Saturday, May 25, 2013

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut


LANDASAN kereta api di Sungai Kwai kini menjadi tumpuan pelancong asing.


KELIHATAN ramai pelancong sedang menyeberangi jambatan kereta api di Sungai Kwai, di wilayah Kanchanaburi, Thailand. Jambatan itu menjadi terkenal apabila sebuah filem Hollywood mengenainya diterbitkan pada tahun 1957 iaitu The Bridge Over the River Kwai.
Terdapat sebuah tanah perkuburan berhampiran jambatan yang dibina pada era Perang Dunia Kedua itu. Ia merupakan tempat persemadian ribuan tawanan perang yang mati ketika bekerja membina landasan kereta api maut.
Sebagai sebuah negara yang membangun, Myanmar mempertimbangkan untuk membaik pulih kawasan bersejarah Perang Dunia Kedua itu sebagai salah satu tarikan pelancongan. Selain itu, ia juga sebagai langkah membantu pembangunan di kawasan sempadan negara tersebut yang penuh dengan konflik dan kemiskinan.
Peperangan
Seorang petani tempatan, Myat Soe sedang memetik rumpai dan bunga di kawasan berdekatan Tanah Perkuburan Perang Thanbyuzayat di daerah Mon. Ia menempatkan 3,000 tentera bersekutu yang gugur di antara sempadan Myanmar dan Thailand itu.
"Selepas melawat tanah perkuburan ini, manusia pasti tidak mahu peperangan berlaku. Mati di medan perang sememangnya mulia tetapi amat menyedihkan," ujar Soe.
Banyak tugu yang mengandungi tulisan di tanah perkuburan itu dibiayai oleh Suruhanjaya Komanwel Tanah Perkuburan Perang yang beribu pejabat di Britain. Tulisan tersebut berbentuk lirik lagu dan sajak merupakan bukti yang menyayat hati tentang peperangan yang pernah berlaku di sana.
"Kami bukan ke medan perang untuk berpeluk tubuh. Kami meninggal dunia tanpa ucapan selamat tinggal," petikan daripada salah satu tulisan daripada Lans Koperal Sarjan Rejimen Askar Setia, Harry Dawes yang gugur di medan perang pada bulan September, 1943.
Keletihan, kelaparan, penyakit dan diseksa merupakan punca utama kematian askar-askar yang dipaksa oleh tentera Jepun untuk mengorek laluan kereta api melalui hutan tebal dan batu pejal pada Oktober 1942 hingga Disember 1943.
Kira-kira 13,000 tawanan perang yang ditangkap di Singapura, Semenanjung Malaysia dan Indonesia mati ketika pembinaan laluan tersebut. Selain itu, seramai 100,000 orang awam di kawasan tersebut turut dikerah bagi membina landasan kereta api berkenaan.
Seorang veteran dari Australia, Robert Goodwin yang bekerja dengan syarikat Hellfire Pass di sempadan Thai, memberitahu, kesemua yang terlibat dalam pembinaan laluan kereta api itu mengalihkan batu-bata menggunakan tangan.
"Sekiranya seseorang itu melakukan kerja dengan perlahan, mereka bukan sekadar memukulnya dengan tangan dan tukul malah menggunakan cemeti atau apa sahaja yang mereka pegang. Orang Jepun sememangnya kejam," katanya.
Di Thailand, segerombolan pelancong asing dilihat berduyun-duyun ke landasan dan jambatan yang masih beroperasi. Ia juga sama seperti yang digambarkan dalam filem The Bridge Over the River Kwai.
Kanchanaburi terletak kira-kira tiga jam dari Bangkok dan terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara tersebut. Menurut pegawai pelancongan Thailand yang enggan dikenali, negara itu memperoleh pendapatan sebanyak 2.4 juta bath (RM240,597) pada tahun lalu hasil pelancongan di Kanchanaburi.

UPACARA mengingati kematian tentera Perang Dunia Kedua diadakan pada setiap tahun.


Pembangunan pelancongan
Berdasarkan fakta tersebut, Myanmar turut berminat untuk membangunkan kawasan tenggara negara itu sebagai tarikan pelancongan.
Menurut seorang pegawai perkhidmatan kereta api Myanmar, kajian sedang giat dijalankan bagi mengesan laluan dari Thanbyuzayat hingga ke Three Pagodas Pass di sempadan Thai.
Pegawai Lembaga Pelancongan Myanmar, Phyoe Wai Yar Zar memberitahu, kawasan Landasan Kereta Api Maut mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan pelancongan di Myanmar.
Menurutnya, usaha pembangunan itu tidak semestinya fokus pada kisah-kisah lampau di situ. Sebaliknya ia harus mempamerkan warisan penduduk etnik minoriti tempatan.
Bagaimanapun, usaha untuk membangunkan kawasan tersebut turut mengundang keraguan.
Menurut Rod Beattie, pengkaji sejarah yang menjalankan kajian mengenai pembangunan Pusat Kereta Api Kanchanaburi's Thailand-Burma, pembinaan itu merupakan satu usaha yang tidak masuk akal kerana empangan hidro Thailand menghalang laluan asal landasan itu.
Laluan sepanjang 420 kilometer itu merupakan penghubung antara negara Thailand dan Myanmar. Ia digunakan untuk laluan askar Jepun dalam usaha melawan tentera British dan sekutu-sekutunya.
Selepas perang tamat pada tahun 1945, landasan tersebut menjadi hutan belantara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: