|
INDUSTRI seni tempatan sejak dahulu lagi dilihat begitu meriah dengan kehadiran adik-beradik yang sama-sama menjadi selebriti. Paling mencuri tumpuan ialah penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain yang mana kedua-duanya begitu sukses dalam lapangan seni masing-masing.
Bakat kedua-dua adik-beradik itu tidak perlu dipertikaikan lagi malah kedua-duanya dilihat berdiri atas nama sendiri tanpa perlu dibayangi antara satu sama lain.
Sebelum Ziana, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43, terlebih dulu bergiat aktif dalam dunia nyanyian. Ketika zaman kanak-kanak, Anuar begitu popular dengan lagu Kain Pelekat bersama Elena.
Begitupun, ketika usianya mencecah 20 tahun, Anuar mengambil keputusan bekerja bersama syarikat penerbangan MAS, pada penghujung tahun 80-an.
Hampir sepuluh tahun menyepikan diri, akhirnya pada tahun 1998 Anuar muncul kembali menghasilkan sebuah album hit berjudul Anuar Zain yang mengandungi lagu-lagu popular seperti Bila Resah bersama syarikat Warner Music Malaysia Sdn. Bhd.
Anuar memberitahu, salah satu faktor kemunculannya ke persada seni pada ketika itu adalah kerana sokongan dan semangat daripada Ziana sendiri.
Bagi Anuar, Ziana juga merupakan salah seorang idolanya yang banyak mengajar serta membuka matanya untuk menjadi matang sebagai seorang penghibur.
Sementara itu, bakat Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 45, mula disedari oleh penerbit album terkenal, Rahim Othman ketika Ziana memenangi Bintang Selangor pada tahun 1984.
Selepas itu, Ziana mula menyertai BMG Music pada tahun 1992 dan menghasilkan album pertamanya berjudul Madah Berhelah. Lagu Madah Berhelah akhirnya telah memikat telinga peminat sekaligus melonjakkan karier Ziana sebagai penyanyi.
|
|
Darah seni Siti
Selain Ziana dan Anuar, Datuk Siti Nurhaliza dan adik-beradiknya juga menceburi bidang nyanyian.
Walaubagaimanapun, berbanding Siti, 34, adik-beradik penyanyi nombor satu negara itu tidak begitu menyerlah dalam bidang nyanyian.
Bertanya sendiri akan hal itu kepada Siti, pelantun lagu Jerat Percintaan itu mengakui, memang lumrah jika ada dalam sesebuah keluarga itu bakat atau minat mereka adalah sama.
Contohnya, darah seni yang mengalir dalam diri seseorang itu biasanya akan diwarisi oleh anak-anak pula. Memang jelas terdapat keluarga seni yang terdiri daripada ayah, mak dan seterusnya anak-anak atau cucu-cucu mereka dalam industri tempatan.
“Siti akui, kami adik-beradik memang semuanya ada darah seni. Datuk kami juga dahulu orang seni, kemudian turun kepada mak, dan seterusnya kami adik-beradik. Jika ada bakat yang baik dan boleh berkongsi sesuatu dengan masyarakat, bagi saya tidak menjadi masalah.
“Segalanya bergantung kepada rezeki dan penerimaan masyarakat. Dalam adik-beradik saya, yang aktif setakat ini mungkin saya seorang namun Saida juga sudah kembali aktif menjayakan persembahan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, ujarnya, Sairah pula sudah mempunyai anak dan aktiviti seninya terpaksa diperlahankan. Begitu juga abangnya, Ayie, yang sudah lama tidak menyanyi tetapi menumpu perhatian kepada syarikat.
Diminta mengulas sama ada laluan adik-beradik akan lebih mudah jika salah seorang menceburkan diri dalam bidang seni, ulas Siti, ia bergantung kepada rezeki.
“Mungkin seseorang itu akan mudah dikenali jika nama mereka dikaitkan dengan adik-beradik atau keluarga yang sudah mencipta nama namun soal rezeki itu saja yang akan membezakan.
“Selain rezeki, saya juga sangat percaya kepada bakat, jika ada bakat ia adalah satu kelebihan. Selain itu, minat harus ada untuk kita dapat laksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya lagi.
Saida dibandingkan dengan Siti
Sementara itu, bagi Saida, 37, dia pernah dibandingkan dengan adiknya ketika mula menyertai Akademi Fantasia musim keenam pada tahun 2008.
Ujarnya, perbandingan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya dia nekad untuk mengubah kelemahannya sehingga berjaya.
“Memang bukan mudah untuk berada di tahap Siti sekarang. Tetapi saya belajar apa yang kurang dan berusaha untuk dapatkan apa yang kita mahukan,” ujar Saida yang sudah enam tahun berada dalam industri seni.
Tambahnya, kejayaan seseorang itu juga bergantung pada rezeki tetapi kalau kita sentiasa berusaha dan memasang niat yang betul, peluang sentiasa ada.
Ulas Siada lagi, selama 18 tahun Siti berada dalam industri, kejayaan yang dikecapinya adalah berkat daripada sikap yang tidak pernah berputus asa dan niatnya untuk membantu keluarga.
Emma kurang keyakinan diri
Terbaharu, kehadiran adik-beradik Maembong turut mencuri perhatian peminat hiburan. Berbekalkan rupa paras yang cantik mereka mudah meniti populariti lebih-lebih lagi Emma Maembong.
Menurut Emma Maembong atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail Maembong, 21, dia menceburi bidang seni bukan disebabkan pengaruh kakaknya, Yaya dan adiknya, Cha Cha, sebaliknya kerana minat yang mendalam pada lakonan.
“Yaya dan Cha Cha mula berlakon dulu sebelum saya tetapi tidak serius. Selepas itu, Yaya ada mengajak saya untuk berlakon sama tetapi saya kurang keyakinan diri.
“Tetapi atas sokongan adik-beradik dan juga minat pada lakonan saya mencubanya,” ujarnya yang bersyukur kerana kehadirannya berjaya mendapat perhatian peminat.
Mengulas mengenai kebaikannya apabila adik-beradik sama-sama terlibat dalam dunia seni, kata Emma yang baru sahaja dilantik sebagai duta produk Silky Girl itu, perasaan iri hati tidak pernah wujud sebaliknya mengharapkan kejayaan antara satu sama lain.
Tidak cemburu
Mula berlakon iklan susu Dutch Lady dan Nescafe sejak berusia lima tahun, Cha Cha Maembong atau nama sebenarnya Siti Aisyah tidak pernah cemburukan kejayaan kakaknya, Emma.
Walau bagaimanapun, dia berasa sedih kerana ramai yang membandingkan dirinya dengan Emma serta mengatakan, gadis berusia 17 tahun itu cuba menumpang populariti kakaknya.
“Kami adik-beradik tidak pernah cemburu antara satu sama lain. Masing-masing sokong dan mahu lihat kejayaan masing-masing.
“Memang agak sedih bila orang membandingkan saya dengan Emma tetapi saya tidak mahu mengambil perkara itu dengan lebih serius,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Tiada perkembangan kerjaya - Pierre
Tidak hanya Khatijah Tan dan juga anaknya Pierre Andre, kini adik kepada Pierre, Mikhail Andre juga turut sama menyertai bidang seni.
Menurut Pierre, adiknya menceburkan diri dalam bidang seni bukan disebabkan pengaruh daripadanya, sebaliknya adalah kerana minat.
Ujarnya, ada kebaikan dan juga keburukan apabila satu keluarga terlibat dalam bidang seni.
Baginya, sebagai orang yang terlebih dulu menceburi bidang seni, dia akan memberi nasihat kepada adiknya.
“Dia baru mula berlakon (Mikhail) jadi saya akan beri nasihat berpandukan apa yang pernah saya lalui dalam bidang seni.
“Apa yang penting, kalau kita jujur bekerja, Insya-Allah akan berjaya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Pierre memberitahu, jika kesemua keluarga menceburi bidang seni terdapat sedikit kekurangan apabila tiada perkembangan kerjaya dalam sesebuah keluarga itu.
Jadi, ulasnya, perbualan juga terhad kepada bidang itu sahaja tanpa membolehkan mereka bercerita mengenai perkara lain.
Menyenangkan kerja Mikhail
Sementara itu, bagi Mikhail pula, kehadirannya dalam bidang seni adalah disebabkan minat dan darah seni yang kuat mengalir pada dirinya.
“Ibu (Khatijah Tan) dan Pierre tidak pernah menyuruh saya berlakon. Minat itu timbul selepas melihat lakonan mereka malah apabila di rumah mereka juga sering berbual mengenai bidang seni. Daripada situ, secara tidak langsung ia menarik minat saya untuk turut sama,” ulas Mikhail.
Jelasnya, walaupun Khatijah pada asalnya mahu anak-anaknya menjadi cikgu dan doktor tetapi apabila anaknya menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang seni dia tidak pernah menghalang.
Ujarnya lagi, banyak kebaikan yang diperoleh jika adik-beradik turut sama dalam bidang yang sama.
“Bila adik-beradik ceburi bidang yang sama, kami boleh berkongsi idea malah ia juga menyenangkan kerja antara satu sama lain,” ulasnya.
Mikhail turut memberitahu, tiada persaingan yang wujud antara dia dengan Pierre memandangkan abangnya kini hanya memfokuskan pada bidang pengarahan.
Sebaliknya, dirinya lebih cenderung kepada bidang lakonan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: