Saturday, December 1, 2012
Kayuhan musim luruh Korea Selatan
'MIRACLE Of The Han River'. Itulah kata-kata hebat bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee yang berjaya membangkitkan semangat rakyat Korea Selatan untuk bersama-sama menjadikan negara tersebut kuat dan maju.
Kini, seluruh dunia terkena tempias 'Gelombang Korea' yang menjadi bukti kebangkitan negara tersebut dalam pelbagai bidang. Korea Selatan muncul sebagai salah satu kuasa baharu dalam bidang teknologi di dunia.
Tidak cukup dengan itu, negara yang berada pada kedudukan kelima secara keseluruhan pada Sukan Olimpik London tahun ini turut terkenal dalam industri hiburan.
Di Malaysia, ramai yang tergila-gilakan drama Korea dan muzik K-Pop. Bahkan, lagu Gangnam Style nyanyian Psy turut menjadi kegilaan seluruh dunia.
Begitulah antara pengaruh negara empat musim itu sehingga menyebabkan jutaan pelancong bertandang tamu di negara itu setiap tahun.
Dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang penerbangan ke Seoul hanya memakan masa selama enam jam 30 minit.
Jadi, tidak hairanlah Korea Selatan juga menjadi tumpuan percutian rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman iklim empat musim.
Antara lokasi pelancongan popular di Seoul termasuklah Itaewon, Dongdaemon, Namdaemon, Insa Dong, Myeong Dong dan Pulau Nami.
Kita boleh menemui ramai pelancong Malaysia di kawasan tersebut dan masing-masing sempat tersenyum apabila bertemu satu sama lain.
Keramahan rakyat Malaysia tetap terpelihara, walaupun berada di luar negara. Istilah tidak mengenali antara satu sama lain bukanlah penghalang untuk saling bertegur sapa, bahkan bertukar pandangan mengenai tempat yang patut dilawati.
Aktiviti berbasikal
Bagaimanapun, percutian penulis ke Korea agak berbeza apabila memilih cara berbasikal untuk mengembara melalui empat sungai utama di negara tersebut.
Idea untuk mengembara secara berbasikal timbul apabila perkhidmatan kereta api trek tunggal yang melalui empat sungai utama iaitu Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeongsan ditamatkan.
Rel kereta api itu yang asalnya sejajar dengan sungai-sungai berkenaan kini bertukar kepada laluan basikal sepanjang 633 kilometer.
Ia sekali gus menjadikan aktiviti riadah selain tarikan pelancongan popular bagi penggemar basikal, tidak hanya di Korea Selatan, bahkan di seluruh dunia.
Penulis bersama rakan-rakan berbasikal sepanjang Sungai Han pada awal November lalu. Kami berada di Korea untuk program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dan Central Officials Training Institute (COTI) di Seoul.
Ketika itu musim luruh, namun cuaca tetap sejuk kerana suhu menjunam ke paras 1 darjah Celcius selain tiupan angin yang kuat.
Keadaan cuaca yang sejuk bukanlah satu penghalang, malah menjadi pencetus semangat kami untuk meneruskan pengembaraan.
Kami menyewa basikal pada harga RM15 selama dua jam bermula di Stesen Neungnae.
Kami mengayuh lebih 10 kilometer melepasi pelbagai landskap indah sekitar Seoul.
Pelancong yang ingin mengikuti percutian secara berbasikal, perkhidmatan penyewaan basikal termasuk basikal kembar boleh didapati di setiap stesen kereta api.
Sebaik-baiknya, pelancong mendaftar terlebih dulu sebelum memulakan kayuhan. Ini bagi membolehkan anda memegang pasport basikal yang perlu dicop apabila berhenti di stesen-stesen tertentu.
Keselamatan
Jika semua 49 ruangan di setiap pasport tersebut dicop, pengayuh akan menerima pingat dan sijil sebagai tanda penghargaan.
Sehingga Oktober tahun ini, hanya 12 pengayuh dari Malaysia yang berjaya melengkapi kayuhan di semua sungai tersebut.
Mengembara dengan mengayuh basikal amat istimewa kerana dapat menikmati pemandangan indah Korea Selatan dengan lebih dekat. Sepanjang kayuhan itu, penulis melalui pelbagai bentuk jambatan, terowong, kawasan perkampungan, bandar-bandar kecil, sungai dan bukit-bukau.
Jika berasa penat, jangan khuatir kerana terdapat banyak tempat untuk berhenti. Setiap tempat tersebut banyak terdapat gerai atau premis menjual makanan dan minuman selain tandas yang bersih.
Dari segi keselamatan juga jangan gusar kerana terdapat banyak televisyen litar tertutup (CCTV) yang sentiasa memantau pergerakan anda. Jika berlaku kecemasan, bantuan segera akan diberikan oleh petugas di stesen terdekat.
Komitmen dan kesungguhan Korea Selatan merancakkan aktiviti sukan dan amalan gaya hidup sihat turut mendapat respons positif rakyat negara tersebut.
Aktiviti itu umpama serampang dua mata apabila bukan sahaja berjaya menjadikan masyarakat yang lebih sihat, malah menarik kedatangan pelancong terutama peminat aktiviti berbasikal.
Mengembara menaiki basikal memang meletihkan, namun memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Penulis sendiri dapat menikmati keunikan Korea Selatan pada sudut berbeza.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: