Sunday, May 12, 2013

Masuk TV kenakan orang

RAY (berdiri di belakang) dan Haniff (depan) sekali lagi berkolaborasi. Kali ini mereka mendapat mandat penuh sebagai pengacara sebuah program 'prank' peserta berjudul Frust Gila di Astro Warna.


MULA-MULA ada sasaran ditentu berdasarkan maklumat daripada seorang dalang, sasaran kemudiannya diberikan satu ujian dan dijanjikan hadiah lumayan. Pada akhir setiap episod barulah semuanya dijelaskan bahawa dirinya telah dipermainkan. Kecewa atau tidak, itulah konsep yang akan disaksikan dalam sebuah program baharu yang diberi judul Frust Gila.
Secara kasar, Frust Gila tak ubah seperti Wakenabeb, Kan Dah Kena, Bang Bang Boom dan Terkono yang pernah disaksikan sebelum ini. Pendekatan Frust Gila seperti mengitar semula adegan dalam Kandid Kamera, Punkd dan Just For Laugh dari luar negara.
"Memang ia kedengaran sama dengan program Wakenabeb atau sebagainya tapi kelainan program ini ialah kami menjanjikan hadiah lumayan seperti percutian mewah di luar negara.
"Kami buat macam sebuah gameshow yang betul-betul. Tiga orang peserta akan bersaing pada setiap episod dan seorang daripada mereka akan mara ke peringkat akhir. Apabila sudah menang, barulah kami sebagai hos sebenar program itu akan keluar daripada persembunyian. Maka terbongkarlah bahawa semua permainan dan hadiah itu gurauan semata-mata. Yang pasti, kami nak dengar perkataan 'frust gila' dijeritkan oleh mulut pemenang tadi," ujar Ray sambil ketawa.
Penyampai slot JOHARA di radio Era itu tidak hadir sendirian. Kelibat Ray atau nama sebenarnya Shah Reza Mohd. Shah, 34, tidak lengkap tanpa Haniff, 29. Sementelah Haniff wajah wajib dalam Frust Gila yang akan sama-sama membuat onar dan mengenakan dan menghancur impian pemenang dalam program itu.
"Rasanya kami mendapat peluang ini kerana sifat kami yang memang nakal. Suka bergurau, tukang usik orang dan kalau dalam keluarga, kamilah orang paling nakal. Semasa bersama di XFM, kami agak bebas di konti, tapi dari situ pengurusan nampak keserasian kami yang disukai pendengar. Bila masuk ke Era juga begitu.
"Sekarang, kami semacam naik pangkat sedikit apabila diberikan peluang untuk kendalikan program televisyen sendiri pula. Selama ini kami diselitkan dalam program orang lain. Pertama kali muncul, kami jadi penyibuk dalam program Diari Akademi Fantasia bersama Sarimah Ibrahim, Maharaja Lawak dan beberapa program lain," sampuk Haniff, 29 yang agak kekok berdepan kamera untuk rakaman program televisyen.
Hampir lima tahun bekerjasama bermula daripada Skuad Era, kemudian bertukar dari XFM ke Era FM, Haniff dan Ray kini antara regu penyampai radio yang semakin dikenali, bukan sahaja suara bahkan turut menjual wajah ke skrin televisyen.
"Penyampai radio masuk ke televisyen rasanya satu trend. Kawan-kawan dari stesen radio lain pun sama. Itu situasi menang-menang. Apabila penyampai radio itu dikenali pula sebagai pengacara di televisyen, pengaruhnya akan balik ke stesen radio juga," jelas Ray.
"Kami sendiri, apabila serius dalam bidang hiburan ini, kena ada banyak cabang. Selain buat kerja di radio dan televisyen, kami juga buat kerja pengacaraan untuk di majlis-majlis luar," celah Haniff spontan.
Mungkin tidak banyak kelainan atau menjanjikan sebuah program yang berimpak besar, namun keyakinan penerbit menonjolkan kolaborasi mereka dalam 13 episod itu sudah satu bonus atas kerja keras selama ini.
"Kami bukan selebriti pun, kami naik dari bawah. Semasa jadi Skuad dahulu, kami buat kerja berat, angkat barang dan pasang banner keliling majlis. Sebab itu bila diberikan peluang begini kami bersyukur dan seronok dengan kerja," jelas Ray.
Frust Gila memasuki episod pertama pada 27 Mei nanti di saluran Astro Warna setiap Isnin pukul 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: