Sunday, May 19, 2013

Cermin retak hodohkan wajah


MELIHAT wajah pada cermin retak dikatakan boleh menghilangkan seri wajah.


SALAH satu objek berhantu yang terus hangat diperkatakan sejak abad ke-17 hingga sekarang ialah cermin. Dikatakan tetamu yang menginap di sebuah bilik di Hollywood Roosevelt di Los Angeles, Amerika Syarikat sering terkejut melihat wajah mendiang Marilyn Monroe muncul pada sebuah cermin yang diletakkan di situ.
Monroe tinggal di hotel bergaya Sepanyol itu selama dua tahun semasa awal kerjayanya sebagai model pada tahun 1940-an.
Selain kisah Monroe itu, beberapa keping gambar cermin yang dimuat naik ke internet turut menampilkan imej kabur yang didakwa sebagai roh atau syaitan.
Cermin juga mempunyai kaitan dengan pelbagai mitos dan legenda. Yang paling popular ialah tujuh tahun nasib buruk.
Pada abad ke-17 dan 18, cermin didakwa sebagai jelmaan roh seseorang yang akan lahir semula bagi setiap tujuh tahun. Jadi kalau anda musnahkan jiwa anda dengan memecahkan cermin berkenaan, anda perlu menunggu tujuh tahun lagi untuk kelahiran semula roh.
Ada juga yang mempercayai cermin boleh memerangkap hantu. Entiti itu akan bebas ke dunia apabila cermin itu pecah.
Orang Melayu pula sering mengaitkan cermin dengan wajah seseorang dan disusuli dengan bermacam-macam pantang larang. Orang muda yang suka menilik mukanya pada waktu malam dikatakan akan berwajah hodoh apabila usia mereka bertambah.
Seri pengantin juga akan hilang sekiranya seseorang perempuan menggunakan cermin yang retak untuk melihat wajahnya semasa bersolek.
Menurut perunding perkahwinan, Zaifinidza Zainal Abidin, kepercayaan itu sudah wujud dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.
“Sebenarnya pantang larang yang dibuat oleh orang dahulukala ada maksud tersirat dan mengandungi pengajaran.
“Ia mungkin bertujuan menakut-nakutkan seseorang supaya tidak melakukan perkara yang ditegah,” jelas Zaifinidza yang juga seorang mak andam.
Ujarnya, larangan melihat cermin ketika disolek adalah bagi memudahkan mak andam menyolek wajah pengantin.
“Cuba bayangkan, ketika disolek pengantin asyik melihat cermin, tentu saja proses solekan menjadi lambat dan terganggu.
“Jadi dengan adanya pantang larang ini, tabiat pengantin yang suka melihat cermin dapat dibendung kerana gusar seri pengantin pada wajah mereka akan hilang,” kata Zaifinidza.
Tambahnya, larangan menggunakan cermin yang retak juga selalu didengari dalam masyarakat Melayu.
Ia didakwa mempunyai kesan yang sama, iaitu seri wajah akan hilang pada hari perkahwinan.

WAJAH syaitan didakwa boleh dilihat menerusi cermin muka.


Hodoh
“Jika difikir secara logik, perbuatan menilik muka pada cermin yang retak sebenarnya boleh mengakibatkan kecederaan kalau cermin tersebut tiba-tiba pecah.
“Pada saya, seri pengantin terletak pada teknik solekan yang digunakan oleh mak andam dan tiada kaitan dengan bermacam-macam mitos terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Asmawi Tuan Umar berpendapat, masyarakat Melayu dahulukala terpengaruh dengan kepercayaan animisme. Animisme ialah kepercayaan karut terhadap unsur-unsur alam yang dikatakan memiliki kuasa mistik.
“Pantang larang itu kemudian menjadi warisan dan budaya kerana ia diceritakan dari generasi ke generasi.
“Apabila menjadi amalan, wujud pula situasi mereka terlalu mementingkan adat berbanding ajaran agama Islam,” jelasnya.
Sebaliknya kata beliau, Islam menggalakkan seseorang membaca doa semasa melihat wajah pada cermin.
“Pantang larang melihat cermin pada waktu malam kerana bimbang wajah akan bertukar hodoh dan larangan meletakkan cermin menghadap jenazah kerana bimbang roh si mati akan meresap masuk ke dalam cermin adalah karut semata-mata.
“Perkara ini boleh menjurus kepada syirik kerana meletakkan sesuatu keburukan terhadap objek sedangkan cermin itu tidak berupaya mengundang kebaikan mahupun musibah,” ujar Tuan Asmawi.
Bagaimanapun, beliau mengakui larangan melihat cermin semasa guruh atau kilat diperakui oleh teori fizik kerana sifat cermin yang boleh memantulkan sesuatu benda atau cahaya sekali gus mampu mencetuskan bahaya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: