BERKIMONO...peserta media berkimono di pintu pagar masuk ke arked Nakamise.
Macam-macam alasan. Sudahnya, cair diayat wanita Jepun di Ryokan (rumah tamu).
Kami diminta memilih kimono. Cantik-cantik corak dan warna kain. Kami berlapan didandan seadanya. Sekejap saja semua siap berkimono.
Namun awas, kalau tidak dibantu pakar, terbelit juga tubuh dengan lapisan baju dan lilitan kain. Cara berkimono turut menunjukkan identiti si pemakai, sama ada sudah kahwin atau masih solo.
Sambil diiringi dua wanita pemandu pelancong membeli-belah di Nakamise, tertoleh-toleh warga Jepun melihat antara kami berkimono pakai tudung.
Gelak tawa orang Jepun dan kami sama naik, mungkin diresap semangat Geisha yang satu ketika dulu menghuni bangunan lama tinggalan era Edo (1603-1868) di kiri kanan laluan. Ada juga yang merakam gambar sebagai kenangan.
Prasangka dipandang pelik meleset kerana orang Jepun sangat menghargai tetamu yang berpakaian tradisional mereka.
“Kakak, kita pakai kimono tak boleh dedah-dedah,” usikan nakal pengacara Nona, Fara Fauzana (Fafau) melihat pengiring kami kerap memperbetulkan kimono yang melorot ke paras dada.
Ada tak diusik jejaka Jepun?” “Ada... tapi warga emas je!” Tergelak dengar jawapan Siti Nur Almizan (Berita Harian).
Sambil menapak kecil (langkah sopan wanita Jepun), bersemangat kami membelek aneka cenderamata dijual untuk dibawa pulang. Daripada sekecil-kecil aksesori hingga kepada makanan orang Jepun boleh dibeli dengan harga berpatutan.
Yukata (sutera halus terbaik kimono), senbei (kraker beras), ningyo-yaki (kek berinti kacang rupa manusia) dan tempura (udang goreng dan sayuran) menambah populariti Nakamise.
Melewati Senso-ji (kuil Buddha) tertua dan terbesar di Tokyo berdekatan Gojunoto (pagoda lima bumbung) tinggalan legasi era Edo atau pemerintahan Shogun Tokugawa melihat taman bunga sekitar bangunan lama seperti berada kembali pada zaman Jepun kuno.
Seni teater Kabuki terkenal di Jepun dikatakan berkembang di Asakusa sebelum hiburan lain bertapak pada 1800 dan awal 1900.
Di pintu pagar keluar, kami terserempak dengan jinriksha (beca roda tiga) ditarik lelaki di laluan sepanjang 250 meter dengan bayaran 8,000 yen (RM320) untuk dua orang.
“Panjang langkah bila dah buka kimono,” ngomel Fafau melihat kami jalan cepat selepas menyalin baju sebaik tiba di Ryokan.
Tengah hari itu, kami menaiki teksi untuk menghadiri upacara Sadoo (tradisi minum teh) masyarakat Jepun. Semua mata terpaku di ruang tamu. Ada sensei (guru) sedia mengajar membuat teh (matcha) bersama peralatan disediakan tuan rumah.
Manisan dihulur kepada tetamu sebelum upacara minum teh yang terasa sedikit pahit bermula. Lebih afdal jika tetamu membuat bunyi kuat ketika menghabiskan teh. Lagi kuat lagi baik, menandakan tetamu sukakan teh disediakan tuan rumah.
Adat minum teh dan berkimono di Asakusa memahat nostalgia rombongan media yang menyertai lawatan ke Jepun anjuran Yakult Honsha, baru-baru ini.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Yakult (Malaysia), Hiroshi Hamada, Pengurus Perhubungan Awam Yakult, Mazlyn Mena dan pembantunya, Lim Siew Ling turut menggalas misi 2K (Kesihatan dan Kemanusiaan) selama lapan hari ke negara matahari terbit itu.
Hari kedua di Tokyo, kami melawat Yuriage di bandar Natori, Sendai. Tersentuh melihat kawasan perumahan berdekatan Laut Natori tandus dan kontang di depan mata. Puing-puing tinggalan bangunan dan rumah menzahirkan trauma penduduk Natori dilanda gempa bumi diikuti tsunami, 11 Mac tahun lalu.
Bas berhenti seketika di bukit yang menempatkan kuil Buddha, tempat berlindung penduduk ketika dihambat tsunami. Dari atas bukit itu, hanya kilang Sasakei (fishcake) kelihatan beroperasi semula selepas terhenti lebih setahun.
Bukti semangat waja orang Jepun bangkit semula dalam tempoh terdekat. Di penempatan sementara mangsa tsunami, kami diminta tidak bertanya soalan berkaitan kejadian itu kerana ramai masih trauma.
Bersemuka wanita Yakult di Wakabayashi Yakult Centre, Sendai menyentuh nurani.
Tanpa digugat tsunami, wanita besi Yakult tetap meneruskan misi membawa kesihatan ke setiap penjuru kediaman.
Sekembali di Tokyo, kami dibawa ke Yakult Central Institute for Microbiological Research. Selepas mendengar taklimat, bertemu pula saintis dan penyelidik di makmal yang menjalankan pelbagai kajian berkonsepkan Shirota-isme, berasaskan nama pengasas institut, Dr Minoru Shirota.
Waktu makan di Tokyo paling dinanti. Ditemani Siew Ling, kami ke Rasa Malaysia Restoran yang terletak di Ginza (zon mewah), 20 minit berjalan kaki dari bangunan Shiodome, hotel penginapan kami. Segala gedung perniagaan, butik, kosmetik, galeri lukisan, restoran tersohor ada di Ginza.
Harga tanah di situ dikatakan mencecah lebih sejuta yen semeter persegi.
Macam-macam ada. Bagi yang pentingkan kelas, kawasan Ginza paling ideal untuk membeli-belah. Kalau nak budget, Harajuku atau Ueno adalah tempatnya.
Celoteh pelayan restoran berpakaian seragam seperti pramugari penerbangan Malaysia membangkitkan selera. Tambah pula chefnya dari Kuala Lumpur.
Macam-macam permintaan kami. Penuh meja, daripada sambal udang petai, rendang, nasi goreng telur mata, teh tarik dan bubur caca.
Kebetulan hari Sabtu, Ginza ditutup kepada kenderaan. Sakan berjalan sambil merakam gambar tanpa perlu bersesak-sesak.
“Semalam ada yang emosi di Odaiba, Tokyo Bay. Hantar ucapan dan gambar kepada keluarga dan kenalan facebook,” kata Mazlyn ketika bersua. Penulis terikut-ikut emosi terlepas makan syabu-syabu (stimboat) tidak bersama ke Odaiba, malam menjelang Aidiladha.
Esoknya, ketika umat Islam beraya, kami beraya juga tapi di Tokyo Skytree, menara tertinggi dunia kini mercu tanda terbaru Tokyo mula dibuka pada 22 Mei lalu. Menara Tokyo lama setinggi 333 meter. Seawal jam 7 pagi, kami mengintai Tokyo dari angkasa raya. Sayup Tokyo dilihat dari atas menara 634 meter itu.
“Itu Gunung Fuji,” kata Hamada ketika penulis tercari-cari bayangannya di sebalik cermin kaca menara. Gunung Fuji dapat dilihat melatari Tokyo dari atas menara jika cuaca cerah.
“Kenapa Tokyo perlu ada dua menara?” tiba-tiba terkeluar pertanyaan si gadis Yakult, Siew Ling yang asyik merakam gambar.
Saat dinanti untuk ke Disneyland Tokyo tiba jua. Terhibur melihat persembahan teater musikal karakter kartun Walt Disney. Pengunjung diajak bersamba, salsa, tango, rumba. Sirna penat berjalan seharian.
Penulis bersama Siew Li (Guang Ming Daily) berpakat naik jetstar (roket terbang) dan masuk rumah hantu, tapi hampa kerana terpaksa beratur panjang.
Dalam bersesak pun sempat melihat wayang 3D lakonan pendua Michael Jackson.
Walaupun jam melewati 9 malam, ramai sanggup menunggu persembahan bunga api dan perarakan kereta berhias sebelum pulang.
Rindu perantauan terubat apabila kami menyertai perjumpaan dan jamuan BBQ mereka di Shin Kiba Park, sehari sebelum pulang ke tanah air.
Perantauan, pelajar Malaysia dan warga Jepun yang pernah menetap di tanah air
berkumpul sambil menikmati jamuan di taman itu dua kali setahun.
Dari Sendai ke Tokyo, budaya dan adat unik masyarakat Jepun dihalusi. Daripada budaya, kenali bahasa. Daripada bahasa, selami budi dan hati nurani mereka.
Lambaian duka penduduk Yuriage. Wanita Tokyo yang anggun, bersantun.
Jejakanya pula segak bergaya. Kebersihan bumi sakura di mana-mana. Semua abadi di dalam ingatan. Ketika dalam pesawat, perlahan-lahan penulis mengucapkan Sayonara. Semoga bersua lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: