Thursday, May 16, 2013
Tapak sulaiman berduri ancam terumbu karang
JABATAN Taman Laut Malaysia (JTLM) sentiasa mengambil langkah proaktif demi melindungi dan memulihara terumbu karang dan hidupan marin di negara ini.
Malahan, Malaysia merupakan antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia yang kaya dengan sumber asli dan kepelbagaian biologi.
Justeru, bagi memastikan kekayaan ekosistem itu sentiasa dilindungi, JTLM menganjurkan program Crown of Thorns (COT) dan Reef Clean Up pada 5 April lalu di Taman Laut, Terengganu.
Program itu diadakan untuk mengurus dan memulihara kawasan-kawasan perlindungan marin serta mengekalkan kelestarian biodiversiti marin di Taman Laut.
Program tersebut disertai seramai 100 sukarelawan yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pengusaha pelancongan di Pulau Perhentian termasuk kakitangan JTLM.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Zoal Azha Yusof.
Kesemua peserta diberi kelengkapan sut menyelam dan tangki oksigen sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan sampah. Mereka juga terbabit dalam operasi memusnahkan tapak sulaiman berduri yang lebih dikenali sebagai COT.
Pengawalan
COT yang berbentuk bulat dan berduri biasanya menghuni dasar laut terutama di kawasan terumbu karang. Ia bukan sahaja memakan malah merosakkan terumbu karang.
Berdasarkan rekod JTLM, dari tahun 2007 hingga 2012, lebih kurang 16,000 tapak sulaiman berduri telah berjaya dimusnahkan menerusi program pembersihan COT di Taman Laut, Pulau Perhentian.
Populasi COT yang berlebihan akan menyebabkan kemusnahan yang teruk kepada terumbu karang.
Jadi, pengawalan terhadap COT perlu dilakukan apabila jumlah hidupan itu melebihi kuantiti yang diperlukan.
Dalam satu hektar kawasan Taman Laut, satu hingga 20 ekor COT sahaja yang dibenarkan hidup.
Pengarah Jabatan Laut, Dr. Sukarno Wagiman berkata, pihaknya telah menjalankan program seumpama itu di kebanyakan pulau di negara ini.
Antaranya, Pulau Tioman, Pahang; Pulau Redang, Pulau Tenggol dan Pulau Kapas, Terengganu; Pulau Aur serta Pulau Pemanggil, Johor.
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, beliau memberitahu, pihaknya sentiasa menjalankan usaha untuk menyelamatkan terumbu karang.
“Kami memusnahkan COT jika didapati jumlahnya terlalu banyak di setiap satu hektar. Kehadiran haiwan itu dalam jumlah yang banyak mengundang bahaya kepada terumbu karang,” katanya.
Pemindahan
Dalam pada itu, pihak JLTM turut melakukan proses pemindahan dan penanaman semula terumbu karang di kedalaman 30 hingga 40 kaki dalam laut.
Terumbu karang yang dipindahkan akan ditanam semula di lokasi lain yang telah dikenal pasti.
Tindakan itu dapat membantu kelangsungan hayat terumbu karang.
Sementara itu, pihaknya juga pernah menutup kawasan terumbu karang pada tahun 2010 disebabkan suhu laut meningkat.
Kebiasaannya, sesuatu lokasi itu akan ditutup sehingga enam bulan bagi memastikan ia telah pulih sepenuhnya.
Sikap manusia yang membuang sampah ke dalam laut selain gemar menyentuh terumbu karang ketika melakukan aktiviti menyelam turut menjejaskan hidupan tersebut.
“Tindakan menyentuh terumbu karang akan merosakkan sejenis organisma karnivor yang disebut polip. Polip berfungsi dengan membantu pembesaran terumbu karang.
“Jadi, kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam program ini supaya mereka menghargai sumber alam dan menyaksikan sendiri kesan pencemaran laut terhadap terumbu karang,” katanya.
Seorang penyelam, Muhammad Farose Muhammad, 38, berkata, ketika menyertai aktiviti tersebut, dia menemui banyak sampah di dasar laut.
“Macam-macam sampah saya jumpa di dalam laut seperti plastik, botol, guni, jaring ikan, besi dan tayar,” katanya dengan nada kesal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: