Bunkface
Bunkface. 
Bunkface bukanlah nama asing dalam industri hiburan tanah air, malah nama mereka pernah menjadi perhatian seluruh masyarakat di negara ini tatkala zaman kegemilangan band-band indie tercetus beberapa tahun lalu.

Bukan sahaja tenaga luar biasa yang ditonjolkan band ini ketika membuat persembahan dikagumi malah beberapa lagu mereka seperti Situasi, Revolusi dan Ekstravaganza berjaya menambat hati peminat muzik di negara ini.

Namun tidak tahu di mana silapnya, Bunkface yang dianggotai tiga anak muda, Sam, Youk dan Paan kini seakan meniti zaman kejatuhannya setelah perkembangan karier mereka dilihat tidak serancak seperti sebelumnya.

Tambahan pula album kedua mereka, ‘Bunk Not Dead’ yang telah dikeluarkan tahun lalu tidak mendapat sambutan seperti yang dijangkakan.

Vokalisnya, Sam akui perkembangan Bunkface sejak akhir-akhir ini boleh dikatakan agak merudum dan ianya sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang mendalam terhadap band ini.

“Kalau tanya saya kenapa perkara ini boleh berlaku, saya sendiri pun tidak tahu punca sebenarnya. Kami masih lagi agresif dalam persembahan sama seperti sebelum ini cuma permintaan daripada peminat semakin berkurangan.

“Paling ketara apabila album ke dua kami yang keluar tahun lalu tidak dapat sambutan sedangkan promosi yang kami lakukan sama seperti album pertama,” jelasnya ketika di temui pada majlis pelancaran album kompilasi ‘Baik Punya’ di Kafe Hard Rock,
baru-baru ini.

Tambah Paan, mereka turut kecewa setelah mengetahui ada di kalangan peminat mereka tidak mengetahui kemunculan album terbaru yang telah dilancarkan tahun lalu.

“Kami pelik bila ada peminat yang tertanya-tanya kepada kami tentang lagu baru padahal kami telah lancarkan album Bunk Not Dead.

“Bila jadi perkara seperti ini memang kami agak terkilan,” katanya.


Belum putus asa

Biarpun kecewa dengan respons yang semakin berkurangan daripada peminatnya, Sam bagaimanapun menegaskan Bunkface tidak akan mengalah dan berputus asa malah cuba perbaiki kelemahan untuk memperjuangkan muzik mereka.

Katanya lagi, perkara ini berlaku mungkin disebabkan perubahan muzik mengikut aliran semasa dan dia tidak menolak kemungkinan album kedua yang dikeluarkan itu mempertaruhkan lagu yang agak berat untuk diterima pendengar.

“Banyak kemungkinan sebab dan punca perkara ini berlaku. Kemungkinan lagu-lagu yang ada dalam Bunk Not Dead terlalu berat dan mendalam untuk diterima peminat berbanding dengan lagu-lagu dalam album pertama.

“Bagaimanapun, kami akan terus bekerja keras perjuangkan muzik kami,” katanya.

Dalam pada itu, Sam berkata, Bunkface akan mengatur beberapa strategi untuk meraih semula perhatian peminat mereka.

“Kami akan perbaiki kesilapan dan kekurangan yang ada seperti mencipta lagu-lagu yang mudah diterima pendengar selain daripada mencari peluang untuk membuat persembahan di peringkat antarabangsa.

“Mungkin juga kami akan berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi lain untuk tarik peminat,” katanya.

Konsert jelajah

Bercerita mengenai perkembangan lain, Bunkface bakal mengikuti konsert jelajah Bunk Not Dead  Malaysia bermula Jun ini.

Menurut Sam, konsert itu bakal menjelajah lapan lokasi di seluruh semenanjung Malaysia.

“Ini adalah satu peluang besar untuk kami bertemu peminat dengan lebih dekat. Dalam konsert ini kami akan memperkenalkan lagu-lagu yang ada dalam album ke dua kami.

“Jika konsert ini mendapat sambutan yang menggalakkan, mungkin kami akan pertimbangkan untuk bertemu peminat di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.