Saturday, May 25, 2013

Brazil hadapi tekanan ekonomi



BANDAR Sao Paulo di Brazil mempunyai populasi rakyat Itali yang besar. Justeru, tidak hairanlah jika banyak restoran dengan cita rasa Itali terdapat di sana. Namun, agak mengejutkan apabila beberapa pengusaha restoran di bandar tersebut mengumumkan bahawa mana-mana hidangan yang dibuat berasaskan tomato akan digugurkan daripada senarai menu yang ada.
Pengurus Restoran Nello, Augusto Mello membuat keputusan menggugurkan tomato sebagai bahan dalam sajian mereka sekali gus menarik perhatian agensi media tempatan dan antarabangsa.
"Kami lakukan ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. Kami selalu membayar dua reais (RM2.96) untuk satu kilogram tomato segar. Tetapi kini, kami perlu membayar sehingga tujuh reais (RM10.37) untuk kuantiti serupa yang mana jumlahnya terlalu tinggi.
"Pengusaha restoran seperti kami biasanya membeli secara pukal iaitu kira-kira satu tan tomato setiap bulan," ujar Mello kepada agensi berita BBC.
Tindakan mengejut Mello itu dibuat rentetan krisis kenaikan harga tomato yang kini melanda Brazil dan berlarutan sejak setahun lalu.
"Saya sudah bekerja di restoran ini sejak 48 tahun dan ini merupakan harga paling teruk yang pernah dicatatkan," kata Walter Taverna, pemilik restaurant Conchetta di daerah bersejarah Itali Sao Paulo, Bixiga.
Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut beliau mengimport puri tomato dari Itali.
"Saya mempunyai empat buah restoran dan harga tomato yang meningkat menyebabkan kami mengalami kerugian yang banyak iatu sekitar 5 hingga 10 peratus setiap bulan. Ia suatu jumlah yang besar kepada seorang ahli perniagaan," luah Taverna dengan rasa kesal.
Pada satu ketika harga tomato direkod meningkat sehingga 150 peratus terutama pada pertengahan April lalu, menurut Institut Geografi & Statistik Brazil (IBGE).

MESKIPUN harga tomato naik berganda, rakyat Brazil masih memerlukan sayuran tersebut dalam menu harian mereka.


Isu kenaikan harga tomato ini membuatkan pengguna bertindak mengurangkan pengambilan tomato dalam menu harian mereka.
"Saya sudah lama tidak mengambil tomato dalam diet berasaskan sayuran kerana harganya semakin tinggi dan saya tidak mampu," tegas seorang guru muzik bersara, Mariliza Leitao.
Ironinya, peningkatan harga tomato bukan sekadar memberi kesan terhadap pengusaha restoran mahupun rakyat biasa, tetapi turut memberi tekanan kepada kerajaan Brazil untuk membendung masalah tersebut.
Cabaran besar
Peningkatan kadar inflasi merupakan satu isu yang sangat sensitif di negara terbesar di Amerika Selatan itu. Ini kerana Brazil pernah berdepan krisis inflasi paling teruk sekitar tahun 1990-an yang mencapai kenaikan harga sehingga 2,000 peratus.
Lantaran itu, Presiden Brazil, Dilma Rousseff berdepan cabaran besar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya menjelang pilihan raya tahun depan.
Penganalisis tempatan daripada Persekutuan Agrikultur dan Ternakan, Leonardo Machado berkata, peningkatan harga tomato berlaku disebabkan gabungan beberapa faktor.
"Masalah cuaca seperti hujan lebat, kenaikan harga minyak, permintaan yang tinggi dan paling penting pengurangan di kawasan yang digunakan untuk penanaman menjadi punca kepada kenaikan harga tomato," jelas Machado yang berpangkalan di negeri Goias, wilayah yang merupakan pengeluar terbesar tomato di negara itu.

Tomato bukan sekadar sayur di Brazil bahkan ia mempunyai kuasa dalam menentukan jatuh bangun ekonomi negara tersebut.


Selain itu, faktor kekurangan tenaga buruh atau pekerja di ladang-ladang turut menyumbang kepada kenaikan harga tomato.
Menurut Mauro Lopes, pakar pertanian di pertubuhan pemikir Yayasan Getulio Vargas yang bertapak di Rio de Janeiro, kebanyakan pekerja ladang terdiri daripada individu yang tiada kemahiran khusus.
Lantaran itu, apabila ditawarkan pekerjaan dengan suasana kerja yang lebih selesa dan mempunyai faedah-faedah perkhidmatan tertentu, sudah tentu mereka akan menerimanya.
"Bekerja di kedai-kedai yang mempunyai pendingin hawa pasti satu pilihan lebih baik berbanding berada di bawah panas terik matahari di ladang-ladang tomato," ujar Lopes.
Rumah hijau
Perkara itu diakui oleh seorang peladang tomato, Cyro Cury yang menanam 10 jenis tomato di sebuah ladang yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Sao Paulo.
Katanya, dia berminat untuk mengusahakan penanaman tomato di beberapa rumah hijau yang dimiliki untuk membantu memenuhi permintaan yang tinggi musim ini. Namun, dia gagal untuk mendapatkan pekerja tambahan yang sanggup menerima upah kira-kira AS$500 (RM1,500) sebulan.
Dalam pada itu, Cyro memberitahu, kenaikan harga tomato sebenarnya tidak menjadikan mereka kaya walaupun ramai yang menganggap pengeluar tomato pasti gembira dengan situasi tersebut.
Ia disebabkan perbezaan yang besar di antara harga pemborong dan pengguna. Biasanya, satu kotak tomato segar berharga 3.5 reais (RM5.18) tetapi, ia dijual empat kali ganda daripada harga asal di pasar raya tempatan.
Katanya, keuntungan kecil telah membataskan keupayaan peladang untuk meningkatkan pengeluaran walaupun kitaran harga yang sering meningkat berlaku setiap tahun.
"Ia sebenarnya tidak mengubah apa-apa. Jika kami tidak menerima polisi untuk skala kecil bagi tanaman dan makanan, kami akan menghadapi masalah yang lebih besar dalam tempoh 10 tahun akan datang," ungkapnya.
Brazil kini merupakan pengeluar utama dunia untuk pasaran gula, tumbuhan citrus dan kopi. Malah, ia juga pengeksport utama ayam, itik dan daging di samping bakal menjadi antara negara teratas dalam pengeluaran soya.
Bagaimanapun, masalah kekurangan tanah untuk tanaman bukan eksport semakin meruncing. Data yang diperoleh daripada agensi IBGE menunjukkan bahawa kawasan yang ditanam dengan makanan ruji seperti kekacang dan padi telah menjunam kepada 30 peratus sejak tahun 1990 sedangkan populasi rakyat di negara itu mengecil kepada 25 peratus. Meskipun penganalisis menjangka inflasi akan kembali sederhana tahun ini, kenaikan harga memberi cabaran kepada Presiden Rousseff, yang berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negaranya.
"Kenaikan kadar inflasi telah mencetuskan penggera di dalam kerajaan memandangkan pengundi Rousseff sangat sensitif terhadap isu pekerjaan dan harga barang," jelas Profesor Sains Politik di Universiti Katholik Rio de Janeiro, Ricardo Ismael.
Tetapi, dalam perjuangan beliau mengatasi kenaikan harga tomato, Rousseff tidak bersendirian. Beliau telah disokong oleh mantan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang masih popular dalam kalangan jutaan rakyat miskin negara tersebut.
"Seorang pemimpin wanita yang berpengalaman seperti Dilma (Rousseff) tidak akan membenarkan isu kecil seperti tomato menghancurkan ekonomi dan negara yang mana rakyatnya telah belajar untuk hidup dengan inflasi kawalan," tegas Lula da Silva dalam satu majlis parti pemerintah baru-baru ini.
Dalam pada itu, banyak lawak jenaka mengenai kenaikan harga tomato di buat terutama di laman-laman sosial seperti Facebook.
Salah satu laman itu dipanggil Tomato caro atau bermakna Tomato mahal yang dipaparkan dalam bentuk kartun dan gambar montaj pada buah tersebut.
"Saya tidak mahu menjadi kaya, cuma tingkatkan penanaman tomato," komen seorang pengguna laman sosial berkenaan.
Ia satu jenaka yang perlu diharapkan kerajaan kerana seperti tomato itu sendiri, ia juga mempunyai jangka hayat yang singkat.
Dilma Rousseff mungkin merupakan antara presiden yang terkenal di dunia, namun peluang beliau untuk dipilih semula pada tahun hadapan dicabar oleh pesaing yang cukup berkuasa iaitu tomato.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: