Tidak ubah seperti aktiviti ekstrem ‘wall climbing’ mahupun ‘rock climbing’, sukan lasak terbabit menayangkan senario sama, yang mana pendaki mengusap kedua-dua telapak tangan dengan kapur khas bagi melenyapkan peluh bersama kelengkapan lain seperti kasut bagi memulakannya.
Cuma tidak terlihat adalah juntaian tali bersama pengikat pemanjat (harness) sebagaimana sering dipaparkan di kaca televisyen apabila membabitkan sukan lasak itu.
Menurut jurulatih pusat riadah terbabit, Mohd Hafizudin Bahaudin, sukan ini dinamakan ‘bouldering’ berikutan ketinggian perlu dilalui pemanjat adalah lebih rendah membolehkan tiada penggunaan tali ketika memanjat.
Katanya, sukan ‘bouldering’ jauh lebih selamat daripada mana-mana sukan memanjat. Selain dindingnya rendah, ia menggunakan tilam khas yang berfungsi melindungi pemanjat jika terjatuh.
“Bouldering sebenarnya tidak jauh bezanya daripada sukan ‘wall climbing’ iaitu masih memerlukan kekuatan kaki disokong dengan jari mendorong badan untuk memanjat.
“Namun, spesifikasi berbeza yang mana ketinggian dinding kurang daripada enam meter tanpa tali keselamatan menjadi penyokong kepada individu melakukan aktiviti ini.
“Biarpun dinding tidak tinggi, langkah keselamatan tetap menjadi keutamaan, yang mana tilam dijadikan alas mengurangkan risiko kecederaan seandainya pemanjat jatuh,” katanya melatih pengunjung pusat terbabit hampir dua tahun.
Ditanya mengenai kriteria penting bagi individu mahu mencuba aktiviti berkenaan, Hafizudin lebih mesra dipanggil, Jo berkata, perlu ada minat dan kesungguhan dalam sukan ekstrem itu.
“Teknik memanjat biasanya diperkenalkan kepada mereka adalah peringkat asas, seperti mengenali jenis ‘hold’ pemegang dan cara memanjat dengan betul.
“Ramai salah anggap bahawa kekuatan tangan adalah penting berbanding kaki, sedangkan kaki adalah elemen utama dalam mana-mana sukan memanjat baik ‘wall climbing’ mahupun ‘rock climbing’.
“Begitu juga ‘bouldering’, di mana kekuatan kaki menjadi tulang belakang kepada sokongan badan ketika memanjat kerana ia boleh bertahan lebih lama berbanding tangan yang mudah letih apabila digunakan terlalu lama.
“Oleh itu dalam latihan, saya tekankan kuatkan bahagian bawah badan supaya memudahkan pemanjat menguasai skil serta teknik yang baik, selain latihan secara kerap,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Buat Siti Aisyah Mohd Pahmi, 18, bouldering adalah pilihan baik bagi golongan gadis meminati sukan lasak tetapi tidak terlalu ekstrem. Ia boleh membantu mereka melalui peralihan daripada aktiviti ringan kepada lebih berat.
“Berbanding ‘rock climbing’ atau ‘wall climbing’, ‘bouldering’ boleh dikatakan cabarannya agak sederhana berbanding sukan ekstrem memanjat yang lain. Ia dilakukan dalam bangunan dan ketinggian sederhana supaya individu yang ada masalah ‘gayat’ tiada sukar menyertai aktiviti sebegini.
“Malah, ‘hold’ direka pelbagai bentuk membolehkan pemanjat baru menyesuaikan cengkaman jari mahupun kaki bergantung kepada ciri fizikal pemegang,” kata bekas penuntut Program Matrikulasi Australia Selatan (SAM), Universiti Antarabangsa Inti, di Subang Jaya, itu.
Penuntut Universiti Tun Abdul Rahman, Setapak, Ashveen Subramaniam, pula berkata, aktiviti bouldering menjadi pilihan berbanding sukan lasak lain kerana ia memerlukan kekuatan fizikal selain mental.
“Saya mengakui sukan lasak ini banyak membantu mengatasi masalah gayat. Ia terapi baik selain membantu saya melakukan senaman sihat menerusi aktiviti memanjat.
“Selain itu, saya dapat meluangkan masa bersama rakan sekuliah dan memperoleh kawan baru setiap kali melakukan aktiviti ‘bouldering’,” katanya yang berasal Wangsa Maju, Selangor.
Sama ada sukan terbabit kos perbelanjaan tinggi, Ashveen berkata, setakat ini bajet diperlukan aktiviti ‘indoor’ terbabit bergantung kepada individu.
Katanya, ia tidaklah mahal andainya ia bertujuan sebagai riadah hujung minggu dan bersosial bersama teman.
“Bagi saya, ia hanya sebagai hobi dan mengisi masa lapang. Biasanya, kos untuk melakukan ‘bouldering’ tidak mahal dan caj dikenakan oleh pusat terbabit tidak lebih daripada RM15 bergantung jenis servis digunakan.
“Ditambah pula jarak gimnasium ‘bouldering’ ini tidak jauh dari rumah saya dan ini membantu menjimatkan lagi kos pengangkutan dan bersesuaian dengan saya yang masih menuntut,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati 2, Han Mun Siew Bryant, 13, berkata sebahagian masa lapangnya dihabiskan dengan aktiviti bouldering.
“Ibu bapa saya menyokong kerana mereka beranggapan ia lebih baik berbanding saya menghabiskan masa bermain di luar. Malah, bapa saya sering menghantar dan menjemput apabila saya selesai memanjat.
“Saya tiada masalah bergaul dengan mereka yang lebih dewasa dan kami berbual mesra kerana berkongsi minat sama,” katanya yang datang sendirian kerana abangnya, Nicholas Han, 17, menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: