Saturday, December 1, 2012

Tiga tarikan mengisi masa

KEINDAHAN pemandangan Broga menggamit kedatangan pengunjung.


WAKTU itu, jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah hari. Cuaca sangat panas, badan pula terasa penat, namun desiran lalang yang ditiup angin menghasilkan satu irama indah membakar semangat penulis meneruskan pendakian ke puncak yang tinggal hanya beberapa meter.
Pendakian yang ditemani jurufoto, Azliza Hailani dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kajang, Shariman Mohd. Nor itu berjalan lancar.
Liuk-lentuk lalang dengan pemandangan indah di Bukit Broga, Semenyih memberikan kami kepuasan mendaki bukit yang setinggi 400 meter itu.
Bukit Broga terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah warga asing. Pendakian bukit ini bermula dari kawasan kelapa sawit memasuki kawasan hutan sebelum ke bahagian atas yang dipenuhi pokok lalang.
Bukit Broga tidak sukar didaki tetapi perlu memakai kasut yang sesuai kerana laluannya licin terutama selepas hujan. Kira-kira 200 meter di bahagian atas pula, dipenuhi lalang menyebabkan panas terik mentari mencucuk diri.

KELETAH arnab yang comel dan jinak menarik perhatian pengunjung.


Keadaan bukitnya juga curam dan pendaki perlu sentiasa berhati-hati terutama ketika turun. Terdapat juga batu-batu besar yang perlu dipanjat.
Bagi individu yang ingin melihat matahari terbit, lazimnya mereka sudah bersedia memulakan pendakian seawal pukul 4 pagi. Pastinya, lampu suluh menjadi peneman.
Memakan masa pendakian sekitar sejam lebih, tidak hairanlah bukit ini turut menjadi tumpuan gadis-gadis serta warga emas yang mengutamakan kesihatan dan kecergasan.
Menjelang tengah hari, bilangan pengunjung di Bukit Broga ini semakin kurang dan pulang ke destinasi masing-masing.
Saya pula tidak melepaskan peluang melawat ladang arnab terbesar di Malaysia yang terletak bertentangan dengan Bukit Broga. Hanya beberapa minit berjalan kaki dari kawasan kelapa sawit, penulis sudah berada di pintu masuk tempat yang dikenali sebagai Rabbit Fun Land ini.
Bermesra dengan arnab
Dengan bayaran RM2, penulis menghabiskan masa kira-kira sejam untuk ‘bermesra’ dengan arnab. Kawasan ini sebenarnya turut dihuni haiwan lain seperti lembu, kambing, kera, burung unta, kuda, keldai dan rusa.
Arnab-arnab di sini bakanya diimport dari New Zealand, Amerika Syarikat, Australia dan Perancis. Ia diternak bagi pasaran daging arnab seluruh Malaysia. Terdapat 30,000 ekor arnab diternak di Rabbit Fun Land.
Bagaimanapun, para pengunjung hanya berpeluang bermesra dengan beberapa ekor arnab yang diletakkan di dalam satu kawasan yang berpagar.
“Eee...comelnya, bulu pun cantik dan lembut,” itulah kata pengunjung, Wong Wai Yee, 13, ketika bermain dengan arnab.
Puas bermain dengan arnab, pengunjung boleh menunggang kuda atau memberi kera makan lobak. Pasti anda terhibur melihat gelagat-gelagat monyet ini ketika meminta makanan daripada pengunjung.
Pengusaha ladang tersebut, Daniel Wong, 30, berkata, ladang tersebut dibuka sejak enam tahun lalu, namun bapanya, David Wong, 55, telah terbabit dengan perusahaan arnab sejak 25 tahun lalu.
“Kami merupakan peneraju dalam perusahaan arnab di negara ini. Arnab-arnab di sini dagingnya dibuat sate, burger, disalai, masak kari atau sup.
“Di Rabbit Fun Land, pengunjung boleh membelai arnab, bergambar dengan lembu susu atau kambing Afrika,” katanya.
Pengunjung juga boleh menikmati sate arnab, nasi goreng daging arnab salai daging arnab salai dan lain-lain makanan di kawasan ini. Isu halal? Jangan bimbang, kerana restoran itu mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

SEORANG pekerja Restoran Fish Valley menangkap ikan tilapia merah yang ditempah pelanggan.


Penat mendaki Bukit Broga semakin terasa dan hati pun sudah puas ‘bermesra’ bersama arnab, perut pula minta diisi.
Dari segi makanan, Semenyih turut mempunyai tarikan tersendiri. Restoran Fish Valley di Taman Sri Heneco cukup popular dengan makanan yang berasaskan ikan air tawar segar.
Tangkap ikan
Walaupun baru tiga tahun dibuka, restoran ini mempunyai pelanggan tetap termasuk daripada kalangan orang ternama tempatan dan negara jiran, Singapura.
Sebanyak 11 buah kolam yang terletak di sekitar kawasan restoran menjadi bukti bahawa bekalan ikannya segar dan mudah didapati.
Apabila pelanggan membuat tempahan, para pekerja akan menangkap ikan di kolam sekunder sebelum ditimbang dan disiang lalu dibersihkan untuk dimasak.
Kolam-kolam tersebut juga merupakan milik restoran berkenaan yang menjadi tumpuan kaki pancing selain ikan-ikan tersebut untuk pasaran tempatan dan pasar-pasar raya.
Berkonsep masakan Thai dan Cina, pengusaha restoran, Hanim Raduan, 44, menggajikan ketua tukang masak dari Thailand yang merupakan salah seorang daripada 10 tukang masak terbaik di negara berkenaan.
“Restoran ini mempunyai 16 orang tukang masak dan menu kami sentiasa bertambah kerana mereka rajin mencuba masakan baharu hinggakan ada masakan yang tidak bernama.
“Kami jamin, ikan yang digunakan ialah ikan gred A, segar dan isinya enak. Kolam-kolam kami disaliri air bukit dengan sumber makanan jagung dan palet,” katanya.
Ikan talapia merah dilumur garam dan dibakar antara 916 menu kegemaran para pelanggan tetap di restoran tersebut.
Penulis juga sempat menikmati satu menu baharu iaitu ikan tilapia merah digoreng bersama kacang dengan beberapa ramuan lain.
Sehari berada di Semenyih memberikan satu pengalaman baharu dan berharga. Walaupun penat, kepuasan mendaki Bukit Broga, membelai arnab dan menikmati masakan ikan segar membuatkan ia satu penerokaan yang berbaloi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: