Sunday, December 2, 2012

Tukang kasut cetus ilham Jasri

PENGGERAK MARANO...Jasri bersama sebahagian kakitangan MaranoCorp Industries.
PENGGERAK MARANO...Jasri bersama sebahagian kakitangan MaranoCorp Industries.
KEHIDUPAN sebagai tukang kasut lazimnya sinonim dengan peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang berikutan pendapatannya tidak mewah dan menentu.
Namun, siapa sang­ka pertemuan dan perkenalan singkatnya dengan seorang tukang kasut hampir tujuh tahun lalu ibarat kisah dongeng padi berbuah emas.
   
  • Foto JASRI...pasaran kasut luas.
  • Foto BAHAGIA...Jasri bersama isteri dan anak ketika melawat candi Borobudur, Indonesia.
  • Foto TERLATIH...kakitangan Marano diberi latihan lengkap bagi memastikan kasut dihasilkan berkualiti.
Ini kerana, pertemuan itu mengubah persepsi berkenaan dan menukar dirinya sebagai antara usahawan berjaya di negara ini.

Malah, berkat ilmu yang dikongsi daripada tukang kasut berkenaan, namanya tergolong sebagai antara jutawan senyap di negara ini walaupun tidak segah ahli perniagaan lain.

Itulah berkat usaha serta kesabaran dilalui Jasri Jamaludin, 43, yang aktif mengeluar serta mengedarkan kasut bagi kegunaan badan beruniform di negara ini di bawah jenama Marano.

Bagaimanapun, pembabitan dalam perniagaan pada awalnya mendapat tentangan keluarga­nya selain hampir ‘gulung tikar’ selepas terkena tempias kegawatan ekonomi dunia sekitar 1997 hingga 1999.

Bergelar Pengarah Urusan Kumpulan Intan Tercantum Indah Sdn Bhd, Jasri mengakui pengalaman awal itu, terutama kegagalan dalam perniagaan, mematangkan pemikirannya untuk bijak mencari peluang perniagaan terbaik.

Malah, ketika dia tercari-cari peluang untuk mengukuhkan tapak dalam bidang perniagaan, pertemuan singkat dengan tukang kasut itu ibarat rezeki terpijak yang tidak boleh disia-siakan.

“Sebenarnya, pertemuan dengan tukang kasut itu secara tidak sengaja dan pada mulanya kami sekadar berbual kosong. Namun ketika bersembang, tukang kasut itu menyatakan ramai pelanggannya adalah anggota badan beruniform.

“Bermula dari situ, saya melihat bahawa industri kasut ini berpotensi tinggi untuk dikembangkan berikutan permintaan terhadap kasut ini sentiasa ada, terutama di kalangan badan beruniform di negara kita yang memang banyak,” katanya.

Bagaimanapun, menceritakan bagaimana dia mengukuhkan diri dalam bidang perniagaan, Jasri berkata, perniagaan pertamanya sebenarnya bermula pada 1997 apabila dia berhenti bekerja sebagai jurutera, seterusnya menubuhkan syarikat yang menawarkan pembekalan dan perkhidmatan peralatan telekomunikasi.

Syarikat ditubuhkan di bawah nama Digisky Wireless (M) Sdn Bhd itu bagaimanapun hampir gulung tikar akibat tempias kegawatan ekonomi dunia yang melanda sekitar 1997 hingga 1999.

“Sebenarnya banyak cabaran dihadapi ketika mula terbabit dalam bidang perniagaan. Keluarga tidak bersetuju kerana gaji saya sebagai jurutera lebih daripada cukup untuk menyara keluarga.

“Bila sudah bertapak pula, tiba-tiba kegawatan ekonomi melanda, menyebabkan operasi syarikat terpaksa dihentikan. Malah, paling sukar ketika terpaksa memberhentikan 15 pekerja yang sama-sama membangunkan syarikat,” katanya.

Jasri berkata, memaklumkan pekerja bahawa mereka perlu berhenti kerja dan mencari pekerjaan di tempat lain adalah waktu paling sukar kerana perlu menjaga hati pekerja yang kehilangan tempat mencari nafkah.

Namun, Jasri berkata, dia tidak mudah melatah. Dengan dibantu hanya seorang pekerja, dia cuba bangun semula dan bertahan dengan keadaan berkenaan.

Ternyata, ia bukan sia-sia. Selepas setahun, operasi syarikatnya berjaya dibangunkan semula.

“Tempoh kegawatan ekonomi itu paling saya ingati hingga kini. Mungkin bukan saja bagi saya, malah semua ahli perniagaan lain kerana kesannya sangat ketara.

“Apabila operasi syarikat dapat dipulihkan, saya memanggil semula semua pekerja dan bertanya jika mereka masih berminat untuk bekerja dengan saya. Malah, sehingga kini saya ada 25 pekerja tetap,” katanya.

Jasri berkata, sebaik operasi syarikatnya dipulihkan, dia masih tidak senang duduk berikutan khuatir kemelesetan ekonomi berulang.

Justeru, setelah membuat kajian serta perancangan teliti, akhirnya dia menubuhkan satu syarikat induk di bawah nama Kumpulan Intan Tercantum Indah Sdn Bhd pada 2001 yang memantau operasi anak syarikat di bawahnya.

Sebagai persediaan awal juga, sebuah anak syarikat kewangan ditubuhkan pada 2003 di bawah nama Sriara CMS Sdn Bhd, seterusnya diikuti oleh penubuhan Sriara Properties Sdn Bhd dan MaranoCorp Industries Sdn Bhd.

“Saya melihat keperluan terhadap penubuhan syarikat dalam bidang berlainan ini sangat penting kerana kita tidak boleh bergantung kepada satu cabang perniagaan semata-mata.

“Jika satu bidang itu menghadapi masalah, kita akan hilang tempat bergantung, seterusnya punca pendapatan. Dengan adanya cabang perniagaan lain, setidak-tidaknya ia akan dapat membantu daripada sumber kewangan,” katanya.

Menurutnya, MaranoCorp Industries yang ditubuhkan pada 2005 di Maran, Pahang ibarat lubuk emas kepada dirinya berikutan pasarannya besar dan luas, walaupun dia tidak memiliki pengetahuan untuk menghasilkan kasut.

Dengan modal RM400,000, dia nekad membeli mesin terpakai untuk menghasilkan kasut dan ternyata tempoh enam bulan pertama cukup membuktikan percaturannya tepat.

“Industri kasut di negara ini dimonopoli secara total oleh bukan Bumiputera.
Jadi, saya melihat ia sebagai peluang terbaik berikutan kurangnya persaingan.

“Alhamdulillah, tiga tahun pertama beroperasi, saya berjaya menjual hampir 100,000 pasang kasut. Malah, bagi tempoh 2009 hingga 2011 pula, 150,000 pasang kasut dijual, termasuk menerusi kontrak pembekalan kasut kepada unit beruniform di negara kita,” katanya.

Menurut Jasri, selepas ini jika ada yang mengenalinya sebagai tukang kasut juga, dia tidak malu kerana tahu masa depan industri berkenaan sangat cerah.

Malah, jelas anak kelahiran Maran, Pahang ini, berdasarkan potensi industri itu, dia kini dalam perancangan untuk membina sebuah kilang di Puchong, Selangor bagi menghasilkan kasut dalam skala lebih besar, seterusnya memasarkan jenama Marano hingga ke peringkat global.

“Pembinaan kilang itu sudah bermula dan bakal beroperasi tahun depan. Pembinaan kilang ini sebagai strategi serampang dua mata kami untuk menghasilkan kasut bagi pasaran di dalam dan luar negara,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Jasri Jamaludin
UMUR: 43 tahun
ASAL: Maran, Pahang
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan Intan Tercantum Indah Sdn Bhd
STATUS: Berkahwin
ISTERI: Meriam Adlina Mohamed
ANAK: Nur Aliya (14), Nur Llyssa (12) dan Zarif (8)

PENDIDIKAN TERTINGGI: Sarjana Pengurusan Perniagaan, University of Derby, United Kingdom

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: