Manakala dalam ayat yang berikutnya dia menerangkan pula keingkaran tentang hari kebangkitan semula manusia dan juga permintaan mereka agar hari kebangkitan tersebut didatangkan dengan segera dalam nada mengejek.
Kemudian diterangkan kepastian berlaku hari kebangkitan dan bangkit dari kubur masing-masing lantas mereka bertanya: Siapakah yang telah mengejutkan kami dari kubur? Kemudian dijawab: Allah SWT yang menentukan semua ini dan Dia telah menjanjikannya kepada rasul-rasul-Nya yang lepas.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang anggapan orang kafir yang mengatakan mustahil terjadinya hari Kiamat dalam kehidupan mereka."
Firman Allah SWT: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka Kami sedia menunggu). (Yasin: 48)
Al-Maghari berkata: "Mereka berkata dengan nada mengejek-ejek serta memperolok-olok: Bilakah berlakunya hari kebangkitan manusia yang sering kali kamu ancamkan kepada kami, sama ada secara jelas atau samar jika kamu orang yang boleh dipercayai kata-katanya?"
Kata-kata di atas ditujukan kepada Rasulullah SAW dan orang Mukmin yang sentiasa membacakan ayat yang menyebut hari kebangkitan manusia dan menyuruh mereka beriman dengan peristiwa tersebut. Pertanyaan mereka dijawab oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (Yasin: 49)
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata: "Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut."
Itulah yang dimaksudkan Allah SWT dalam firman-Nya: Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja akan membinasakan mereka ketika sedang bertengkar.
Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat."
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jualbelinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu.
Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya. Hari kiamat juga berlaku ketika seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya. Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya.
Kemudian Allah SWT menerangkan kedatangan hari Kiamat yang begitu cepat dengan hanya satu teriakan sahaja malah lebih cepat daripada itu.
Firman Allah SWT: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (Yasin: 50)
Ibnu Kathir berkata: "Atas yang mereka miliki kerana saat itu lebih penting daripada masalah tersebut."
Al-Maghari berkata: "Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula."
Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati berkaparan di mana sahaja ketika itu. Kemudian Allah SWT menerangkan pula tiupan sangkakala yang kedua akan ditiupkan nanti.
Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: