
UBAT nyamuk lingkaran Spokojan mula dihasilkan sejak lima tahun lalu.
NYAMUK Aedes, Culex dan Anopheles adalah ancaman tradisi manusia yang bukan sahaja hadir dengan bunyi dan kesan gigitan yang menyebabkan kegatalan serta kemerahan pada kulit malah boleh mengakibatkan kesan yang lebih berbahaya seperti demam denggi dan malaria.
Angka kematian disebabkan nyamuk ini bukan kepalang. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 50 juta jangkitan demam denggi berlaku setiap tahun yang mengakibatkan 20,000 kematian.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman penyakit bawaan aedes yang telah meragut 32 nyawa pada tahun 2012.
Salah satu cara paling berkesan untuk menghindari penyakit pembunuh itu ialah dengan mengelak daripada gigitannya. Ada berbagai-bagai cara untuk menghalang gigitan nyamuk sama ada menerusi kaedah tradisional atau moden.
Sebagai contoh, masyarakat terdahulu memakai kaedah konservatif iaitu menggunakan tumbuhan yang mengeluarkan bau yang kuat seperti serai wangi untuk menghalau nyamuk.
Secara teorinya, serangga ini lebih menggemari bau masam seperti peluh manusia.
Selain penggunaan tumbuhan, pemasangan kelambu juga sangat popular kerana ia mampu melindungi tempat tidur daripada dicerobohi nyamuk.
Inovasi terkini turut menghasilkan pelbagai cara untuk menghalau nyamuk seperti semburan, lingkaran ubat nyamuk dan ubat nyamuk elektrik.
Bagaimanapun, semua kaedah itu belum tentu dapat membunuh nyamuk secara total sebaliknya lebih berfungsi sebagai penghalau serangga itu.
Lebih merunsingkan, penggunaan bahan tersebut secara kerap dan berterusan memberi impak kepada kesihatan manusia.

SPOKOJAN dijangka dijual pada harga
RM3 sekotak. Ia mengandungi 20 lingkaran dengan setiap lingkaran boleh
bertahan selama 12 jam.
Empat minit
Situasi ini telah membuka ruang kepada sebuah syarikat milik Universiti Malaya (UM), Semio Technologi Sdn. Bhd. untuk menghasilkan ubat nyamuk yang bersifat mesra alam malah menepati aspek kelestarian manusia seperti kesihatan, keselamatan dan mampu milik.
Produk itu dinamakan Spokojan. Secara fizikal ia tampak sama seperti ubat nyamuk lingkaran biasa namun fungsinya berlainan.
Menurut Pengarah Semio Technology, Prof. Sazaly Abubakar, Spokojan merupakan ubat nyamuk lingkaran yang bertindak menarik semua jenis nyamuk untuk menghampirinya.
“Biasanya ubat nyamuk sedia ada akan menghalau nyamuk daripada menghampirinya tetapi Spokojan adalah sebaliknya.
“Walaupun pelik, kaedah ini lebih selamat malah berkesan kerana Spokojan dipasang di kawasan luar kediaman seperti di beranda atau halaman rumah.
Jelasnya, lingkaran nyamuk Spokojan berfungsi dengan mekanisme yang berbeza daripada lingkaran nyamuk biasa yang mana bahan pestisidnya ‘mengejar atau menghalau dan membunuh’ nyamuk yang berada di sekitarnya.
“Namun, bahan penarik semio kimia yang terdapat dalam Spokojan berfungsi dengan menarik perhatian nyamuk ke arah lingkaran nyamuk yang mengandungi pestisid itu.
Kandungan utama Spokojan ialah serbuk kayu dan tempurung kelapa.
“Oleh itu, kuantiti atau dos pestisid di dalam Spokojan tidak perlu terlalu tinggi kerana nyamuk akan datang sendiri ke arah sumber pestisid itu,” ujarnya yang juga Ketua Jabatan Mikrobiologi Perubatan UM.
Tambah Sazaly, dos yang dikawal ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes kelalian nyamuk terhadap pestisid, malah menjadi lebih selamat kepada manusia.
“Spokojan mampu membunuh nyamuk yang terkena asapnya dalam tempoh empat minit sahaja.
“Lingkaran ini pula berupaya melindungi kawasan lot rumah daripada nyamuk sehingga saiz 464 meter persegi.
SAZALY merupakan inidividu yang mencipta Spokojan.
|
Tenang
Ujarnya, keunikan yang ada pada Spokojan pada awalnya dianggap pelik oleh segelintir pihak kerana fungsinya yang tidak menghalau nyamuk bahkan seakan-akan menggalakkan nyamuk datang ke rumah.
“Sebenarnya, penghuni rumah tidak akan terdedah kepada asap malah dapat mengelakkan risiko berlakunya kebakaran,” katanya.
Ujarnya, Spokojan turut dihasilkan bersama tapak atau stesen pemegang lingkaran buatan tangan. Ia dikatakan ciptaan pertama seumpamanya di dunia.
“Tapak yang dibuat ini lebih stabil dan selamat. Ubat nyamuk lingkaran yang diletakkan di atasnya tidak akan terjatuh kerana alat ini boleh mencengkam lingkaran tersebut.
“Tapak ini mampu mengurangkan risiko kebakaran dan lebih terkawal daripada tiupan angin dan gegaran selain abu sisa pembakaran dapat dikumpul terus ke dalam pasu khas,” terang beliau.
Oleh itu, tambah Sazaly, pengguna tidak perlu bimbang tentang abu atau sisa pembakaran lingkaran yang diterbangkan angin dan dihidu oleh penghuni.
“Ciptaan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pencemaran udara dan mengurangkan risiko penyakit asma,” tegasnya.
Mengulas tentang nama lingkaran ubat nyamuk ciptaannya itu, Sazaly menjelaskan bahawa perkataan spokojan diambil daripada bahasa Crotia yang bermaksud ‘tenang’.

PENGHUNI rumah tidak akan terdedah kepada asap kerana ia diletakkan di luar rumah.
“Ramai yang tidak selesa apabila nyamuk banyak di sekeliling mereka malah ada yang tidak senang duduk seperti tergaru-garu dan menampar nyamuk.
“Jadi, dengan ketiadaan nyamuk, mereka akan lebih tenang dan selesa terutamanya dengan kehadiran Spokojan,” ujarnya.
Sazaly menambah, produk ini sangat spesifik dengan hanya menarik nyamuk dan tidak bertindak pada serangga lain.
“Hasil kajian menunjukkan nyamuk yang berjaya dibunuh ialah nyamuk Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus serta genus Culex.
Lingkaran ubat nyamuk ciptaan lelelaki ini kurang berbau kepada manusia dan hanya efektif terhadap nyamuk.
“Spokojan adalah produk khas yang dicipta untuk membunuh nyamuk berbahaya terutamanya aedes,” tegasnya.
Kata Sazaly lagi, yang lebih penting, produk ini mampu digunakan oleh semua golongan termasuklah yang berpendapatan rendah.
“Produk ini mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan rendah kerana harganya apabila dikomersialkan nanti tidak melebihi RM3 sekotak dengan 20 keping lingkaran. Setiap lingkaran boleh bertahan selama 12 jam.
“Mereka tidak perlu membeli produk yang mahal untuk mencegah nyamuk, tetapi dengan harga yang rendah mereka mampu menjaga keselamatan dan kesihatan mereka sekeluarga,” ujarnya.
Tong tu berapa pulak harganya..
ReplyDelete