Norish Karman
Norish Karman
SHAH ALAM - Permohonan harta sepencarian RM3 juta yang difail pelakon Norish Karman, Mahkamah Tinggi Syariah terpaksa ditangguh pada 24 Jun depan selepas bekas suaminya gagal hadir memberi keterangan dalam tuntutannya itu.

Hakim Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan peguam syarie, Datuk Amli Embong yang mewakili Norish, 37, untuk memasukkan hujahan kes bagi menjimatkan masa.

Beliau turut memohon mahkamah membatalkan keterangan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir selepas defendan tidak hadir sedangkan kes itu telah lama difailkan sejak 2009.

“Hari ini sepatutnya untuk defendan beri keterangan, namun dia tidak hadir begitu juga peguam defendan (Ahmad Burok) tanpa sebab dan makluman, “katanya.

Menurut Amli, defendan tidak pernah datang untuk perbicaraan kes itu sejak 2009.

“Defendan pernah bercadang untuk selesaikan kes di luar mahkamah, namun selepas itu terus senyap,” katanya.

Norish, atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, bernikah dengan Hashimuddin, 65, pada 11 Januari 1998 di Perlis dan pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, dekat sini, pada 15 Julai 2008.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Muhammad Haqiem Amany,  Muhammad Hady Amieran, dan Nur Hanyz Amanda.

Pelakon yang menyertai MasterChef Selebriti musim ke-2 itu memfailkan permohonan itu selepas kaedah melalui sulh (perbincangan secara baik) yang dibuat dengan Hashimuddin gagal mencapai kata sepakat.
Antara harta yang disenaraikan sebagai harta sepencarian ialah sebuah rumah di Bangi yang dianggarkan bernilai RM2 juta, kondominium Danau Permai (RM300,000), Kondominium Abadi Indah (RM300,000), sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan (RM100,000) dan kondominium Seri Heningdi Ampang, Kuala Lumpur.