Thursday, May 2, 2013
Memburu katak di Zoo Negara
TEPAT pukul 8 malam, seramai sembilan kakitangan Zoo Negara terdiri daripada bahagian Rumah Reptilia dan pegawai perhubungan awam memulakan misi mereka iaitu menangkap katak liar.
Sebelum bergerak, Ketua Kumpulan, Mohamad Hafiz Thanabalan, 50-an, memberi beberapa nasihat berkaitan ‘pemburuan’ itu.
Walaupun kelihatan enteng, Mohamad Hafiz yang juga penyelia kanan Rumah Reptilia memberitahu, terdapat katak yang mengeluarkan bisa pada bahagian kulit sekali gus boleh menyebabkan kegatalan pada mereka yang berkulit sensitif.
Nasihatnya, gunakan sarung tangan apabila menangkap katak dan asingkan setiap katak dalam beg plastik yang berlainan mengikut spesies.
Mencampurkan dua spesies katak yang berbeza dalam satu bekas boleh mendatangkan kematian terhadap salah satu spesies akibat rembesan bahan yang keluar daripada badan.
“Jika mahu mendekati semak, pastikan suluh dulu di kawasan tersebut,” kata Mohamad Hafiz ketika ditemui di Hulu Klang, Selangor.
Apabila tiba waktu malam, suasana Zoo Negara begitu gelap kerana tiada sistem pencahayaan kecuali di beberapa tempat seperti kedai atau mesin layan diri.
Hampir keseluruhan kawasan Zoo Negara diteroka dan yang pastinya setiap kali kumpulan ‘pemburu’ mendekati kandang haiwan, burung-burung mula berkicau dengan kuat.
Bunyi kicauan burung itu kemudiannya bersahutan antara burung-burung lain manakala mamalia seperti zirafah dan badak sumbu pula masih belum tidur bahkan berjalan-jalan sekitar kurungan.
Kaedah dengar bunyi
Rupa-rupanya, haiwan-haiwan itu masih aktif walaupun dalam kegelapan malam dan tiada pengunjung.
Pada malam itu, sebanyak lapan ekor katak berjaya ditangkap terdiri daripada tiga spesies iaitu Golden Tree Frog, katak puru dan katak pisang.
Mencari dan menangkap katak tersebut menggunakan kaedah mendengar bunyi katak menguak seterusnya mencari dengan lampu suluh kerana haiwan dua alam itu pasti diam apabila mengesan kehadiran manusia.
Bunyi katak dihasilkan oleh sang jantan bagi menarik perhatian betina untuk tujuan mengawan. Jadi, setiap kali acara menangkap katak dibuat, pasti katak jantan yang ditangkap.
Namun, seekor katak betina berjaya ditangkap pada malam itu dan ia amat jarang berlaku. Katak itu berjaya diperangkap kerana sedang mengawan.
Ketika berada dalam kurungan plastik, kedua-dua katak berlainan jantina, tetapi sama jenis itu masih lagi berada dalam keadaan ‘memanjat’ dan tidak bergerak biarpun disentuh.
Katak memerlukan tempat yang sejuk dan gelap dan disebabkan itu, wujud pepatah Melayu, katak bawah tempurung. Jika berada dalam keadaan tidak selamat, katak akan mengembangkan badannya.
Kata Mohamad Hafiz, waktu yang terbaik untuk menangkap katak ialah selepas waktu hujan renyai atau lebat dan berhenti secara tiba-tiba.
Cuaca lembap dalam persekitaran memberikan keselesaan terhadap katak untuk keluar daripada tempat persembunyian.
Perbezaan katak liar
Kawasan persekitaran Zoo Negara sebenarnya mempunyai banyak haiwan liar seperti katak. Keadaan tersebut berlaku akibat pembangunan sekeliling menyebabkan haiwan-haiwan liar itu mencari tempat selamat iaitu Zoo Negara.
Terdapat perbezaan antara katak liar dan katak belaan iaitu dari segi tingkah laku dan warna fizikal.
Katak jinak yang sudah biasa dengan kehadiran manusia kelihatan tidak begitu agresif, hanya senyap pada satu tempat dan melompat ketika perlu.
Katak liar pula, melompat-lompat dengan penuh agresif walaupun sudah berada dalam plastik.
“Katak-katak yang ditangkap digunakan sebagai kajian bagi membandingkan antara yang jinak dan liar selain untuk tujuan pembiakan serta penambahan koleksi zoo,” terang Mohamad Hafiz lagi.
Jelasnya, katak liar mempunyai warna yang lebih terang berbanding dalam kurungan kerana binatang itu boleh mengadaptasi dengan persekitaran.
Sampuk penjaga reptilia, Mohd. Hilmi Abdullah, 38, katak di tanah rendah pasti berlainan dengan yang tinggal di tanah tinggi.
“Katak-katak dalam koleksi dan hidup liar di Zoo Negara adalah daripada jenis tanah rata,” katanya. Cara persenyawaan katak juga berbeza bergantung kepada persekitaran dan spesies.
Zoo Negara mempunyai lebih 50 ekor katak dalam simpanan yang terdiri daripada 25 spesies.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: