Cantik mengikut syariah
Siti Nordiana turut membuat demo pemakaian tudung mengikut caranya.
Cantik mengikut syariah
Antara peserta yang hadir.
Umum mengetahui, wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Malah, ada di kalangan wanita yang sanggup berhabis sakan untuk tampil cantik. Bagi wanita yang mementingkan penampilan, rata-rata daripada mereka memilih solekan sebagai pelengkap gaya.

Namun, tidak semua solekan yang dioles pada wajah menggunakan teknik yang betul mengikut kesesuaian kulit dan persekitaran.

Bertempat di Axis Atrium, Ampang, syarikat pengurusan, Artist KL Production Sdn Bhd tampil menganjurkan bengkel kecantikan, Artist KL Beauty Workshop (AKLBW) sambil mempelajari teknik-teknik solekan yang betul.

Menurut Pengarah Urusannya, Haza Zulaikha Aziz, bengkel yang dihadiri lebih 100 peserta itu merupakan langkah pertamanya dalam memperkenalkan teknik solekan yang mematuhi syariah Islam.

"Alhamdulillah, bengkel ini mendapat sambutan daripada peserta dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Pelbagai teknik solekan yang diperkenalkan termasuklah teknik solekan biasa, penggunaan bedak asas natural dan bayangan.

"Kami memberi panduan mengenai solekan siang dan malam tanpa menggunakan bulu mata palsu. Namun, hasilnya sama seperti menggunakan bulu mata palsu," katanya yang mendapat bantuan daripada juru mekap profesional, Awin Seindahwajah.

Selain daripada bengkel kecantikan, peserta juga dihiburkan dengan pertunjukan fesyen daripada Butik Sutera Violet.

Aktiviti lain yang turut disusun termasuklah demo pemakaian tudung daripada artis jemputan, Siti Nordiana dan cabutan bertuah tajaan KATE Kosmetik dan Srinuansa.

Mekap tak 'over'

Walaupun tampil dengan gaya solekan yang menawan dan moden, namun teknik yang digunakan tidak mengetepikan teknik mekap mengikut syariah. Menurut Zulaikha yang lebih mesra disapa Ika, teknik mekap yang diajar tidak terlalu berat dan menggunakan teknik asas dan tidak keterlaluan.

"Sebagai wanita Muslimah, kita tidak digalakkan memakai solekan tebal sehingga menyusahkan diri sendiri. Walaupun tampak semula jadi dan tidak terlalu heavy, ia masih mengekalkan kejelitaan dan kecantikan kulit asal.

"Lagipun, mekap sebegini lagi senang dicuci dan sesiapa sahaja mampu mempraktikkannya setelah mengikuti panduan solekan yang betul," katanya yang juga aktif berlakon dan mengacara.

Jelajah negeri

Mendapat respons positif dalam kalangan peserta, bengkel kecantikan dan solekan ini bakal diperkenalkan dalam siri jelajah. Katanya, sekiranya tiada aral melintang, bengkel itu akan dianjurkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Ada yang mengusulkan bengkel ini untuk dipanjangkan kepada dua hari. Kami akan mempertimbangkan semua cadangan tersebut dan kemungkinan kami akan mengadakan bengkel itu di seluruh Malaysia bermula September.

"Ini kerana, sambutan dan permintaan daripada wanita di luar kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur sangat menggalakkan. Mengikut perancangan, ia akan dimulakan di negeri Che Siti Wan Kembang dan kami akan menghebahkan acara ini supaya masyarakat di situ mendapat maklumat mengenainya," katanya.