Saturday, May 11, 2013

Tiada kenaikan harga barangan kawalan selepas PRU-13


HARGA barangan kawalan seperti minyak masak tidak naik selepas PRU-13. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Saripuddin Kassim menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa harga beberapa barangan kawalan naik di pasaran semasa dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Katanya, barangan kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan bahan petroleum seperti petrol RON95, RON97 dan diesel serta gas petroleum tidak naik seperti diperkatakan pihak tidak bertanggungjawab.
"Harga bagi barang-barang tersebut kekal seperti sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas dakwaan berkaitan kenaikan harga barangan yang disebarkan semasa dan selepas PRU-13, beliau memberitahu, pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tersebut akan dikenakan tindakan.
"Pegawai-pegawai penguat kuasa dan pemantau-pemantau harga di seluruh negara akan digerakkan untuk melaksanakan tugas ini.
"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan," katanya.
Pengguna boleh membuat aduan kepada pihaknya menerusi pejabat cawangan atau menelefon 1MOCC melalui talian 03-8000 8000 atau menerusi e-talian di http://e-aduan.kpdnkk.gov.my jika terdapat peniaga yang menaikkan harga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: