Saturday, May 25, 2013
Liberty berimej premium
JIKA ditanya model skuter jenama Itali yang kerap kelihatan atas jalan raya tempatan, sudah pasti jawapannya Vespa LX150.
Sebenarnya, ada satu lagi produk sekelasnya diedarkan oleh pengedar sama, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira). Model yang dimaksudkan ialah Piaggio Liberty 150ie.
Tidak dinafikan Liberty 150ie agak sukar ditemui berbanding LX150. Mungkin disebabkan populariti Vespa lebih dekat dengan pengguna sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi.
Pelancaran Liberty 150ie diadakan bersama perasmian bilik pameran Naza Premira di Kota Damansara, Selangor pada Julai 2011.
Produk keluaran kilang pemasangan Piaggio di Vietnam itu dikuasakan oleh enjin empat lejang bersesaran 150cc. Transmisi pemboleh ubah berterusan automatik (CVT) dan sistem pancitan bahan api diberikan sebagai padanan.
Skuter berkenaan berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 8.9kW pada 7,750rpm, manakala tork puncaknya adalah 11.8Nm @ 6,500rpm.
Jika diamati, Liberty 150ie mencerminkan kombinasi rekaan sebuah skuter moden bersama gayaan klasik. Lampu hadapannya berbentuk segi tiga. Bentuk piramid pula diaplikasi pada lampu isyarat membelok.
Wajah hadapan skuter dan fork hadapan diberi kemasan krom. Begitu juga dengan perumah dan batang cermin pandangan sisi. Ia kelihatan mewah.
Garis dan lekuk pada bahagian tubuh menonjolkan imej tegap. Set lampu belakang separa bulat menjadi tarikan pada bahagian belakang.
Liberty 150ie menggunakan saiz rim aloi berbeza. Bahagian hadapan ialah 15 inci dan 14 inci untuk roda belakang.
Melihat ke arah meter instrumen, ia memaparkan meter laju, status bekalan petrol, odometer, jam dan tarikh digital. Di samping beberapa lampu petunjuk kecil berhubung keadaan semasa skuter itu.
Ruang simpanan
Anda juga dibekalkan dengan ruang simpanan barang. Barang-barang boleh ditempatkan di dalam kotak simpanan yang disediakan di bawah hendal atau tempat duduk.
Bagaimanapun, ia tidak cukup besar untuk memuatkan sebuah topi keledar.
Untuk memulakan operasi enjin, tarik tuil brek dan tekan butang pemula enjin. Tiada penendang kaki disediakan bagi model ini.
Sewaktu enjin dihidupkan, getaran tetap dirasai. Keadaan bertukar lebih lancar apabila roda mula menjelajah jalan raya.
Pendikit minyak jentera tunggang uji sedikit keras namun menawarkan prestasi pecutan agak baik. Dalam tempoh beberapa saat sahaja, jarum meter laju sudah sampai ke angka 60 kilometer sejam (km/j).
Berhubung soal penggunaan petrol, pengisian RON95 sebanyak RM8 (4.45 liter) membolehkan saya mencapai jarak perjalanan sejauh 161km.
Kadar kelajuan tunggangan adalah sekitar 60km/j hingga kelajuan maksimum iaitu 110km/j.
Tugas memperlahan atau memberhentikan jentera diberikan kepada set brek cakera hadapan dan jenis gelendong di belakang.
Sepanjang enam hari sesi tunggang uji, didapati kawalan dan pengendalian Liberty 150ie agak mudah. Skuter itu tidak berdepan masalah apabila mengharung trafik di bandar.
Posisi hendal dan pelana empuk membantu meningkatkan keselesaan tunggangan. Keselesaan kaki juga dibantu oleh rekaan lantai yang rata.
Peranan fork hadapan dan sistem penyerap hentak tunggal belakang boleh dikatakan sebagai sederhana keras. Ia menggalas tugas dengan baik ketika menyerap hentakan atas laluan tidak rata.
Piaggio Liberty 150ie dijual pada harga asas RM8,420 seunit. Jaminan yang diberikan adalah selama setahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dahulu).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: