Thursday, May 2, 2013

Laksa Sarawak, mi kolok produk baharu AgroMas


SEBAHAGIAN daripada produk AgroMas keluaran FAMA yang boleh didapati di semua rangkaian runcit dan pasar raya besar di seluruh negara.


KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang untuk memperkenalkan 10 jenis produk baharu di bawah jenama AgroMas sebagai usaha mempelbagaikan lagi pilihan barangannya di pasaran tempatan.
Pengarah Kanan Bahagian Perniagaan Berasaskan Agro, Pauzi Yaman berkata, pengenalan produk daripada pelbagai kategori itu akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat dan ia bakal memenuhi cita rasa dan keperluan pelanggan.
Menurut beliau, antara produk tersebut ialah oat berkonsepkan tiga dalam satu yang memudahkan pelanggan menikmatinya, lima jenis teh, laksa Sarawak segera, mi kolok segera dan rumpai laut serta serbuk perasa.
“Kami menyedari peminat makanan yang berasal dari Sarawak seperti mi kolok dan laksa Sarawak sukar untuk menikmati sajian berkenaan khususnya di bandar-bandar utama di sini, jadi kami telah menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk berkenaan.
“FAMA berkeyakinan, produk-produk baharu ini akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, malah ia mampu menyumbang kepada peningkatan keuntungan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: