Sunday, May 19, 2013

Rumah terbiar jadi klinik



JIKA dilihat dengan mata kasar, pasti ramai yang tidak menyangka rumah terbiar boleh dijadikan sebuah klinik yang menyediakan perkhidmatan rawatan percuma kepada kanak-kanak. Klinik yang terletak di Kelana Jaya, Selangor itu dikenali sebagai Free Children Hospital (FCH).
Individu yang pertama kali menjejakkan kaki ke klinik berkenaan mungkin berasa ragu-ragu dengan kemampuan doktor dan sukarelawan di situ apatah lagi premis itu banyak kekurangannya. Namun, jangan menilai sesuatu itu berdasarkan luarannya sahaja.
Menurut Pakar Bedah Tulang Belakang Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Tropicana, Damansara, Petaling Jaya, Dr. Mohammad Nawar Ariffin, 37, idea untuk menubuhkan klinik itu tercetus selepas dia melihat bermacam-macam peristiwa yang menimpa kanak-kanak.
"Hampir tiga tahun saya memperjuangkan penubuhan klinik percuma ini tetapi idea saya tidak diterima malah saya dihentam habis-habisan kerana mahu memberikan perkhidmatan percuma.
"Walaupun begitu, saya tetap meneruskan hasrat ini dengan dibantu oleh sekumpulan besar sukarelawan. Rawatan percuma ini diberikan kepada kanak-kanak memandangkan sifat universal golongan itu.
"Apabila bercakap mengenai kanak-kanak, pasti sesiapa pun sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama dan latar belakang mereka.
"Klinik percuma untuk kanak-kanak ini adalah satu langkah untuk menyelamatkan nyawa mereka dengan memberikan rawatan awal terhadap apa juga masalah kesihatan. Objektif program ini adalah bagi melahirkan golongan sukarelawan yang ikhlas membantu kanak-kanak yang tidak sihat," ujar bekas Ikon Belia bagi Kategori Sosial dan Politik 2011/2012 ini.
Tambahnya, klinik itu merupakan langkah pertamanya untuk menubuhkan sebuah hospital kanak-kanak percuma dalam masa terdekat.
"Klinik ini sudah empat bulan beroperasi membabitkan individu atau organisasi sukarela termasuk dalam membekalkan ubat-ubatan.
"Makanan yang disalurkan kepada klinik ini pada setiap minggu juga disumbangkan oleh penduduk di kawasan ini.
"Alhamdulillah setakat ini, kami menerima maklum balas yang baik selain boleh menghimpunkan semua orang walaupun berbeza dari segi pekerjaan dan umur," jelasnya yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam bidang perubatan.

NOORIJA sudah tiga kali membawa dua orang anaknya untuk mendapatkan rawatan di klinik percuma ini.


Sukarelawan
Bercerita lanjut, Mohammad Nawar memberitahu, peristiwa melihat kanak-kanak yang sakit di sekelilingnya benar-benar memberi kesedaran kepadanya untuk menubuhkan klinik percuma itu.
"Saya pernah didatangi oleh seorang bapa yang membawa anaknya ke hospital dalam keadaan terkulai tidak bermaya kerana kanak-kanak itu terjatuh ke dalam longkang. Budak itu gagal diselamatkan. Ketika itu, saya terfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk golongan itu.
"Selain itu, saya sering memerhati nasib kanak-kanak warga asing di Malaysia yang sukar mendapatkan rawatan disebabkan kekangan dan bayaran ubat-ubatan yang mahal.
"Pengalaman saya di serata dunia juga sebenarnya membuka mata saya untuk memberi sesuatu yang boleh menggembirakan mereka," ujarnya.
Jelasnya, klinik itu ditempatkan di markas penduduk SS5D Kelana Jaya bagi membolehkan penduduk setempat memberi khidmat secara sukarela.
"Dengan kewujudan klinik ini juga secara tidak langsung menjadi daya penarik kepada penduduk di kawasan lain untuk sama-sama menyumbang bagi memastikan usaha murni ini berterusan.
"Jika diikutkan, ramai yang mahu menyumbangkan bangunan klinik yang lebih baik tetapi klinik ini bukan semata-mata mengenai perubatan, ia juga bertujuan memupuk semangat sukarelawan.
"Alhamdulillah sepanjang klinik ini beroperasi, kami mendapat maklum balas yang positif daripada semua sukarelawan. Ada yang mulanya datang sebagai pesakit tetapi akhirnya menjadi sukarelawan di sini.
"Ada juga yang menyumbangkan tenaga dengan membaik pulih kawasan klinik," tambahnya sambil memberitahu, klinik itu tetap dibuka walaupun tiada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.
Ujarnya, selain memberi rawatan awal terhadap kanak-kanak yang mengalami demam, selesema dan batuk, dia juga memberikan khidmat nasihat dan rujukan bagi kes-kes tertentu.
"Persepsi masyarakat terhadap konsep sukarelawan harus diubah. Sebenarnya sukar untuk meyakinkan sesetengah individu yang berpendapat konsep ini sudah tidak relevan sekarang kerana bagi mereka tiada yang percuma di dunia ini.
"Untuk itu, usaha mengendalikan klinik percuma ini bukan mudah. Ia memerlukan masa sebelum dapat melihat hasilnya.
"Jika tiada kesabaran, pasti semua ini tidak akan menjadi," ceritanya.
Masa menunggu
Sementara itu, sukarelawan yang juga bekas jururawat, S. Saroja, 52, berkata, klinik itu secara tidak langsung menyenangkan penduduk untuk menaburkan khidmat bakti.
"Saya sememangnya meminati bidang kejururawatan dan klinik ini membolehkan saya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak.
"Usaha ini amat bagus. Ia mesti diteruskan," beritahu Saroja.

FCH mempunyai kira-kira 300 tenaga sukarela.


Bagi seorang suri rumah, Zalibah Ali, 56, dia seronok membantu kanak-kanak sekali gus bercampur gaul bersama sukarelawan yang lain.
"Untuk membantu dari segi kewangan, saya tidak mampu. Saya rasa inilah cara terbaik untuk memberi sumbangan.
"Saya gemar berpersatuan apatah lagi lokasi klinik ini terletak berdekatan dengan rumah saya. Lagipun ia cuma dibuka seminggu sekali," ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Sukarelawan, Husin Surdi, 82, pula memberitahu, walaupun tiada pengalaman dalam bidang kesihatan, dia tetap mahu menawarkan khidmat baktinya kerana sekurang-kurangnya dia mempunyai aktiviti untuk dilakukan daripada hanya duduk di rumah.
"Saya pernah menjadi sukarelawan polis selama 20 tahun. Faktor umur tidak menjadi penghalang untuk saya terlibat sama kerana setiap sukarelawan ada peranan masing-masing.
"Walaupun bukan bidang saya, saya berasa perlu untuk mengambil tahu keadaan sekeliling dan membantu apa yang mampu," cerita bapa kepada lima orang anak ini.
Pengunjung, Noorija Sahman, 27, berpendapat tiada beza mendapatkan rawatan di mana-mana klinik sama ada klinik swasta atau kerajaan kerana apa yang penting adalah anaknya sembuh daripada penyakit yang dialami.
"Sudah tiga kali saya datang mendapatkan rawatan untuk anak saya, Mohd. Iskandar Zulkarnain Mohd. Raiza, 3, dan Puteri Nurzara Mohd. Raiza, lima bulan, yang kerap demam dan batuk.
"Pada mulanya saya ternampak kain rentang tentang kewujudan klinik ini yang berada berhampiran rumah ibu bapa saya. Saya mencubanya malah turut menyarankannya kepada adik saya.
"Ubat-ubatan yang diberikan juga sama seperti yang ada di klinik-klinik lain selain masa menunggu yang lebih singkat.
"Saya yakin dengan kemampuan klinik ini serta ubat-ubatan yang digunakan kerana anak saya bertambah sihat dalam masa kurang seminggu," ujarnya yang menetap di Subang Perdana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: