Thursday, May 16, 2013

Teknologi Motion Capture di Aswara



AKADEMI Seni Budaya dan Warisan (Aswara) pernah mencipta sejarah dalam dunia animasi apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia menubuhkan fakulti animasi iaitu pada tahun 2011.
Langkah itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang animasi sekali gus mampu menghasilkan lebih banyak produk bermutu tinggi.
Usaha tersebut tidak terhenti di situ sahaja, pelbagai aktiviti dan pendekatan diambil bagi memastikan graduan yang dilahirkan berkualiti.
Ia termasuk menjemput pakar animasi popular, Raman Hui yang pernah terbabit dalam pembikinan filem animasi seperti Shrek dan Kungfu Panda.
Kehadiran beliau pada 18 Jun 2011 lalu selama satu hari di Aswara bertujuan memberi pendedahan ilmu animasi kepada pelajar-pelajar yang mengambil jurusan berkenaan.
Terbaharu, Aswara mengambil inisiatif dengan menggunakan teknologi Motion Capture. Kira-kira 12 orang pelajar yang mengikuti kursus Animasi Komputer teknik tiga dimensi (3D) lanjutan berpeluang menggunakan teknologi canggih itu.
Begitupun, mereka hanya berpeluang menggunakan teknologi tersebut ketika berada di tahun ketiga pengajian.
Alternatif bidang animasi
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai teknologi itu, Pensyarah Fakulti Animasi dan Multimedia Aswara, Mohammad Dzulsyafiq Mohammad Yusof berkata, Motion Capture atau lebih biasa dipanggil mocap adalah proses merakam pergerakan sesuatu objek, orang atau haiwan.
Selain untuk kerja-kerja animasi, ia juga sesuai digunakan untuk permainan komputer, sains kesihatan, tentera dan realiti maya.
Ia juga merupakan alternatif di dalam bidang animasi selain animasi keyframe (bingkai kekunci). Kaedah animasi bingkai kekunci adalah berbentuk lukisan tangan dan animasi 3D.

MOHD. RASHDAN (kanan sekali) ketika melancarkan animasi Supertots pada tahun 2011.


Pada kebiasaan, jika menggunakan kaedah berkenaan, seseorang animator terpaksa menggunakan tetikus untuk menggerakkan watak berbanding mocap.
Menyentuh mengenai cara-cara menggunakan mocap berkenaan, Mohammad Dzulsyafiq memberitahu, seorang pelajar perlu menyarungkan sut yang bersifat elastik.
Di Aswara terdapat tiga sut berkenaan yang bersaiz S, M dan L. Kehadiran tiga saiz yang berlainan dilihat perlu mengikut saiz badan seseorang pelajar.
Namun demikian, tidak terdapat saiz XL memandangkan saiz tersebut terlalu besar dan tidak sesuai dengan orang Asia.
Tambah, Mohammad Dzulsyafiq yang pernah berkhidmat dengan syarikat LesCopaque, individu yang memakai sut tersebut perlu ketat supaya marker (titik-titik) yang dipasang tidak bergerak.
Jika titik-titik berkenaan longgar, ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Pada kebiasaan, titik-titik berkenaan dipasang di bahagian dada, kaki, kepala, lengan, belakang badan dan pinggang. Terdapat 49 marker pada sehelai sut.
Menyentuh mengenai fungsi titik, ia sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam memantulkan cahaya kepada kamera yang dipasang di dalam sesebuah bilik.
“Terdapat 18 kamera yang akan dipasang dan kedudukan kamera-kamera berkenaan tidak akan diubah,” katanya sambil memberitahu, mocap kurang sesuai digunakan di kawasan lapang kerana cahaya akan mempengaruhi keadaan imej yang dirakam.
Sebaik pemasangan kamera di studio yang berkeluasan enam meter, individu yang telah dilengkapi dengan sut itu perlu berdiri di tengah-tengah sambil mendepangkan kedua-dua tangan.
Tindakan itu membolehkan kamera yang dipasang mengesan sama ada kedudukan marker berada di tempat yang betul atau sebaliknya.
Penghasilan karakter
Sebaik selesai mengesan kesemua kedudukan marker berada di tempat yang betul, individu tersebut boleh memulakan gerakan anggota badan.
Setiap gerakan akan dirakam melalui kamera. Dalam sesi menangkap gambar pergerakan, kesemua kamera tersebut akan berfungsi dan hanya merakam pergerakan karakter dan bukannya penampilan visual karakter itu.
Lalu, data animasi akan dipetakan kepada model 3D supaya model yang melakukan tindakan yang sama seperti pelakon.
Begitupun, dengan menggunakan perisian yang dikenali sebagai arena, ia akan memadankan titik-titik tersebut dengan karakter 3D yang telah sedia ada di dalam komputer.
KAMERA ini digunakan untuk mengesan setiap pergerakan pada tubuh manusia.


Setelah selesai merakam kesemua gerakan ke dalam komputer, kesemua gerakan itu akan dieksport ke fail yang dikenali sebagai Biovision Hierarchy (BVH).
Bagaimanapun, karakter-karakter yang dihantar itu akan dikemas kini terlebih dulu.
“Jika watak manusia dan kartun tidak sama, misalnya, individu yang memakai sut itu mempunyai susuk badan yang kurus manakala watak kartun gemuk, jadi pengubahsuaian perlu dilakukan supaya kedua-dua watak sama,” katanya sambil memberitahu, mocap pernah digunakan dalam filem Avatar, Happy Feet 2 dan The Adventure of Tintin.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelebihan menggunakan mocap, beliau berkata, teknologi tersebut dapat mengurangkan masa pelajar bagi menggerakkan sesuatu karakter yang rumit.
Selain itu, dengan penggunaan mocap, ia juga dapat merakam setiap satu gerakan secara terus-menerus.
Sungguhpun begitu, di sebalik kelebihan mocap terdapat juga kekurangan dalam teknologi itu.
Antaranya, ia tidak sesuai untuk digunakan bagi animasi bersiri kerana jika terdapat banyak kesilapan, seseorang animator itu perlu menghabiskan masa yang terlalu lama untuk membaiki masalah tersebut.
Malahan, jika mahu menggunakan mocap, perlu ada ruang kawasan yang besar untuk memasang peralatan khas mocap.
“Bukan itu sahaja, industri perfileman yang kecil juga tidak mampu menggunakan teknologi berkenaan kerana ia menelan kos yang tinggi,” ujarnya lagi.
Kualiti tinggi
Ketua Pegawai Eksekutif Netcarbon, Mohd. Rashdan Ramlee pula memberitahu, pembelian mocap sememangnya menuntut perbelanjaan yang besar tetapi penggunaan teknologi itu menerusi perfileman animasi dilihat berbaloi kerana mempunyai kualiti yang tinggi.
Beliau yang merupakan pengarah animasi Supertots turut menggunakan mocap yang bernilai hampir RM400,000 memberitahu, pergerakan individu yang memakai sut khas itu menampilkan pergerakan yang realistik.

SATU saat animasi memerlukan 24 keping lukisan sekali gus menjadikan seni itu sesuatu yang sangat halus.


Sehubungan itu, seseorang animator terpaksa mengubah watak realistik itu kepada gaya kartun namun tidak menuntut kerja-kerja yang rumit.
Mocap juga katanya, mempercepatkan kerja-kerja pembikinan animasi berbanding bingkai kekunci yang memakan masa yang terlalu lama.
Supertots merupakan siri animasi 3D berlatar belakang angkasa lepas dengan menampilkan lima kanak-kanak pendukung watak utama iaitu Captain Danny, Elly, Alan, Shasha dan Blinq yang menentang Zeeboz.
Dalam siri animasi selama 11 minit bagi setiap episod itu, ia menerapkan nilai-nilai murni seperti persahabatan, perpaduan dan semangat kerjasama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: