Sunday, May 19, 2013

Sesalan kaki kelab malam


HAZRI mengambil kesempatan terhadap wanita yang mabuk di kelab malam untuk memuaskan nafsu seksnya. – Gambar hiasan


KELAB malam, pub dan disko bagaikan syurga persinggahan Hazri tidak lama dahulu. Suasana hingar-bingar dan pengunjung terkinja-kinja mendengar alunan muzik keras yang membingitkan telinga menjadi makanan harian lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini.
Hazri, 30, merupakan kenalan lama penulis sejak di alam persekolahan. Dia ditemui di sebuah restoran di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambil meneguk minuman limau ais yang dipesan, Hazri rancak bercerita mengenang kisah silamnya.
Menurut Hazri, walaupun kampung halaman mereka di Perak, keluarganya menetap di Kuala Lumpur. Bapanya bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
“Kami tinggal di Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar di ibu negara. Saiz rumah itu kecil sahaja, cuma ada dua bilik. Ia tidak padan dengan bilangan ahli keluarga saya yang ramai,” katanya.
Hazri mendakwa kehidupan keluarganya sekadar cukup makan sementara dia dan tujuh adik-beradiknya yang lain kurang diberikan perhatian.
Perempuan
Hazri menyalahkan situasi itu sebagai punca dia terjebak dengan gejala sosial. Di sekolah, Hazri berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan menghisap rokok.
“Pada masa itu, saya fikir belajar pun tidak berguna kerana tidak mampu mengubah taraf hidup keluarga. Yuran dan barangan keperluan sekolah pula sering ‘sangkut’ kerana ayah tidak cukup wang.
“Saya hanya memakai kasut sekolah yang koyak-rabak sehingga saya diejek oleh rakan-rakan,” ujarnya.
Hazri berhenti sekolah semasa di tingkatan tiga tanpa sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.
“Pada masa itu saya fikir sekolah pun tak guna. Lebih baik saya ambil upah mencuci pinggan di restoran. Setelah lama bekerja di restoran berkenaan, saya dinaikkan pangkat menjadi tukang masak. Gaji tukang masak memang lebih lumayan,” ceritanya.
Sekali lagi, pengaruh rakan-rakan, dakwa Hazri, mendorongnya berjinak-jinak mencari keseronokan di kelab malam di sekitar bandar raya.
“Semasa mula-mula mengunjungi kelab malam saya berasa takut juga tetapi lama-kelamaan sudah jadi kebiasaan.
“Saya tidak ambil dadah atau pil khayal tetapi wajib melayan perempuan dan minum arak,” tuturnya.
Cerita Hazri, wanita yang mabuk sambil menari di meja bar dalam keadaan mengghairahkan merupakan pemandangan biasa di kelab-kelab hiburan.
Tetapi Hazri dan rakan-rakannya datang ke kelab malam bukan untuk minum dan menari semata-mata. Sebaliknya mereka akan menghabiskan masa selama berjam-jam bermesra dengan pelanggan wanita di situ.
“Sebaik sahaja wanita-wanita tadi mabuk dan tidak sedarkan diri, langkah seterusnya ialah membawa mereka ke hotel murah untuk melakukan hubungan seks.
“Bukan seorang malah kadang-kadang sehingga lima wanita sekali gus.
“Soal malu tidak pernah terlintas dalam fikiran, lagipun benda percuma dan nikmat, siapa yang tak mahu kan?” kata Hazri.
Selepas puas melakukan perbuatan terkutuk itu, Hazri akan menghantar semula gadis-gadis itu ke kelab berkenaan.
“Kebanyakan mereka tidak menyesal melakukan dosa besar itu. Malah ada yang rela menjadi teman wanita rakan-rakan saya,” katanya.

HAZRI mendakwa kesempitan hidup keluarganya mendorong dia bergelumang dengan gejala sosial. – Gambar hiasan


Lelaki perosak
Hazri berkata, dia tidak khuatir wanita yang ditidurinya itu mengandung anak luar nikah.
“Saya mengambil langkah keselamatan dahulu dengan memakai kondom sebelum melakukan hubungan seks,” beritahu lelaki berbadan gempal dan berkulit hitam manis ini.
Nafsu liar itu telah benar-benar menjerat Hazri dan menghantarnya ke jurang kebinasaan. Lantaran terlalu mengikut kata hati, Hazri sering ponteng atau datang lewat ke tempat kerja.
Dia sudah beberapa kali dipecat oleh majikan dan terpaksa bertukar-tukar kerja.
Namun, peristiwa yang berlaku kepada dua adik perempuannya menyebabkan Hazri tersentak.
Kedua-dua adik perempuannya itu yang berusia 15 dan 17 tahun ditangkap khalwat di dua hotel murah dengan lelaki yang tidak dikenali oleh pihak jabatan agama Islam. Mereka tidak lagi bersekolah dan bekerja di pasar raya di sekitar Setapak.
“Keluarga saya malu besar apabila berita itu tersebar. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Keesokan harinya mereka terus dinikahkan.
“Malangnya kedua-dua suami mereka ialah penagih dadah dan selalu bertukar-tukar kerja menyebabkan perkahwinan mereka tidak kekal lama,” katanya.
Tidak lama selepas itu, Hazri dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana melakukan hubungan seks dengan adik seorang ketua kumpulan gengster.
“Kejadian itu berlaku pada satu malam sebaik sahaja saya pulang dari tempat kerja. Secara tiba-tiba lima lelaki datang menghampiri saya di perhentian bas dan terus membelasah saya.
“Kedua-dua kaki saya patah. Mujurlah saya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian,” ujarnya.
Dua kejadian yang berlaku hampir serentak itu mencetuskan titik perubahan kepada Hazri.
“Saya mula terfikir sampai bila saya harus bergelumang dengan dosa. Entah bagaimana suatu hari saya berasa sangat tersentuh mendengar suara azan yang berkumandang di surau berhampiran rumah walaupun itu bukanlah kali pertama saya mendengarnya.
“Buat pertama kali juga pada hari itu, saya menunaikan solat yang telah lama ditinggalkan,” kenang Hazri akan peristiwa yang terjadi pada lapan tahun lalu.
Selepas itu, kehidupan Hazri berubah 360 darjah. Dia bukan lagi kaki kelab malam malah semakin fokus terhadap kerjanya.
Beberapa bulan kemudian, dia bertemu jodoh dengan pelayan restoran tempat dia bekerja.
Kini, Hazri boleh menarik nafas lega kerana telah dapat mengusahakan gerai makanan berhampiran rumahnya.
“Syukur kehidupan saya menjadi lebih tenang. Cuma saya merasakan diri masih kotor dengan dosa-dosa silam.
“Adakah Allah menerima taubat saya? Berapa ramai gadis yang saya telah rosakkan dan bagaimana kehidupan mereka sekarang?” ujar Hazri.
Ada kekesalan yang nyata di hujung getar suaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: