Sunday, May 12, 2013

Tangan kudung dilenyek lori


RAZALI berlumba motosikal kerana minat tetapi tidak menyertai kumpulan samseng. - Gambar hiasan


PENULIS sudah mengenali Razali sejak zaman persekolahan lagi. Orangnya ceria dan bersikap gila-gila. Dulu dia seorang pelesit rempit yang cukup dikenali di sekitar Puchong dan Shah Alam, Selangor.
Namun, segalanya berubah selepas Razali yang pernah merajai jalan raya kudung kedua-dua belah tangan dari siku ke bawah.
Pada usia 30-an sekarang, Razali lebih senang menetap di Serdang, Selangor bersama isteri dan tiga orang anaknya. Dia juga bersyukur kerana di sebalik musibah yang menimpa, dia masih dapat mengusahakan sebuah pusat siber di kawasan tempat tinggalnya.
Begitupun, kebahagiaan yang dikecapi sekarang belum mampu memadamkan kenangan terhadap tragedi kemalangan jalan raya yang telah merampas kedua-dua belah tangannya pada lebih 10 tahun lalu.
Mungkin kerana malu atau enggan mengenang kisah silam, sahabat penulis itu tidak mahu gambarnya dirakam.
“Perkara itu sudah berlalu, apa yang penting kita terus bersemangat untuk menjalani kehidupan,” katanya.
Razali sempat membuka kisah-kisah nakalnya terdahulu semasa bersekolah menengah.
“Biasalah remaja darah panas dan jiwa bersemangat tinggi sehingga perkara tidak bermoral pun kita lakukan. Saya sering ponteng sekolah, menghisap rokok dan bergaduh.

Kemalangan
“Malah, didenda oleh guru kerana melakukan kesalahan perkara biasa tetapi saya tidak pernah terlibat dengan kumpulan gengster dan kaki pukul,” ujarnya.
Bicara lelaki bersuara garau ini, tabiat itu menyebabkan dia gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tambahnya, keluarganya sudah puas menasihatinya tetapi semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi.
“Saya malas sekolah jadi itulah keputusan peperiksaan yang diterima. Mujur saya diterima melanjutkan pelajaran di sebuah institut kemahiran belia berhampiran rumah keluarga,” jelasnya.
Namun, sepanjang tempoh pengajian, ia lebih mendedahkan lelaki ini dengan kegiatan pelesit rempit kerana terdapat pelajar institut kemahiran itu yang terlibat dengan kegiatan itu.
“Langkah saya menjadi semakin panjang selepas membeli motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna merah hasil simpanan elaun belajar yang diperoleh setiap bulan.
“Saya kurang berbelanja kerana tidak perlu membayar sewa rumah selain makan minum ditanggung sepenuhnya oleh keluarga.
“Saya juga mahir membaiki televisyen dan penghawa dingin yang rosak kerana itu kursus yang saya pelajari dahulu,” katanya.
Semasa hebat merempit dahulu, aksi wheelie, mencuri, wanita dan bergaduh menjadi mainan Razali saban malam.
“Cuma saya hanya ingin berseronok dan tidak terlibat dengan kumpulan samseng,” katanya.
Kebiasaannya, dia akan berlumba di sekitar Puchong dan Shah Alam pada hujung minggu.
Namun, pada satu malam menjadi ‘malam celaka’ bagi Razali.
Semasa dia sedang asyik berlumba bersama rakannya di sekitar Puchong, Razali tidak sempat mengelak sebuah lori.
Dia terjatuh dan malangnya kedua-dua tangannya dilenyek oleh lori tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri.
“Sebaik sahaja sedar, saya sudah terlantar di katil hospital sambil dikerumuni rakan-rakan serta keluarga. Ibu tidak berhenti-henti menangis. Saya sangkakan kemalangan itu ialah penamat kehidupan di dunia mujur umur masih panjang.
“Tetapi, saya merasakan sesuatu sebaik ingin menggerakkan kedua-dua tangan. Sebaik sahaja melihatnya saya sedar telah kehilangan anggota badan itu,” ujarnya lagi.
Razali pada mulanya tidak dapat menerima kenyataan itu.
“Pelbagai perkara terlintas dalam fikiran seperti penerimaan masyarakat. Saya jadi emosional dan sering marah-marah,” katanya.
Sebaik sahaja keluar dari hospital, dia mengasingkan diri daripada masyarakat dengan hanya memerap di rumah terutama di biliknya.
“Saya jarang keluar bilik dan tidak ingin berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.
Bagaimanapun, dia mempunyai minat dalam bidang komputer.
Pada masa itu, pengaruh iPad dan gajet canggih belum meluas. Kebanyakan remaja menghabiskan masa di pusat siber untuk bermain perisian permainan, mencari kenalan atau melakukan tugasan sekolah, kolej atau universiti.
Razali mula terfikir untuk menjadikan sebuah komputer miliknya sebagai modal perniagaan.
“Ramai remaja yang datang ke rumah untuk melayari internet lagipun kadar bayaran untuk sejam amat murah hanya RM1.50.
“Pelanggan akan datang dari pagi hingga ke tengah malam sampai tidak terlayan dibuatnya. Beberapa bulan selepas itu saya tambah tiga buah komputer lagi,” ujarnya.
Kafe siber
Pendapatan lelaki ini menyamai seorang eksekutif swasta. Namun, dugaan tetap menimpa lelaki yang ingin berubah ini.
“Ada jiran yang mengadu mengatakan saya mengusahakan perniagaan secara haram sehingga pihak berkuasa tempatan bertindak merampas kesemua komputer termasuk mesin cetak dan faks.
“Apa yang saya mampu buat ketika itu hanya diam terpaku,” kata Razali dengan nada sedih.
Di sebalik kejadian itu menjadi titik tolak perubahan terbesar dalam kehidupannya.
“Salah seorang pegawai penguat kuasa majlis perbandaran tempatan yang terlibat dalam serbuan itu rakan sekolah saya. Dia menasihatkan saya memohon lesen manakala lokasi perniagaan akan diusahakannya.
“Tidak lama selepas mendapat lesen rakan saya menelefon memberitahu, ada rumah kedai berhampiran rumah yang boleh disewa,” cerita Razali.
Dia terus membuat pinjaman untuk memperkembangkan lagi perniagaannya.
Hasilnya, lelaki ini memiliki 13 buah komputer dan pendapatan bulanan yang diterima agak lumayan sehingga mencecah RM4,000 sebulan.
“Ada juga pelanggan yang pelik bagaimana saya mengendalikan perniagaan tanpa kedua-dua belah tangan. Sebenarnya komputer mudah dikendalikan dan paling utama kesungguhan itu sendiri.
“Mungkin setiap ujian itu ada hikmahnya. Saya juga bersyukur dapat bertemu jodoh dengan isteri yang fizikalnya normal dan dapat menerima keadaan saya seadanya,” katanya.
Razali juga ditanya adakah ingin merempit lagi.
“Cukuplah lagipun dah tak ada tangan macam mana nak berlumba,” katanya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: