubur digali dan masih berlubang dan dibiarkan terbuka,” katanya ketika melawat kawasan perkuburan tersebut, semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chuang Rasa, Lim Ken Seng dan tiga anggota polis dari Balai Polis Rasa.

Boon Lai berkata, kejadian itu amat dikesali dan mengundang kemarahan ahli keluarga yang terlibat.

"Mungkin penjenayah itu nak cari barang berharga yang ditanam dalam jirat tersebut sebab dulu masyarakat Cina suka tanam barang kemas dan barangan kesukaan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

"Tapi masyarakat Cina tidak lagi tanam barangan berharga bersama ahli keluarga yang meninggal dunia walaupun itu menjadi adat mereka,” katanya.

Beliau berkata, penjenayah memilih masa ini kerana cuaca hujan melembutkan tanah dan memudahkan proses menggali.

Boon Lai turut difahamkan, terdapat sebuah jirat di tanah perkuburan Cina di Kerling yang turut digali penjenayah namun tidak tahu sama ada kumpulan sama melakukannya.

Jirat dibiar terbuka
Sementara itu, penjaga kubur, Tan Choy Hing, 67, berkata, kejadian dipercayai berlaku dua minggu lalu dan laporan polis hanya dibuat minggu ini kerana baru disedari.

Menurutnya, penjenayah terbabit dipercayai datang dari ladang sawit di belakang tanah perkuburan itu dan masuk melalui pagar yang rosak dan percaya kegiatan mereka dilakukan pada waktu malam.

“Masa kami datang, semua kubur berlubang dan ada penutup keranda yang terbuka. Tapi kami tutup sebab takut air hujan masuk.

“Tiga kubur yang digali masa itu dan ini yang baru rasanya beberapa hari saja,” katanya.

Penjenayah orang tempatan

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ajib, 44, ketika dihubungi berkata, polis sudah mengenal pasti tiga lelaki yang melakukan kegiatan itu dan mereka adalah penduduk kampung berdekatan.

Menurutnya, dia antara saksi yang mengetahui identiti dan tempat tinggal penjenayah terbabit setelah mendapat maklumat daripada seorang rakan yang terlihat mereka leka menggali jirat tersebut.
“Saya dapat tahu daripada seorang penternak lembu yang nampak tiga lelaki sedang gali kubur jam 6.30 petang.
“Mereka muda lagi, umur pun dalam 20 dan 23 tahun saja,” katanya.

Ajib berkata, dia terlibat sebagai saksi dan memberitahu kesemua mereka sedang diperhatikan dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai.

Keluarga mendiang kesal

Dalam pada itu, seorang anak sulung kepada mendiang ibu bapanya yang jiratnya digali, Ng Yau Chai, 60, melahirkan rasa kesal dan marah terhadap penjenayah itu.
“Saya pun tidak tahu apa yang mereka cari tapi mungkin ada tujuan jahat dan bukan mahukan barang berharga sebab tidak ada semua itu.

“Kalau ada pun mungkin ada RM100 atau RM200 duit sumbangan ahli keluarga kepada mendiang,” katanya.